Tuesday, May 22, 2012

Cerpen: Hasrat Mama


Anak mata ini aku alihkan ke jam tangan yang terpakai kemas di tangan kanan. Jam sudah menginjak ke pukul 9.30 pagi. Matahari pagi sudah memancar panas sinarannya. Aku mengambil keputusan untuk duduk di tangga pusat membeli-belah Sogo. Nafas yang sedikit tercungap-cungap aku hela panjang, mencari oksigen bersih yang tersisa dari debu-debu kota.

Menuruti aku, seorang wanita berusia pertengahan 40-an yang setia menemani aku sejak dari tadi. Lalu dia memberikan aku sebotol air mineral kecil. “Nah, untuk hilangkan dahaga,” katanya.

“Terima kasih,” jawabku ringkas.

Wanita itu tersenyum, betisnya diurut-urut sedikit dengan kedua-dua tangannya. Sesekali dia memandang ke arah aku.

Aku ketatkan sahaja wajah ini, bosan dan tiada reaksi. Mataku mula melilau-lilau memandang sekeliling, dari kedai Bonia di belakangku yang terletak bersebelahan Secret Recipe, kemudian ke arah kedai-kedai di Jalan Tunku Abdul Rahman dan diakhiri dengan kompleks Pertama yang terletak betul-betul di sebelah kompleks membeli-belah Sogo.

“Tiada apa yang berubah kan mama?” Aku menyatakan pada mama apa yang aku lihat.

Mata mama yang tadinya tertumpu ke arah betis yang khusyuk diurutnya kini beralih ke kawasan sekitar yang kami duduki. Berkerut-kerut dahi mama memandang sekeliling dalam keadaan badannya yang sedikit membongkok dengan kepala yang mendongak.

“Sama sahaja Is, tak ada yang berubah pun kawasan ini. Rasanya tidak perlu diubah lanskap di sini. Biar semua menjadi trademark kawasan ini.” Ujar mama seraya mengalihkan pandangan ke arah tangan yang masih tak lekang dari mengurut betisnya.

“Penat mama?” Tanya aku sambil mengesat dengan tangan peluh di dahi yang terbit dari rongga-rongga roma. Ada setitis dua yang menitik ke pipi, ada juga yang menitis ke baju yang sudah basah kuyup disimbah peluh.

“Boleh tahan jugalah. Termengah-mengah mama dibuatnya.” Mama tersenyum puas.

“Lama dah kita tak macam ni kan mama?”

“Is lah, merajuk dengan mama lama sangat. Sampai tak ada peluang langsung untuk kita buat macam ni selalu.”

Aku tersenyum, dua tangan aku letakkan di atas lutut. Pantas peristiwa petang tiga hari lepas menangkap bayangan penglihatan.

Hari itu, mama pulang agak lewat sedikit dari biasa. Keseorangan di rumah membuatkan aku bosan, dua orang adik yang bersekolah menengah tinggal di asrama.

“Is, mama balik ni.” Laung mama dari pintu masuk rumah menangkap gegendang telingaku.

“Lambat mama balik?” Tanyaku yang muncul dari pintu dapur rumah dua tingkat milik arwah papa yang kini menjadi tempat berteduh kami sekeluarga.

Aku berjalan lambat-lambat ke ruang tamu, mama sudah duduk di situ. Aku kemudiannya duduk bertentangan dengan mama.

“Mama ada hal sikit tadi.” Jawab mama sambil meletakkan beg tangannya yang besar di sebelahnya.

Mama mencari sesuatu di dalam beg tangannya kemudian dikeluarkan sehelai baju-t berwarna kuning. Baju itu kemudian diletakkan di dadanya dan diperagakan dari luar badannya. “Cantik tak?”

“Merepeklah mama.” Aku mencebik lalu menekan alat kawalan jauh televisyen. Cerita yang tersiar tidak langsung terkesan pada aku. Fikiranku masih lagi mengarahkan mata ini agar menonton peragaan mama dengan baju-t kuningnya.

“Nah, ini untuk Iskandar.” Mama menghulurkan sehelai baju kuning yang terlipat kemas di dalam bungkusan plastik.

“Mengarutlah mama.” Nada suaraku perlahan.

“Ambillah.” Mama mengukir senyuman.

“Mama, Is tak mahulah. Kalau mama nak pergi, mama pergilah seorang, Is tak mahu terlibat lagi. Mama faham tak?” Aku memarahi mama dan terus melangkah naik ke tingkat atas rumah. Bahagian rumah yang telah lama aku tinggalkan sejak aku mengambil keputusan untuk tinggal di bilik yang selayaknya menjadi bilik orang gaji sahaja.

Mama tidak membalas, biar seribu kali aku memarahinya, dia pasti diam membisu. Perubahan mama aku sedari sejak tiga tahun yang lalu.

Semasa menaiki tangga, aku sempat menjeling ke arah mama. Ada bait-bait sendu tangis kedengaran. Bilikku yang telah hampir tiga tahun aku tinggalkan, aku masuki. Perlahan-lahan aku melangkah.

‘Mama kemas semua ni?’ hatiku bertanya sendiri.

Aku duduk di birai katil bujang. Mataku memerhatikan hiasan-hiasan yang tergantung di dinding bilik. Baju yang menjadi kegemaranku telah mama bingkaikan cantik-cantik dan digantung dengan rapi. Permaidani berlogo Chelsea menjadi hiasan lantainya. Gambar-gambar aku sedang bersorak kegembiraan turut mama gantungkan.

Aku mengambil anak patung Chip and Dale, siri kartun tupai popular pemberian papa ketika aku masih kecil dan kemudian aku peluk erat-erat. Badan yang sedikit berisi, aku rebahkan ke bantal.

Mataku tertancap ke arah sebakul permainan ketika kecil. Di dalamnya ada patung-patung binatang, set lego, kereta polis, patung askar, model kapal terbang dan pelbagai lagi. Semuanya dibeli oleh papa.

Tiba-tiba tombol pintu di pulas. Aku cepat-cepat menutup mata kerana aku yakin mama sedang masuk ke dalam bilik lamaku itu. Kemudian derap langkah perlahan-lahan menghampiri jasad ini.

‘Mama, duduklah sebelah Is.’ Pintaku dalam hati dengan harapan mama dapat mendengar suara hatiku.
Ternyata mama betul-betul mendengar isi hatiku. Aku terus memejamkan mata rapat-rapat.

“Lama mama cari anak mama. Tiga tahun mama cari anak mama yang hilang dalam dunianya sejak dia berusia 21 tahun. Mama rindukan ketawanya. Mama rindukan gila-gilanya. Mama rindukan sengal-sengalnya, dan yang paling mama rindukan adalah senyumannya.”

Mama tidak dapat meruskan kata-katanya. Pipi kananku tiba-tiba terasa panas, aku yakin itu adalah manik-manik airmata mama yang menitik.

“Lama Is tak masuk bilik ni. Kalau Is nak tahu, mama yang kemas dan hias bilik ni untuk Is. Mama tahu Is penyokong kuat Chelsea. Mama juga tahu Is sayang benar dengan baju yang mama bingkaikan tu. Gambar-gambar bersorak gembira ni buat mama lupa siapa Is sekarang. Mama tahu yang Is akan masuk dalam bilik ni dan mama berharap Is akan kembali ke pangkuan mama seperti Iskandar yang mama kenal dulu.”

Mata aku masih kejap terpejam, sedikit pun tidak terbuka. Anak patung pemberian papa aku peluk erat-erat. Seluruh badanku seperti aku cabut suisnya, seolah-olah langsung tiada fungsi lagi.

Mama meletakkan satu bungkusan di sebelah pembaringanku. Aku yakin, itu adalah baju kuning yang mahu diberikan kepada aku tadi.

“Baju ni Is pakai, mama tunggu Is hujung minggu ni, pukul 5.00 pagi di ruang tamu rumah.”

Mama keluar dari bilik sepantas aku membuka mata. Sempat aku melihat dia menyeka airmatanya. Bungkusan baju kuning itu aku peluk bersama patung pemberian papa.

‘Terima kasih mama.’

Tiba-tiba tanganku dipaut. Aku terus kembali ke dunia realiti dan masih lagi di hadapan pusat beli belah Sogo.

“Apa yang Is fikirkan tu?” Tanya mama lembut.

"Mama rasa ada yang mati tak?" Aku mengubah hala tuju perbualan, tidak mahu mama meneka segala gelodak dalam fikiran aku.

"Merepeklah! Macam tu nak mati?" Mama menuding jari telunjuknya sambil menjuih-juihkan bibirnya ke beberapa orang yang sedang berlari-lari.

Aku mengiakan laju-laju. Mata yang sepasang ini aku buka luas-luas.

"Mereka semua kental. Kalau tak cukup kental, macam mana mereka nak berada di sini, betul tak?" Mama memberi pendapatnya.

Aku tersenyum kecil. Mata aku kembali terarah kepada kumpulan-kumpulan kecil manusia berbaju kuning yang sedang berlari-lari. Di penghujung jalan, terdapat beberapa anggota polis trafik sedang berkawal. Anggota rela turut berada di situ memberi bantuan.

Aku menguis-nguis kuku ibu jari ini seraya memandang mama. Tanpa kelip mama memandang aku.
"Kenapa mama pandang Is macam tu?" Aku mengerutkan dahi.

Mama menggerakkan bibirnya, cuba menyampaikan sesuatu yang gagal aku baca dengan baik.

"I can't hear you." Aku sinis memperli sambil menghala telinga capang ini ke arah bibir mama.

"I miss you Iskandar." Mama merenung rambut aku yang tersisir kemas. Kemudian pandangannya dialih ke anak mata ini.

Aku membalas renungan mama. Mata coklat cerah mama aku tenung dalam-dalam. Memang benar, aku juga merindui mama.

"I miss you so much." Ulang mama sambil mengusap rambut aku dengan tangan kanannya.

"Mama, malulah orang nampak." Kulit mukaku yang putih tak semena-mena bertukar merah. Aku cuba menepis tangan mama. Tapi urat-urat tangannya berkeras tidak mahu berganjak dari rambut ini.

"I miss you two mama." Spontan kata-kata itu terpacul dari bibirku.

Mama terkejut dengan kata-kata aku. Usapan tangannya ke rambutku terhenti. Matanya sedikit berkaca, barangkali gembira anaknya sudah kembali.

"And it is not just two you know. It is three, four, five, enam, tujuh, lapan, sembilan, sepuluh."

Aku bingkas bangun seraya menjerit, "aku rindu mak aku puluh, ribu, juta, billion, trillion, zhulian, batalion dan segala lion-lion lah." Selorohku terhenti.

Aku pandang mama semula, kelihatan titis-titis airmata mula menitik ke pipinya. Perlahan-lahan mama seka airmata itu.

Aku duduk kembali, tangan aku secara otomatik mengesat airmata mama yang tak henti mengalir. Semakin aku kesat, semakin laju airmata itu.

"Sudahlah tu mama. Janganlah menangis." Aku pujuk mama dengan nada yang paling lembut pernah aku gunakan.

"Lupakan sejarah hitam silam ya," pujuk mama pula.

"Mama, sejarah tetap sejarah. Kita pasti tak kan dapat melupakan sejarah, tapi kita boleh jadikan ia sumber kekuatan dan sumber inspirasi untuk meneruskan hidup kita. Jadi apa yang boleh kita lakukan sekarang adalah melakukan yang terbaik untuk membina sejarah hidup yang akan kita cipta." Aku kembali bersemangat.

"So bila nak habiskan ni? Sikit saja lagi ni." Tanya mama bersama sendu yang hampir bertepi.

"Nantilah kejap. Bagi hilang lelah ni." Pinta aku pada mama.

“Masa berjalan Is, masa tak akan menunggu untuk kita mencipta sejarah.” Perli mama.

“Kejaplah mama,” pohonku.

Kotak memoriku dibawa ke tiga tahun lepas. Telinga capang sepasang ini aku sumbat dengan alat pendengar telinga. Langkahku ditemani dengan lagu-lagu Josh Groban. Aku menggemari suara-suara klasik berserta lagu-lagu yang memiliki bait-bait yang sangat memberi motivasi dan semangat kepadaku.

"Lima belas kilometer dalam masa satu jam, tiga puluh minit dan dua saat. Masa pusingan enam minit, tujuh belas saat. Jangkaan tamat, dua jam, enam minit." Celah suara perisian telefon bimbit yang sedang memantauku.

Not bad.’ Desisku dalam hati.

“Lagi enam kilometer saja ni. Kita mesti habiskan.” Papa yang betul-betul berada di sebelahku memberi semangat.

Aku membuka alat pendengar telingaku, mahu berbicara dengan papa.

“Papa.”

“Iya Is.”

“Boleh tak kita berhenti sekejap. Kaki is rasa macam tak boleh nak melangkah dah.” Pintaku pada papa.

“Is tak sayang ke? Masa dah cantik dah tu.” Papa memujuk.

“Tapi Is lagi sayang kaki Is lah papa. Nak pakai lama kaki ni. Papa tak apalah, papa dah tua. Is ni baru 21 tahun. Kalau Is mati umur 60 tahun, ada 39 tahun lagi nak guna.”

Papa memberhentikan langkahnya dan terus bercekak pinggang. Dia terus berjalan ke bahu jalan dan duduk atas batu bahu jalan itu. Aku hanya mengikut dari belakang.

“Puas hati?” Ujar papa geram.

Aku pandang wajah papa takut-takut. “Papa marah Is ke?”

Papa kemudiannya tertawa terbahak-bahak membuatkan aku terpinga-pinga sendiri, tidak faham apa yang sedang berlaku kepada papa.

“Hebat tak papa berlakon?”

“Papa ni.” Aku memuncungkan bibir dan tanganku memeluk tubuh.

“Alah, anak papa lelaki seorang merajuk pula. Buruk sungguh rupa lelaki merajuk.” Pujuk papa sambil membelai rambutku.

“Papa,” panggilku lembut.

“Iya Is?”

“Kalau Is nak tanya satu soalan boleh tak?” Aku memandang tepat ke mata papa.

“Apa saja untukmu, ke dasar lautan biru...” Jawab papa dengan menyanyikan lagu Apa Saja dendangan KRU.

“Papa ni main-mainlah. Dengan anak pun nak romantik-romantik.” Aku mengangkat keningku.

Jujur, aku senang sekali dengan sikap papa yang melayani aku sedemikian rupa.

“Okey... okey... tak... tak...” Papa menggeleng-geleng kepalanya. Kali ini dia serius mahu mendengar permintaanku.

“Sekarang ni Is dah habis belajar diploma. Kalau Is nak rehat-rehat dulu boleh tak? Is tak nak sambung ijazah dulu.”

“La kenapa pula.” Papa mengerutkan dahinya.

“Saja.” Aku tiada alasan yang kukuh untuk semua itu.

“Terpulang pada Is. Tapi...”

“Alah, kenapa ada tapi pula.”

“Tapi kita kena habiskan perjuangan kita hari ini ya. Boleh?”

“Baik,” jawabku dengan gembira. Ada bait-bait persetujuan dari wajah papa.

Aku bingkas berdiri mahu memulakan perjuanganku semula. Begitu juga dengan papa.

“Aduh!”

Tiba-tiba aku merasa badanku sebelah kanan dihentam sesuatu. Mukaku tersembam dan badanku tergolek-golek di atas tanah. Kaki kananku tiba-tiba terasa sakit yang teramat sangat. Aku menjerit sekuat hati dek kesakitan yang melampau. Kepalaku terasa berat, terasa cairan panas mula mengalir mengenai kelopak mata. Aku cuba membuka mata.

“Papa!” Jeritku sekuat hati.

Papa mengatasi segala-galanya. Aku hanya mahukan papa sahaja ketika itu.

“Pemandu mabuk! Telefon ambulan!” Kedengaran suara orang bertempik.

“Papa!” Aku menangis.

Jasad papa sudah berada di bawah kereta proton wira yang terbabas. Perlahan-lahan aku mengesot dengan kaki yang sudah tidak ada rasa lagi. Aku sudah tidak hiraukan apa yang berlaku pada diri sendiri.

Aku capai tangan papa yang terjulur keluar dari bawah badan kereta yang melanggarnya. Aku panggil berkali-kali nama papa. Namun tiada sahutan sama sekali. Orang ramai mula mengerumuni kawasan kejadian. Kereta yang yang menghempap papa diangkat oleh orang-orang yang bermurah hati menghulurkan bantuan. Sekujur tubuh kaku terbaring di bahu jalan.

“Papa!” Tiada perkataan lain yang mampu aku keluarkan. Perlahan-lahan aku letakkan kepalaku di atas dada papa. Tiada lagi kedengaran nafas di hembus. Jantungnya pula sudah berhenti berdegup.

‘Innalillahiwainnailaihirajiun...’ Bisikku dalam hati. Tangan papa aku genggam erat.

Tanganku dipaut lagi. Dunia silam bersama papa hilang dari pandangan memoriku.

“Papa!” Aku melatah dek terkejut dengan pautan jari jemari mama.

“Ini mama lah Is.” Mama mengukir senyuman kelat. Lembut suaranya bisa saja mendamaikan sesiapa yang mendengar.

“Maafkan Is mama. Is tak sengaja.” Aku ikhlas memohon ampun dari mama. Sudah banyak kesilapan yang aku lakukan, sudah banyak kali hati mama aku sakiti.

“Tak mengapa Is. Is teringat papa ya?”

Aku mengangguk perlahan. Baju yang tadinya basah dek peluh yang berjujuran beransur kering. Yang tinggal hanyalah bau peluh masam yang melekat.

“What a pleasent surprise. Good job young man.” Seorang lelaki yang aku kira seusia dengan mama menegurku. Siapa dia langsung tidak aku kenali. Tanpa berlengah dia terus duduk di sebelahku. Aku kini berada di tengah-tengah. Mama di sebelah kiriku.

“Eh, pak cik tak nak teruskan ke? Tinggal sikit saja lagi ni.” Aku tiba-tiba merasa rendah diri, mahu sahaja aku menutup kekuranganku ini. Bimbang penerimaan masyarakat yang sebahagiannya sinikal dengan manusia seperti aku.

“Tak mengapalah. Pak cik nak berborak dengan kamu sambil hilangkan lelah.”

Lelaki itu meneguk air mineral yang dibawanya. Ternyata, dia masih gagah membawa dirinya ke sini untuk semua ini.

“Nama anak ni siapa?” Tanyanya setelah menghabiskan air mineral sebotol kecil.

“Iskandar, panggil saya Is. Ni mama saya.”

Mama tersenyum kelat memandang lelaki itu. Dia juga kelihatan seperti tidak selesa melihat aku berbual-bual dengan orang yang tidak dikenali.

“Pak cik, saya minta diri dulu. Nak teruskan. Tinggal sikit saja lagi.” Aku mohon diri. Wajahku berubah, terasa begitu asing berdiri dengan manusia sempurna sepertinya.

“Mari pakcik tolong.” Dipapahnya tangan aku dibahunya.

Aku hanya berbalas pandangan dengan mama. Tidak aku sangka, ada manusia yang masih melihat kekurangan seseorang itu sebagai satu kesempurnaan yang tiada cacat celanya.

“Dah lama kamu begini?”

“Tiga tahun pakcik,” jawabku ringkas sambil berjalan perlahan-lahan..

“Dah lama kamu berlari dalam keadaan begini.”

“Yang pertama selepas kehilangan kaki kanan ini pakcik.”

Aku menunduk memandang ke kaki mekanikal yang fungsinya hampir sama dengan kaki manusia yang sempurna. Namun, ciptaan manusia tetap tidak mampu menandingi ciptaan yang Maha Esa.

“Kamu kerja apa?”

“Tak kerja pak cik. Cadangnya baru nak cari kerja.” Aku menjawab teragak-agak. Lalu pandanganku teralih kepada mama.

Mama mengecilkan matanya dan dahinya dikerutkan. Mungkin terkejut dengan jawapanku.

“Kelulusan kamu?”

“Diploma kejuruteraan awam, UiTM.”

“Bila graduate?”

“Tahun 2009.”

“Lamanya.” Lelaki itu mendorong badannya sedikit ke belakang. Mungkin dia juga terkejut seperti mama.

“Mencari kekentalan untuk mencipta sejarah.” Aku berseloroh diikuti tawa mama yang menekup mulutnya dengan tangan.

“Mencari kekentalan untuk mencipta sejarah? Pak cik tak paham.” Lelaki itu mengerutkan dahinya.

“Tak ada apa-apalah pak cik. Ni pak cik lari seorang diri ke?”

“Bujang tua, macam ini lah Iskandar.”

Aku mengenyitkan mataku ke arah mama. Tetapi mama mengalihkan pandangan jauh-jauh dari kami berdua. Tidak mahu masuk campur urusan lelaki barangkali.

“Ni kad pakcik. Nanti telefonlah, boleh datang temuduga. Mana tahu ada jawatan yang sesuai.”

“Terima kasih pak cik.”

“Sama-sama, pak cik jalan dulu.”

Lelaki itu memulakan lariannya. Mama menghampiri aku, kad nama itu diambilnya.

“Nama pak cik tu Dato’ Razali.” Aku memberitahu mama.

“Alhamdulillah, syukur atas takdir Allah.”

“Sekarang kita nak cipta sejarah baru tak mama?” Aku mengukir senyuman meleret.

“Jomlah. Mama cabar Is.”

“Baik, sejarah itu adalah Iskandar pinangkan Dato’ Razali untuk mama ya.” Aku membuka langkah, melarikan diri dari di cubit mama akibat kenakalan kata-kataku.

Aku berlari kencang menghampiri garisan penamat. Mama mengejar dengan kudrat kasih sayang yang tak ternilai harganya. Untuk kali ini, aku berjanji yang aku akan sentiasa menjelma dalam hidup mama, bukan hilang disetiap penglihatannya.

Aku mengambil pingat tamatnya larian marathon, yang pertama setelah kehilangan kaki kananku. Tanpa berlengah, aku sarungkan ia dileher seraya aku mendapatkan mama.

“Mama, tengok ni,” kataku. Aku mengukir sebuah senyuman paling ikhlas untuk mama. Aku yakin, itulah senyuman yang paling dirinduinya sejak tiga tahun yang lalu. Maka tertunailah salah satu hasrat rindu mama, mahu melihat aku tersenyum.

1 comment:

Mardihah said...

Mendalam sekali. kisah seorang anak dengan kakinya yang patah. saya turut di bawa emosi.