Thursday, December 23, 2010

Laila Namamu Teratas Episod 11




“Abang bangun. Kenapa tidur sini?” Alisa mengejutkan suaminya yang sedang lena di kerusi ruang tamu ditemani dengan televisyen yang masih lagi bersiaran.

“Ha?” Zafuan terkejut dikejutkan isterinya.

“Kenapa tidur di sini. Kenapa tak masuk bilik saja tidur?” Alisa mengambil alat kawalan jauh televisyen lalu ditutup sahaja siaran televisyen itu.

“Abang terlelap Lisa. Dah lama Lisa balik.” Zafuan yang tadinya sedang baring segera duduk. Matanya digosok-gosok.

Alisa duduk di sisi suaminya yang masih lagi separa sedar dari tidur. Bahu suaminya dicapai dengan tangan kanan lalu diurut perlahan. Hatinya diruntun rasa simpati terhadap suaminya yang penat bekerja.

“Baru saja.” Alisa menjawab ringkas.

“Oh.” Zafuan masih lagi terpisat-pisat.

“Abang dah makan belum?”

Alisa mendorong wajahnya tepat berhadapan dengan wajah suaminya. Memandang seluruh wajah yang sangat disayangi dan dicintainya. Sesaat berpisah sudah membuatkan dia rindu mahu menatap wajah suaminya.

“Belum lagi. Abang tunggu Lisa.” Zafuan sempat melelapkan mata ketika berbual bersama isterinya.

“Kenapa tak makan saja dulu? Kan Lisa dah cakap Lisa balik lewat. Dah dekat pukul 10.00 dah, nanti perut abang tu masuk angin. Lagi satu, kenapa tak mandi lagi ni?” Lisa memengerutkan dahinya hairan, suaminya sudah lama pulang ke rumah tetapi masih lagi lengkap berpakaian kerja.

“Lepas Solat Maghrib abang baring sekejap. Tak sangka lama pula terlelap.” Terang Zafuan.

“Dah, pergi mandi. Lepas itu kita Solat Isya’ dan kemudian kitamakan sama-sama.”

“Lepas tu?”

Zafuan memandang isterinya dengan sebuah senyuman yang nakal. Satu cubitan mengenai peha Zafuan. Dia mengerutkan dahi, kesakitan manja dicubit isterinya.

“Mengadalah abang ni.” Alisa meletakkan beg tangannya di atas meja lalu dia menghidupkan semula televisyen di hadapannya.

“Jom mandi sama-sama.” Zafuan merangkul erat isterinya dengan tangan kanan.

“Gatal! Abang mandi bilik air lagi satu.” Lisa mencubit hidung suaminya.

“Mandikan Abang boleh?” Zafuan merengek seperti budak kecil, merayu mahu ditatang bagai minyak yang penuh.

“Macam-macamlah Abang ni.” Alisa tidak langsung memandang suaminya. Matanya menumpukan sepenuh perhatian terhadap rancangan televisyen yang sedang ke udara. Malas dia mahu melayan karenah suaminya itu.

“Bolehlah.” Rayu Zafuan.

“Jangan nak mengada ya Abang. Bilik air rumah ini ada dua, seorang satu. Dah, Lisa nak mandi dulu.” Alisa mencampakkan alat kawalan jauh ke atas meja seraya bangun mahu meninggalkan suaminya yang masih lagi duduk.

Telapak tangan Lisa diraih oleh Zafuan. Langkah Lisa terhenti lalu pandangannya terus menerpa ke arah suaminya.

“Alisa.” Lembut sahaja Zafuan memanggil nama isterinya.

“Iya abang.” Tenang sahaja suara Alisa.

Telapak tangan Alisa diusap lembut lalu dikucup perlahan oleh Zafuan. Alisa hanya memandang dan tersenyum nipis. Zafuan kemudian memandang tepat ke mata Alisa. Dia mahu Alisa mengerti setiap yang terbuku di hatinya.

“I love you.” Zafuan meletakkan telapak tangan Alisa di dadanya sambil matanya dipejamkan.

“Mengada.” Alisa menarik tangannya lalu mencebik ke arah suaminya. Kemudian cepat-cepat dia membuka langkah mahu ke kamar mandi untuk membersihkan diri.

Jauh di sudut hatinya, dia bahagia diperlakukan sedemikian. Gurau-senda suaminya itu membuatkan hatinya semakin berdegup kencang setiap kali menghadapi lelaki itu yang sudah dinikahi hampir setahun.

“Cepatlah Abang mandi. Lepas itu kita boleh solat jemaah. Kemudian makan.” Perintah Alisa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

‘Liat sungguh kalau di suruh mandi.’ Getus Alisa dalam hati.

1 comment:

epy elina said...

alah...
zafuan dah kawen...
hbs 2 laila mcm mna...
kcian laila...
msh mnghrp ngn zafuan....