Monday, August 16, 2010

Loro: Jilbab Episod 3


Tajuk : Jilbab
Penulis : El-Zaffril
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8.08 malam. Chendana Episod 3 akan disiar pada 18 Ogos 2010.

Jilbab (Episod 3)

Dia berdiri di atas jalan disatu tempat yang padanya, seperti dikenali. Diperincikan pandangannya ke setiap sudut lanskap yang menghiasi. Sebuah jalan kampung, pintasan dari kampung sebelah menyebelah. Kemudian, sebuah masjid berwarna oren yang terletak dihujung simpang dan di belakang masjid itu, sebuah kuburan.

‘Aku tahu tempat ni.’ Desisnya dalam hati.

Matanya pantas tertancap ke arah sekumpulan manusia yang sedang duduk mengelilingi sebuah pusara. Perlahan-lahan dia membuka langkahnya ke arah manusia manusia yang berkumpul mengelilingi pusara itu.

Diamati satu-persatu wajah yang mengelilingi pusara itu. Ada yang seperti sangat dikenali. Namun, dia gagal membuka kotak ingatannya. Dia terasa janggal sekali. Kelihatan,mereka baru selesai mengambus pusara itu dan kemudian meletakkan dua nisan kayu diatasnya.

‘Aku di mana? Siapa mereka ini?’ Bisiknya sekali lagi di dalam hati.

Sayup-sayup kedengaran talkin di baca. Semakin dia menghampiri, semakin jelas kedengaran talkin itu.

Bismillahhirrahmanirrahim.

Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa. Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.

Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa,melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Mahabesar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.

Wahai Ahmad Zamri Bin Siti Hajar , wahai Ahmad Zamri Bin Siti Hajar,wahai Ahmad Zamri Bin Siti Hajar, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini.

Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat.

Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa senya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

Ingatlah wahai Ahmad Zamri Bin Siti Hajar, apabila datang kepada kamu dua orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai Ahmad Zamri Bin Siti Hajar, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala.

Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu. Mereka berkata:
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.
Hendaklah kamu jawab begini:

Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu qiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan,mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah".

Wahai Ahmad Zamri Bin Siti Hajar tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal didalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semua untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai Ahmad Zamri Bin Siti Hajar, bahawa senya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar,bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar,berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar.

Bahawa senya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.

Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini.Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham dulillahi rabbil alamin.

Saat talkin itu habis dibaca, dia mengundurkan langkahnya ke belakang. Dirinya tidak terasa langsung bahang matahari yang membakar di kala matahari sudah tegak meninggi.

“Setiap yang bernafas, Pasti akan Mati - Kullu nafsin za iqatul maut.” Kedengaran sebuah suara muncul dari belakang.

Dia kaget saat mendengar suara itu dari belakangnya. Pantas dia menoleh ke arah suara itu, namun mulutnya seperti terkunci rapat dari terus bertanya. Terlalu banyak persoalan yang bermain di benaknya. Namun soalan itu seperti tersekat di kerongkongnya.

Kemudian lelaki yang bersuara itu terus bergegas membuka langkah. Keluar dari kawasan tanah perkuburan itu. Sebuah kereta BMW putih menunggunya di sisi jalan kecil. Pantas lelaki itu memasuki perut kereta itu dan meluncur laju, kemudian membelok ke kanan di simpang masjid, sayup-sayup kemudian hilang dari pandangan.

Para tetamu pusara itu kemudian berkemas-kemas mahu meninggalkan jasad yang telah selamat dikebumikan seorang diri. Dia pantas berjalan ke arah seorang wanita yang sedang menangis teresak-esak.

“Makcik, jangan sedih ya makcik.”

Dia cuba memujuk tetapi langsung tidak diendahkan oleh wanita separuh usia yang sedang berdiri kaku itu. Matanya pantas memandang para hadirin yang mula beransur pulang. Dia langsung tidak diendahkan langsung oleh sekalian yang sedang berjalan keluar dari kawasan perkuburan itu.

Dia merasakan dirinya hanya ilusi pada pandangan mata kasar manusia-manusia itu. Pantas dia melihat ke arah tangannya. Sedikit pucat seperti tiada pengaliran darah. Diraba-raba pula wajahnya, masih terasa lembut wajahnya cuma suhu kulitnya dirasakan begitu rendah. Matanya pantas memerhatikan ke arah kanannya, ada seorang wanita yang hanya berkemban menguis-nguis tanah. Saat terjumpakan cacing, dimakannya cacing itu.

Kemudian matanya tertancap ke arah hadapan, seorang remaja lelaki bogel terbaring di atas tanah sebuah pusara yang hanya diliputi sekaki kain putih di atas peha hingga ke pusatnya. Dia seperti terseksa dalam keadaan berbaring itu. Mulutnya ternganga dan matanya membulat tepat memandang ke langit. Sedikit demi sedikit keluar air seperti warna lumpur dari mulut remaja lelaki itu.

Tidak sanggup memandang seksa remaja lelaki itu, dia mengalihkan pandangannya ke arah kiri pula. Kelihatan seorang lelaki compang-camping pakaiannya sedang mengesot ke arahnya. Pantas dia menutup matanya, tidak sanggup melihat lagi apa yang berlaku.

Kelopak matanya ditutup rapat. Dalam keadaan matanya tertutup dan pandangannya gelap. Kelihatan seorang lelaki berjubah serba putih lengkap berserban melintas di kelopak matanya. Cepat-cepat dia membuka matanya kembali.

Matanya membulat. Apa yang dilihat tadi sudah tiada dipandangannya. Tiada lagi kuburan. Tiada lagi tetamu pusara. Tiada lagi jasad-jasad yang aneh dimatanya. Yang ada hanyalah bangunan-bangunan batu. Dia berdiri betul-betul dipenjuru simpang berlampu trafik yang penuh manusia sedang menunggu masa untuk melintas. Dia berdiri paling hadapan antara manusia-manusia itu.

“Di mana aku ini?” Dia berkata perlahan.

Dia keliru, bagaimana sepantas itu dia boleh berada di situ.

Bersambung...

1 comment:

Anonymous said...

saudara penulis,

peka pada kata sendi. bila di gabung dengan perkataan yang bersifat perbuatan atau tempat, pastikan sama ada perlu dijauhkan atau didekatkan dalam membentuk satu-satu ayat.

kurangkan penggunaan di yang terlalu banyak.

teks talkin menaikkan mood cerita.

keep up the good work.

-pembaca Jilbab-