Wednesday, October 27, 2010

Loro: Jilbab Episod 19



Tajuk : Jilbab
Penulis : El-Zaffril
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8.08 malam. Chendana Episod 19 akan disiar pada 29 Oktober 2010.

Jilbab (Episod 19)

“Sesungguhnya kau memang cantik wahai puteri jelita. Redup mata ini memandang kamu yang sedang tidur. Sayang sekali kau mungkin tidur untuk selama-lamanya. Kau bisa mengikut aku kalau kau mahu.”

Dia tersenyum memandang jasad di hadapan matanya itu masih terkaku. Diusap rambut yang terurai di dahi dan direnung kelopak mata yang tertutup rapat. Dikucup dahi yang putih pucat.

“Kau masih cantik walaupun kamu entah di mana. Aku masih dapat merasa jantungmu berdegup kencang, nafasmu masih bergelodak membuai rasa. Darahmu masih hangat mengalir menderas seluruh tubuh kamu sayang.”

Dia tersenyum lagi, lalu telapak tangan yang sejuk dicapai dan diusapkan ke pipinya. Dia memejamkan matanya. Merasai setiap aliran darah yang mengalir di telapak tangan yang pucat itu dipipinya.

“Sudikah kau bersama dengan aku sepanjang hayat kau? Aku sudi berikan kau kehidupan yang kau inginkan, asalkan kau sudi berdampingan dengan aku dan berikan aku apa yang aku mahukan.”

Dia memandang tepat ke arah anak rambut wanita itu. Kemudian dia membawa pandangan matanya ke setiap inci tubuh, dari rambut ke muka, leher dan turun ke dada yang berombak sehinggalah akhirnya ke hujung kaki.

“Hoi! Apa kau buat tu?”

Dia terkejut di tegur sedemikian rupa oleh satu suara yang tiba-tiba muncul dari belakangnya. Dia bingkas bangun dan memberikan sebuah senyuman kepada wanita itu.

“Oh, roh puteri jelita sudah tiba. Apa khabar wahai tuan puteri?”

“Jangan kau nak mengada-ngadalah Seri. Aku sihat. Kau buat apa di sini?”

“Nur yang diberi nama oleh Uthman, Aisyah nama yang diberi oleh ibumu. Sungguh cantik kamu Nur Aisyah. Aku bisa memberi kau kehidupan dari hidup di pembaringan seperti ini. Kamu tidak mahu?” Seri senyum sehingga menamppak siongnya yang pendek.

Nur mencebikkan bibirnya dan tangannya tiba-tiba menggeletar, terasa gementar menghadapi makhluk laknatullah yang sentiasa menggoda manusia melalui jalan yang sesat. Berani dalam takut dia menghadapi Seri dalam keadaan Seri menjadi seorang lelaki separuh abad di hadapannya. Tangannya di seluk ke poket seluar jeans putih.

“Kau bukan Tuhan nak bagi aku hidup atau mati.”

“Tapi aku bisa berikan kau kehidupan. Aku bisa sembuhkan penyakit budak di hadapan bilik ini kalau kau mahu.”

Nur mengalihkan pandangannya ke arah pintu keluar bilik. Fikirannya membawa ingatannya kepada budak kecil di bilik hadapan.

“Iqmal.” Perlahan Nur menyebut nama itu.

Tangannya kejap di cengkam Seri. Nur tidak bisa berbuat apa-apa. Seri mendekatkan bibirnya ke telinga Nur.

“Kau mahu tak hidup?”

Seri mengilai tawa. Dilepaskan Nur yang sudah terkaku dan tidak bisa berbuat apa.

Dalam hidup perlu mati
Dalam mati perlu hidup
Dalam jalan perlu teguh
Dalam hidup tidak perlu menjadi terlalu baik
Nanti mati di tanam juga.

“Kau jangan nak mengarut Seri. Sebelum aku naik angin, baik kau pergi.”

“Baik, aku akan tinggalkan kau. Fikirkanlah tawaran aku itu.”

Pintu bilik itu di kuak.

Seri lenyap dari pandangan Nur. Hilang di bawa cahaya siang. Nur rebah ke lantai.

“Nur!”

Uthman menghampiri Nur. Melihat Nur yang baru di lantai. Kemudian matanya terarah ke arah katil memandang ke arah sekujur tubuh Nur di atas katil.

“Itu Nur?”

Nur mengangguk.

“Kakak.”

Mata Uthman terarah kepada budak kecil yang menjengah dari pintu.

“Iqmal.” Lemah suara Nur menyebut nama itu.

No comments: