Tuesday, June 26, 2012

Cerpen: Bukan Salah Papa

“Juga diingatkan bahawa pada awal penyiasatan, polis mencari suspek yang deskripsinya tidak sama dengan tertuduh. Siapa suspek ini tidak pula dijelaskan oleh pendakwaan dan pegawai penyiasat kes ini. Suspek itu pula adalah seorang lelaki berbadan gelap. Hal ini pula menimbulkan tanda tanya dan menggandakan keraguan kepada pendakwaan. Hasil daripada kesimpulan saya berlandaskan fakta kes dan inferens munasabah setelah memberi penilaian maksimum kepada kes pendakwaan, mahkamah ini memutuskan bahawa kes prima facie terhadap tertuduh tidak terbukti. Oleh itu mahkamah ini memutuskan agar tertuduh tidak dipanggil untuk membela dirinya. Hassan Bakri awak dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan ini.”

Bait-bait kata terakhir Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meredakan penantian penuh debar Hassan Bakri. Saat keputusan dibacakan, dia terus tertunduk. Airmatanya menitik setitis ke lantai kandang pertuduhan. Akhirnya kebenaran terbukti juga, bukan dia yang membunuh Rozita Budin.

Diseka sisa airmata kegembiraan yang mengalir lantas pandangan dialih ke arah manusia-manusia yang sentiasa sabar menemaninya dan setia mendengar perbicaraannya. Dua orang anak perempuannya, ibunya dan isterinya yang sedang sarat mengandung menjadi penguat semangatnya sepanjang kesnya disebut di mahkamah.

Dia langsung tidak menyangka niatnya untuk membantu penyiasatan polis mengheretnya ke kandang pertuduhan seterusnya dijadikan kambing hitam manusia-manusia berkepentingan.

‘Aku berjanji aku akan berubah. Menjadi seorang anak, suami dan papa yang baik.’ Bisiknya dalam hati.

Hassan Bakri mengangkat dua tangannya separas dada seraya berdoa. ‘Aku mohon ampun dariMu Ya Allah. Aku terlalu banyak berdosa terhadapMu. Aku mengharapkan pintu taubatMu sentiasa terbuka untuk aku, seorang manusia yang tak lepas dari melakukan kesilapan. Berilah aku kebahagiaan dunia dan akhirat. Bukakanlah pintu hidayah untuk diriku dan jadikan aku insan yang bisa membimbing dan memimpin seluruh keluargaku ke syurga. Amin.’ Usai berdoa, Hassan Bakri menyapukan tangannya ke muka. Memanjat kesyukuran tanpa batasnya.

###

"Suratkhabar ni pandai betul menambah-nambah cerita. Rozita ni bukan dibunuh dan dirogol, tapi membuat hubungan seks ganas." Getus Tasnim sambil menutup akhbar Harian Retro yang dibacanya. Dilipat kemas akhbar itu lalu diletakkan di atas meja. Air nescafe panas menjadi hidangan pagi itu dihirupnya perlahan-lahan.

Hanafi diam, pandangannya diarahkan terus ke padang bola yang terletak bersebelahan kafe. Tasnim dihadapannya langsung tidak dihiraukan.

Tasnim meletakkan cawan nescafenya di piring semula. "Kalau baca di internet lagi ganas, ada yang kata, dia ni pelacur kelas atasan. Salah seorang yang melanggannya berpangkat VVIP. Agaknya berapa bayaran dia satu malam ya?" Tasnim menambah.

Hanafi melihat jam di tangannya, baru menunjukkan pukul 8.45 pagi. Ada lima belas minit sebelum bermula kelas pertamanya untuk hari itu.

"Ada orang cakap, Hassan Bakri ni tak salah. Dia cuma nak beri kenyataan sahaja. Tak ada kena mengena pun dengan Rozita ni, cuma kekasih Rozita." Sambung Tasnim. Niatnya mahu menarik minat Hanafi untuk berdiskusi dengannya tentang perbicaraan kes yang baru sahaja selesai.

Hanafi masih mendiamkan diri.

"Tapi aku pelik juga. Eksekutif pemasaran, umur baru 22 tahun dan tinggal di Sri Hartamas. Wow, sangat menakjubkan. Asal dari ceruk kampung tu. Kalau latar belakang keluarga dia tu kaya-raya, aku tak hairan. Banyak sangat ke dapat dari model sambilan tu?"

“Kenapa kau sibuk sangat dengan hal Hassan Bakri dengan Rozita?” Hanafi mula bersuara, telinganya tidak tahan dengan hujah-hujah Tasnim yang seolah-olah tahu serba-serbi kes Rozita Budin.

“Kau tak ikut perkembangan semasa ke?” Soal Tasnim.

"Ikutlah, tapi aku tak berminat sangat. Lebih baik aku tumpukan pada hidup aku di sini.” Jawab Hanafi malas.

"Apalah kau ni, kisah menarik ni."

“Apa yang menarik sangat kes ni? Cuba kau terangkan pada aku.”

"Mestilah menarik. Seorang eksekutif pemasaran merangkap model sambilan bolah hidup mewah di Sri Hartamas. Lepas tu dia kononnya dirogol dan dibunuh dengan kejam. Kan menarik tu. Aku pernah tengoklah si Rozita jadi model dalam majalah. Katik-katik macam tu pun boleh jadi model. Macam ada sesuatu yang tak kenalah. Tapi dalam kes ni, aku paling kasihan pada isteri Hassan Bakri dengan anak-anaknya. Isteri dia sedang mengandung, lepas tu anak-anak dia dua orang sedang bersekolah. Seorang tingkatan empat dan seorang lagi tingkatan dua. Macam mana agaknya anak-anak dia nak menghadap masyarakat? Kalau aku, mesti menyorok setahun dalam bilik. Tersangatlah malu."

“Aku nak ke kelas dahulu.” Hanafi bingkas bangun dari duduknya seraya berjalan meninggalkan Tasnim.

“Hanafi, tunggulah aku!” Terkocoh-kocoh Tasnim mengemas buku-bukunya dan lantas mendapatkan Hanafi.

###

Zuraidah berjalan dari arah dapur, membawa dua cawan air kopi kosong panas ke ruang tamu. Suaminya sedang menonton siaran televisyen lewat malam.

“Budak-budak dah tidur?” Tanya Hassan Bakri kepada Zuraidah yang baru sahaja duduk di sebelahnya.

“Sudah Abang. Nah, kopi untuk Abang.” Zuraidah menghulurkan secawan kopi buat suaminya. Jarum jam dinding menunjukkan tepat pukul 10.30 malam.

Hassan Bakri khusyuk menonton filem cina yang sedang bersiaran di kaca televisyen. Filem aksi Police Story lakonan Jackie Chan menarik perhatiannya untuk terus menonton. Sekali-sekala kopi panas di dalam cawan dihirupnya.

“Abang.” Perlahan nada suara panggilan Zuraidah.

“Iya sayang.” Hassan Bakri memandang ke arah isterinya.

“Saya mohon maaf terhadap abang kalau saya tidak mampu untuk menjadi seorang isteri yang baik kepada abang. Saya minta maaf kalau saya tidak mampu menjadi ibu yang baik kepada anak-anak abang. Saya minta halal makan minum saya sepanjang saya hidup bersama dengan abang. Saya mohon ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki pada abang.” Anak mata Zuraidah langsung tidak memandang ke arah Hassan Bakri.
Hassan Bakri terus memandang wajah isterinya. Airmata yang gugur di pipi isterinya diseka dengan tangan kanannya.

“Kenapa ni sayang?”

“Selama ini cinta saya tak pernah pudar terhadap abang. Cinta saya hanya untuk abang seorang. Tapi Zu tak sangka yang abang sanggup tipu Zu.”

“Abang mohon ampun dan maaf. Abang mengaku kesalahan abang Zu.”

“Dari itu, Zu ingin abang tunaikan permintaan Zu.”

“Apa sahaja untuk Zu, isteri yang paling abang sayang.”

“Ceraikan Zu.”

Cawan kopi di genggaman tangan kiri Hassan Bakri jatuh bergolek ke lantai. Air kopi di dalamnya tercurah di atas permaidani merah yang dihampar. Permintaan Zuraidah sungguh mengejutkannya.

“Zuraidah, jangan macam ni.” Hassan Bakri cuba memeluk Zuraidah.

Zuraidah menepis lembut, “Jangan sentuh saya lagi. Saya jijik dengan Abang. Ceraikan saya!”

###

Hanafi melilau-lilau pandangan mencari tempat duduk. Kelibat lelaki yang dicarinya sudah ditemui.

“Tasnim, kau tunggu sini.” Perintah Hanafi kepada Tasnim.

“Tapi...”

“Jangan ke mana-mana. Bagi aku lima minit. Aku janji aku datang semula.”

Hanafi meninggalkan Tasnim dan menuju ke arah lelaki yang sedang duduk seorang diri di penjuru medan selera Jaya Jusco Ayer Keroh. Tempat duduk itu agak tersorok dan jauh sedikit dari tempat laluan para pengunjung.

“Assalamualaikum Papa.” Tegur Hanafi.

“Waalaikumussalam. Duduklah Nafi.” Hanafi duduk di hadapan lelaki yang digelarnya papa.

“Kenapa papa, tiba-tiba nak jumpa ni? Nafi ada kelas kejap lagi.” Hanafi menyandarkan badannya ke kerusi. Beg sandang tepinya diletakkan di atas peha. Wajah papanya langsung tidak di pandang.

“Papa nak jumpa anak papa. Nafi sihat?”

“Sihat Alhamdulillah papa.” Hanafi menjawab malas.

“Papa rindu...”

“Papa, straight to the point please. Kenapa tiba-tiba papa nak jumpa Nafi.” Hanafi memotong kata-kata papanya dengan nada yang sedikit keras.

“Mama minta cerai dengan Papa.”

“Jadi, apa kaitan dengan Nafi?”

You are my son.”

So?”

“Tolong papa pujuk mama. Kita bina hidup baru. Boleh tak?”

“Itu bukan masalah Nafi.”

“Nafi, ini masalah kita sekeluarga.”

“Papa yang buat semua ni jadi masalah. Jadi, papa seoranglah yang tanggung akibatnya. Nafi tak nak terlibat.”

“Nafi, Papa tak salah?”

“Iya, Nafi tahu papa tak salah. Tapi papa tahu tak apa yang papa dah buat? Ada skandal dengan perempuan lain. Kalau setakat perempuan tak apa, ini pelacur kelas atasan pula tu. Kalau papa di tempat Nafi, mesti papa tahu perasaan Nafi. Sekurang-kurangnya papa patut fikir perasaan Mama.” Hanafi meluahkan segala yang terpendam dihatinya selama ini.

“Nafi...”

“Encik Hassan Bakri, Nafi tak ada papa lain selain papa. Itu telah tersurat dan Nafi tetap anak papa. Nafi sayangkan papa. Itu papa harus tahu. Buatlah apa sekalipun, Hassan Bakri yang dituduh perogol dan pembunuh Rozita Budin tetap papa Nafi. Terima kasih kerana tidak mengheret Nafi dalam kes papa. Terima kasih kerana menyorokkan Nafi dari pengetahuan seluruh rakyat Malaysia bahawa Nafi salah seorang anak papa.” Nada suara Hanafi tenang dalam tegas.

“Nafi...”

“Papa, datanglah jenguk Nafi selalu walaupun Papa dengan Mama dah tak bersama lagi nanti.”

“Nafi...” Hassan Bakri kehilangan kata-kata.

Hanafi bingkas bangun dan meninggalkan Hassan Bakri keseorangan. Dia berjalan menuju ke arah Tasnim yang menunggunya di hadapan kedai bunga berhampiran pintu keluar ke tempat letak kereta di belakang pasaraya itu.

“Hanafi, itukan Hassan Bakri?” Tasnim mengerutkan dahinya, dia hairan tentang kaitan antara Hanafi dan Hassan Bakri.

“Ya, itu dia. Kenapa?” Tanya Hanafi seraya berjalan keluar dari pasaraya itu dan menuju ke keretanya.

“Apa kaitan dengan kau?”

Tasnim keliru. Bermacam-macam persoalan yang bermain difikirannya mengenai Hanafi. Dia berjalan laju menuruti langkah Hanafi.

“Dia ayah aku.” Pendek jawapan Hanafi.

“Bukan anak dia dua orang perempuan?”

Hanafi memberhentikan langkahnya. Amarahnya mula memuncak terhadap Tasnim. Api amarah yang membara dicurahkan dengan tekanan yang melanda dirinya semakin memarakkan gelora dalam jiwanya.

“Kau ni banyak soallah Tasnim. Boleh tak kau diam dan tak tanya soalan-soalan merapu?”

“Aku cuma nak tahu.”

“Aku anak sulung Hassan Bakri. Nama aku Hanafi bin Hassan. Ayah aku, Hassan bin Bakri. Mereka sorokkan aku dari pengetahuan media. That’s it.” Terang Hanafi.

“Jadi...”

Stop it!” Jeritan Hanafi membuatkan Tasnim kelu untuk terus bertanya.

Hanafi masuk ke dalam kereta Kelisa pemberian Hassan Bakri untuk memudahkannya ke kuliah. Diikuti dengan Tasnim duduk di sebelahnya. Tasnim diam tanpa suara, rasa takut dengan perubahan emosi Hanafi mula menyelubunginya.

Enjin kereta dihidupkan. Telefon bimbit Hanafi berbunyi menandakan isyarat pesanan ringkas diterima. Hanafi membacanya dengan kadar segera.

‘Papa sayangkan kamu Hanafi.’

Hanafi segera membalas khidmat pesanan ringkas itu.

‘Nafi sayang papa. Terima kenyataan hidup kita ya papa. Nafi pun sayang papa. Bulan ni bulan Jun. Selamat hari bapa untuk papa. Nanti Nafi ajak adik-adik sambut hari bapa dengan papa. Nafi minta restu dari papa untuk terus hidup di dunia ini.’

‘Papa restukan Nafi.’ Balasan terakhir dari Hassan Bakri dibiarkan sepi.

Airmata Hanafi yang bergenang sejak dia meninggalkan Hassan Bakri akhirnya gugur menitis ke pipinya. Gear keretanya dimasukkan, dia kembali ke dunia realiti hidupnya yang telah direstukan oleh Hassan Bakri. Biarlah dunia tidak mengetahui kewujudannya dalam hidup Hassan Bakri.

‘Nafi tahu, semua itu bukan salah papa.’ Bisik hati Hanafi.

No comments: