Tuesday, March 16, 2010

Bab 22: Seri


Segak hari itu dia mengenakan baju pengantin, gabungan rona krim dan hijau epal. Sekali-sekala dia memperbetulkan tengkolok yang terletak dikepalanya. Lantas dia bangun dari meja persalinan. Wakil-wakil rombongan yang menghantarnya sudah lama menunggu di halaman rumah penanggah. Menunggu untuk diaraknya raja sehari.

Melangkah dia perlahan-lahan dari bilik persalinan menuju ke tangga. Dilabuhkan punggungnya untuk memakai dan kasut. Semua terpesona memandangnya.

Terus sahaja dia berdiri di hadapan seluruh rombongan. Di sebelahnya, pengapit yang segak berbaju melayu Johor hijau, bersongkok hitam yang sedikit tinggi dari biasa, bersamping songket rona hitam dan berkasut kulit, setia pengapitnya memegang kipas tangan dan payung raja sehari. Disisi mereka, dua orang kanak-kanak lingkungan 12 tahun memegang bunga manggar berwarna hijau dan perak di kanan dan kiri. Di belakang mereka, ahli keluarga yang setia menunggu dari awal tadi. Barisan kompang pula, sedang bercanda tawa di belakang sekali.

Jam sudah menunjukkan tepat jam 2.00 petang. Kompang dipalu. Majlis semakin hangat. Langkahnya mula diatur perlahan-lahan. Berjalan menuju ke rumah pengantin perempuan.

Dihalaman rumah, khemah-khemah tetamu tersusun kemas dan dihias indah. Mata-mata tetamu yang hadir tidak henti memandangnya berjalan sambil menikmati hidangan makanan.

Pengantin lelaki yang tiba disambut oleh seorang wanita pertengahan usia. Disuruhnya duduk di kerusi yang disediakan. Diberikan segelas air sebagai penghilang dahaga.

Sebagai raja sehari, dipersembahkan padanya silat selamat datang oleh remaja-remaja kampung. Tanda muafakat dan kekuatan ikatan yang terbina atas dasar cinta Adam dan Hawa. Juga tanda persaudaraan yang telah terbina. Pengantin lelaki tersenyum sahaja.

Langkahnya diteruskan, melangkah ke pelamin dengan penuh tertib. Setibanya dihadapan pelamin penuh dengan anak-anak dara kampung duduk di tangga pelamin.

“Tinggi menegak pinang sebatang, Tumbuh melati tepi akarnya, Sungguh segak tuan yang datang, hajat dihati apa mahunya?” Serangkap pantun dijual oleh seorang anak dara jelita itu.

“Pergi ke pasar diwaktu petang, Membeli pati ulam dicita, Hajat besar rombongan yang datang, Satukan hati insan bercinta.” Wakil rombongan membalas serangkap pantun.

Senyum sahaja hadirin yang ada di situ. Lantas pengapit lelaki menghulurkan sampul duit raya atau lebih dikenali duit tol kepada anak-anak dara itu. Anak-anak dara itu pun beransur.

Tinggallah yang terakhir. Buka kipas oleh mak andam. Lantas dihulurkan sampul merah kepada mak andam. Tanpa berlengah, mak andam membelek isi didalamnya. Tersenyum dia. Lantas kipas yang menutupi wajah pengantin perempuan dialihkan. Cantik bagaikan puteri raja.

Tersenyum pengantin lelaki melihat cinta hatinya. Perlahan-lahan dia mengambil tempat duduk disebelah sang pengantin perempuan. Wajah mereka berdua terukir senyuman bahagia saat disatukan diatas pelamin.

Rombongan yang hadir mengambil tempat. Cahaya lensa kamera mula menerjah mereka. Paluan kompang masih lagi kedengaran diluar mengalunkan lagu pengantin. Acara menepung tawar pun bermula. Tersipu-sipu malu saat mereka diusik.

“Cepat-cepat dapat anak ya.” Antara kalimat yang didengar sewaktu menepung tawar.

Selesai makan beradab persandingan, pasangan mempelai ke meja makan beradab. Rombongan yang tiba pun turut serta manjamu selera.

“Auji”

Suatu suara menegur Auji dari belakang. Auji lantas memusingkan seluruh badannya. Auji sedikit kaget.

“Eh, Wan. Apa khabar kau?”

“Alhamdulillah, sihat.”

“Kau sihat?”

“Macam ni lah Auji.”

“Datang seorang saja?” Auji mencari-cari kalau-kalau ada Hana bersama dengan Wan.

“Aku datang seorang saja.”

“Dah makan?”

“Sudah”

“Kalau macam tu, aku makan dulu.”

“Boleh aku temankan kau makan. Lama aku tak borak-borak dengan kau Auji.”

“Owh, apa salahnya. Tapi apa kata isteri kau nanti.”

Wan tertunduk sedikit kemudian dilemparkan pandangannya jauh ke kiri. Auji jadi tidak keruan apabila mulut cabulnya pantas membuka cerita lama.

“Aku ambil makanan dulu. Kau duduklah mana-mana. Nanti aku datang.”

Auji ke arah tempat makanan. Lapar sungguh dia hari itu. Seharian dia belum menyentuh makanan. Wan mencari tempat duduk. Akhirnya dia melabuhkan punggungnya di kerusi plastik di hujung kawasan makan. Jauh dari ramai orang.

“Ha Wan. Apa cerita kau sekarang?”

Auji meletakkan pinggannya yang penuh dengan nasi minyak dan lauk-pauk. Lantas dia duduk dan terus mencuci tanganya. Tanpa berlengah dia terus membaca doa dan menyuap makanannya.

“Macam ni lah. Hidup menduda. Uruskan perniagaan aku tu. Pagi pergi kerja. Petang balik. Tak menarik pun hidup aku sekarang ni Auji.”

Auji khusyuk menjamu selera. Sekali-sekala dia mengalih perhatiannya pada Wan. Sememangnya Wan sudah berubah.

“Sunyi tu kadang-kadang ada la. Tapi hidup ni mesti diteruskan. Walaupun sukar.”

“Pandai kau berkata-kata. Tak ubah macam dulu.” Cepat sahaja Auji mengusik.

“Aku tak pernah berubah Auji. Masih tersimpan kemas nama kau dalam hati aku.”

“Eh, dah dah. Semua tu kisah lama.”

Auji tidak sanggup mendengar lagi kisah lama yang diungkit kembali. Dia sudah lama melupakan kisah lama itu. Selama itu juga dia sudah memaafkan Wan.

“Eh, kat sini kau Auji. Jenuh aku cari kau. Sakan betul borak dengan Wan.” Anis yang cantik berbaju pengantin tiba-tiba menerjah Wan dan Auji. Azim menuruti Anis dari belakang.

Hampir tersedak Auji tiba-tibe ditegur Anis. Cepat-cepat dicapai gelas minumannya. Wan tertunduk malu.

“Wan, terima kasih sudi datang.” Anis mengukir senyuman.

“Tahniah Anis. Tahniah Azim.” Wan bangun sambil menghulurkan salam kepada Azim.

“Owh, terima kasih. Ni dah makan belum ni.” Anis hairan melihat Auji seorang sahaja yang makan.

“Dah dah. Oklah Anis. Aku gerak dulu. Dah lama sangat aku ni.” Kalut Wan meninggalkan mereka.

“Terima kasih banyak-banyak sebab datang.”

Anis senyum simpul dan mengekori Wan dengan lirikan matanya. Azim sekadar melambai Wan. Auji sekadar meneruskan makan yang belum lagi habisnya sejak tadi lagi.

“Auji, aku dengan Azim nak pergi buat outdoor photoshoot. Kau nak ikut tak?”

“Nak buat kat mana?”

“Mana lagi. Pantailah.”

“Nak nak.”

Auji girang. Pantai itu meninggalkan banyak kenangan. Lama dia tidak pergi ke pantai itu.

“Kau makan dulu sekarang baru pukul 3.30. Kita pergi lepas Solat Asar karanglah dalam pukul 5. Kau nak rehat ke, nak Solat Asar ke. Kau guna saja bilik aku.”

“Aku cutilah.”

“Kalau macam tu ikut kau lah. Aku nak pergi salam saudara mara aku kejap.”

Anis dan Azim meninggalkan Auji. Auji melepaskan jauh pandangannya. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan Amir.

1 comment:

i'm nobody said...

da kwen anis ngan azim... ape jd kat hana ye...