Friday, September 14, 2012

Laila Namamu Teratas Episod 20

Alisa keluar dari dapur setelah mendengar bunyi pintu hadapan rumahnya dibuka. Ikan yang baru saja digorengnya untuk makan malam dibiarkan di kuali sementara menunggu garing. Sempat dia menjeling jam yang tergantung di dinding dapur.

“Eh Abang, awal balik. Selalu pukul 7.00 paling cepat sampai. Ni baru pukul 5.30 dah sampai rumah.” Tegur Alisa.

Alisa menegur suaminya yang baru pulang dari kerja. Zafuan merebahkan badannya ke kerusi malas ruang tamu. Letih benar kelihatannya hari ini. Alisa duduk di bahagian kaki Zafuan.

“Lisa masak apa hari ini?” Lembut suara Zafuan sambil membelai rambut isterinya yang panjang mengurai.

“Lisa tengah goreng ikan. Ingat nak masak lemak cili api ikan tu. Lepas tu, nak goreng kangkung dengan belacan. Ada nak tambah menu lagi.” Lisa memberi sebuah senyuman terhadap suaminya.

Zafuan hanya menggelengkan kepalanya. Betapa bahagianya memiliki seorang isteri yang mengambil berat dan memberikan sepenuh kasih sayang terhadapnya. Walaupun saat menerimanya dulu dalam keadaan terpaksa. Ibu Zafuan yang berkeras menyuruhnya berkahwin dengan Alisa, teman sekolah rendah adiknya.

“Lisa, kenapa berasap dapur tu?” Zafuan menjuihkan bibirnya ke arah dapur.

“Ya Allah, Lisa lupa. Lisa panaskan kuali nak masak kangkung goreng belacan.” Kelam-kabut Alisa dibuatnya teringatkan kuali yang sedang kepanasan di atas dapur gas.

Alisa bergegas ke dapur. Fikiran Zafuan masih menerawang, memori perkahwinannya dengan Alisa muncul kembali. Masih terngiang-ngiang bagaimana dia dipaksa oleh ibunya untuk berkahwin.

“Mak, Zafuan tak mahu kahwin lagi. Zafuan tak sedia lagi la mak.” Zafuan cuba memberi alasan tatkala ibunya mengajukan soalan bila dia mahu berkahwin.

“Kenapa? Ada masalah. Kamu tu dah 27 tahun dah. Takkanlah kamu tak sedia lagi Zafuan. Pakcik-pakcik kamu dah tanya pasal kamu. Kalau kamu tak ada calon, mak nak cadangkan calon.” Keras nada suara Asmah kepada anak bujangnya yang seorang.

“Mak, Zafuan betul-betul tak sedia lagi. Perbelanjaan Zafuan sebulan cukup-cukup saja. Lebih tak pernah, Alhamdulillah tak pernah kurang. Janganlah bebankan Zafuan lagi mak.” Zafuan menambah alasan.

“Zafuan, adik kamu dah kahwin. Abang-abang dengan kakak-kakak kamu semua dah beranak-pinak dah.” Asmah sedaya-upaya mahu menang dalam perdebatan ini. Dia tidak mahu anaknya terus-terusan hidup membujang.

“Mak, bukan Zafuan tak mahu kahwin mak. Masalahnya diri-sendiri pun tak lepas. Nak tanggung anak orang. Zafuan nak bagi makan apa?”

“Zafuan, mak sanggup tanggung semuanya. Duit hantaran, barang hantaran dan majlis. Zafuan sediakan mas kahwin saja.”

“Mak...”

Zafuan kehilangan kata-kata. Betapa kali ini dia tidak mampu lagi memberi sebarang alasan. Semua alasan itu sengaja diciptanya. Bilik kebal tempat menyimpan hatinya dari menerima sesiapa dalam hidup kian roboh dek perjalanan hidup yang diatur semula oleh ibunya.

“Calon dah ada?”

“Tak ada.” Zafuan menjawab perlahan.

“Calon untuk kau, Dr. Alisa. Mak dah pinangkan untuk kau. Suka atau tidak, kamu kena terima dia seadanya dan mencintai dia seadanya. Belajar mencintai oranglain Zafuan, nescaya kamu akan bahagia Zafuan. Kisah lama tak akan membawa engkau ke mana-mana. Sudahnya kamu akan merana.”

“Mak...” Kata-kata Zafuan dimatikan oleh ibunya.

“Zafuan, tahun ni tahun 2009. Sudah bulan Nomber sudah pun. Pertengahan tahun depan kamu kahwin ya. Nanti mak bincang tarikh dengan keluarga Alisa.”

“Mak...” Dirasakannya, terlalu cepat perubahan yang bakal berlaku dalam hidupnya.

“Keputusan mak muktamad.”

Zafuan kehilangan kata-kata.

‘Mungkin selama ini aku terlalu menyeksa hati aku atas kesilapan mencintai wanita yang tak pernah menghargai cinta aku yang sepenuh hati.’ Bisik hati Zafuan.

No comments: