Saturday, September 15, 2012

Laila Namamu Teratas Episod 21

[Kenapa awak buat macam ni pada saya? Apa yang awak nak sebenarnya? Nak mempergunakan saya. Mentang-mentang saya lemah, mentang-mentang saya insan yang kekurangan. Saya nak awak jawab sekarang.]

Keras nada pesanan ringkas yang diterima Sabri itu. Lalu dia teringatkan ayat terakhir yang ditulisnya. [Saya mohon maaf kalau saya mengganggu kehidupan awak. Saya hanya mahu bersahabat dengan awak. Kalau awak sudi, ini nombor saya – 010-666787]’. Itulah ayat terakhir yang ditulisnya sebelum dia meninggalkan gadis itu.

Sabri yang sedang berbaring-baring di dalam biliknya hanya tersenyum mendapat khidmat pesanan ringkas itu. Dia percaya gadis yang serba kekurangan itu mula menunjukkan minat kepadanya.

[Saya Sabri. Salam perkenalan dari saya. Nama saudari?]

Sabri mula memasang angan-angan yang dia sedang sama-sama melukis dengan gadis itu di tepi pantai. Telefon bimbitnya berbunyi kembali menandakan satu khidmat pesanan ringkas masuk.

[Saya Yati. Awak nak apa sebenarnya?]

[Saya nak berkawan dengan awak. Jadi teman melukis awak. Kalau boleh saya nak belajar melukis dari awak. Saya terima kekurangan awak itu seadanya, kerana saya juga manusia biasa, tidak sempurna. Apa adanya saya. Itulah saya.] Sabri menyusun kata.

[Saya tak berminat Encik Sabri.]

[Awak ni sombong sangatlah. Janganlah sombong sangat, dalam hidup ni kita harus bermasyarakat. Kita perlukan sahabat. Kita perlukan teman bercerita. Kita perlukan teman ketawa, menangis, berduka dan sebagainya.] Sabri melukis kata-katanya.

Sabri tersengeh-sengeh menanti balasan pesanan ringkas itu.

“Menarik juga kau ni ya Yati. Aku bersumpah mahu menjadi sahabat kau. Kalau kau sombong sangat, aku tahu apa yang harus aku lakukan.” Ngomel Sabri sendirian.

Sabri berdiri di di birai tingkap biliknya. Memandang keindahan malam dari biliknya. Kemudian dia memandang ke langit. Bulan sedang mengambang penuh. Di kelilingnya, bulan itu dipagari bintang-bintang yang berkelip-kelip. Dia senyum memandang ke bulan.

“Tak balas pula minah ni. Merajuk ke?”

Sabri mengambil telefon bimbitnya dan mula menekan papan kekunci telefon bimbitnya.

[Selamat malam, Yati.]

Sabri merebahkan badannya di atas katil dan melelapkan matanya, mengharapkan mimpi indah muncul dalam tidurnya.

1 comment:

eddy syrol said...

waaa...updated... tahniah.. (~_~)