Sunday, June 28, 2009

Bab 13: Kelapa

“Auji, terima kasih banyak-banyak.” Tangan Auji digenggamnya. Penuh penyesalan genggaman itu. Dilepaskan dengan perlahan kemudiannya. Panggilan telefon yang diterimanya pagi tadi begitu mengejutkannya dan panggilan telefon itu juga membawanya ke sini.

“Ala Hana. Baik ke, buruk ke, jahat ke, kau tetap kawan aku juga. Perkara lama tu lupakan sajalah. Aku tak pernah ambil hati.” Auji semakin matang.

Menerima kenyataan hidup yang sememangnya penuh dugaan adalah yang terbaik. Itu adalah lebih baik dari meratapi kegagalan lampau. Memaafkan manusia apalah sangat. Apatah lagi Hana, kawan sekelasnya dahulu. Perkara lama sudah dilupakan.

“Kalaulah dulu aku tak liar. Tentu aku jadi macam kau. Aku menyesal Auji. Aku menyesal sangat-sangat.” Terdengar sedikit sendu dari suara itu. Airmata Hana mula bergenang. Ditahannya umpama empangan yang hampir pecah. Terpancar kekesalan diwajahnya.

“Janganlah macam tu Hana. Setiap apa berlaku ada hikmahnya. Yang lama tu, jadikan sempadan. Kau mulakan hidup baru. Tak salah mulakan hidup baru. Aku yakin, kau akan bahagia dengan Wan.” Auji cuba meyakinkan. Ikhlas dari hati Auji. Dia kasihankan kawannya itu.

“Aku tak bahagia Auji.” Hana jujur.

“Kenapa?” Auji sedikit terkejut.

Hana diam. Dia mencari kekuatan untuk meluahkan apa yang ada dalam hatinya itu.

“Wan berubah. Dia dah jadi orang lain. Bukan macam wan yang aku kenal dulu.” Kata mata Hana menceritakan segalanya. Betapa dia tak bahagia melayari kehidupan bersama Wan.

“Lain macam mana?” Sememangnya Auji mengenali Wan seorang yang romantik dan penyayang. Tetapi dia sememangnya tidak menyangka yang Wan sanggup bercium dengan Hana sewaktu di sekolah dahulu.

“Dia jadi pemarah dan panas baran.” Hana terdiam. Dia berusaha mengumpulkan kekuatan untuk terus bercerita.

“Sejak kahwin, dia tak pernah sentuh aku pun. Dia kata aku ni perempuan jijik. Aku tahu, anak dalam kandungan aku ni bukan anak dia. Aku pun tak nak salahkan dia. Aku nak orang yang buat tu bertanggungjawab. Tapi aku tak ada bukti. Bukti Wan sangat kukuh. Aku tak tahu macam mana gambar tu boleh ada.” Hana terus menangis.

“Hana, sabar ye.” Auji cuba menenangkan keadaan.

“Pelempang dia dah hari-hari aku dapat. Sejak kami kahwin, ayah Wan tak mahu dia duduk dengan keluarga lagi. Kami disuruhnya menyewa. Ayahnya yang bayar sewa rumah ni. Tiada siapa pun jenguk aku kat rumah ni. Kau saja yang sudi datang.” Airmata Hana merembes. Dia menangis. Kesedihan yang tidak dapat dibendung lagi.

“Dah lah. Benda dah berlaku.” Auji mengusap belakang Hana, meredakan Hana yang sedang bersedih.

“Auji, aku minta maaf sangat-sangat. Aku yang bersalah dalam hal ini.” Timbul kekesalan dan rasa bersalah dijiwa Hana.

Masing-masing diam. Melayan perasaan masing-masing. Sememangnya Auji sudah melupakan semuanya.

“Auji, aku nak minta tolong dari kau boleh.” Hana memohon pertolongan.

Auji hanya mengangguk. Dia tidak begitu pasti sama adau menolong Hana atau tidak.

“Tolong jadi orang yang pertama akan datang ketika aku sangat memerlukan pertolongan. Boleh tak?” Pinta hana.

Auji mengambil masa untuk memberi keputusan. Dia memerlukan segala kekuatan untuk menghadapi semua ini. Luka yang Wan goreskan masih lagi berbekas.

“Boleh Hana.” Lambat balasan Auji itu.

Hana kembali senyum. Masih ada juga insan yang sudi menerimanya.

“Auji, aku nak ambil SPM juga. Aku tak nak sia-siakan masa depan aku lagi. Sekarang ni la masa untuk aku perbetulkan hidup aku. Aku harap masih belum terlambat.” Hana mula bersemangat.

“Itulah antara yang terbaik Hana, bangkitlah dari kegagalan. Tiada istilah terlambat dalam hidup kita.” Wajah Auji melihatkan keikhlasan.

Auji kehilangan kata-kata. Saat itu, Auji merasakan yang Hana sememangnya memerlukan seseorang untuk dia berkongsi cerita dan melepaskan beban. Keyakinan Hana hanya ada dalam diri Auji.

“Dah dekat senja ni, aku balik dulu ye. Kau pun jaga diri ya. Jangan selalu buat kerja berat. Tak elok untuk orang mengandung.” Auji mengingatkan Hana.

Auji bingkas bangun.

‘Apa benda tu?’ Hatinya Auji berbisik.

“Hana, aku balik dululah. Nanti aku datang lagi bila-bila.” Auji tergesa-gesa.

Auji terpandangkan sesuatu yang memandangnya dari bawah pokok kelapa. Diabaikan sahaja pandangan itu.


**********************************

“Tuan, Hana tengah mengandungkan baka lelaki. Cicit kau juga. Anak si Faris.” Saat belaannya tiba dirumah.

“Isk kau ni. Memang la bagus kalau dapat yang dalam perut. Tapi anak haram ni hanyir. Nanti gatal aku satu.” Terus Wak Su naik angin.

“Habis bila aku boleh ambil semua cucu kau tu. Tak pun cucu si Siti tu. Dah nak masuk tujuh purnama ni.” Seakan tidak sabar sahaja belaan Wak Su.

“Nanti tunggu la masa yang tepat. Kita kena cari sebab supaya mereka mati. Tak boleh mati macam tu saja. Nanti orang nampaklah. Kau faham tak?” Wak Su mula naik angin.

Sakanya sememangnya terlalu lapar. Tujuh purnama sudah tiba. Tak lama lagi, bulan mengambang penuh.

“Faham tuan.” Belaannya harus bersabar. Tidak lama saja lagi dia akan kenyang.

“Dah, kau pergi duduk bawah pokok kekabu rumah Siti sana.” Wak Su terus mengarah.

Wak Su tersenyum. Dia bakal menjadi janda tua paling cantik tidak lama lagi. Susuk yang ditanam di pipi dan juga dagu sememangnya lumayan. Dia masih lagi menjadi perhatian walaupun usianya sudah menghampiri tiga suku abad.

Dia terus menuju ke bilik. Menyediakan semua bahan yang perlu untuk menghadapi tujuh purnama akan datang. Dia mengamati sekeliling bilik. Gelap gelita bilik itu. Cahaya matahari tidak dapat menembusi. Walaupun dinding bilik itu cuma papan, namun ketebalan kain hitam yang menjadi tirai setiap dinding menjadikan bilik itu semakin gelap.

Di suatu sudut, terdapat botol2 yang ditutup dengan kain kuning. Tersenyum Wak Su apabila terpandangkan hamba-hambanya yang bakal di kerah untuk menghadapai bulan mengambang penuh tujuh purnama.

Wak Su melabuhkan punggungnya di atas tikar mengkuang. Tiada apa di atas tikar itu selain satu dulang yang dibuat dari tembaga. Di atas dulang itu terdapat beberapa mangkuk-mangkuk kecil yang diperbuat dari tembaga.

Dia bercakap sendirian sambil mukanya mengukir sebuah senyuman jahat. Diambilnya sebiji botol yang berisi batuan berwarna perang dan kelihatan sedikit reput.

“Kemenyan ni cukup. Tak perlu cari lagi ni.” Dia bercakap sendirian di dalam bilik itu. Dicarinya semua bahan yang diperlukan.

“Minyak dagu lelaki korban, masih cukup.”

“Bunga kemboja dari kubur, masih ada lagi sikit.”

“Air terjun gunung yang menghempas ke batu masih berbotol lagi.”

“Buluh betung kering masih ada lagi.”

“Tanah kubur perempuan mati ketika kelahiran masih ada.”

“Reja kain kapan bayi masih ada lagi. Masih cukup untuk yang akan datang.”

“Air kelapa mawar dah habis.”

Susuk yang dipakai dan ilmu penunduk lelaki yang diamalkan punya pengeras. Setiap tujuh purnama bulan mengambang penuh, mesti ada nyawa yang dikorbankan. Tapi hanya satu sahaja. Tidak boleh lebih dari satu. Kalau tidak bala yang menimpa.

Terciptanya perempuan adalah dari rusuk kiri laki-laki. Selama hampir 45 tahun, sudah 76 nyawa lelaki dikorbankan. Tidak kiralah bayi dalam kandungan, bayi baru lahir, budak sekolah, remaja, suami orang atau siapa sahaja dengan syarat lelaki itu masih kuat dan suci. Dia pernah berkahwin tiga kali. Suaminya sebelum ini juga dikorbankan. Semua itu untuk kepentingan diri.

Setiap nyawa ke tujuh yang di ambil, mempunyai risiko. Sekiranya dia melangkau setiap yang tujuh, maka dia yang akan menjadi korban. Jika dia berjaya dalam misinya. Maka kecantikan untuk 49 purnama akan datang adalah yang terbaik. Dia tidak pernah gagal untuk semua itu. Sememangnya dia sentiasa berhati-hati.

“Assalamualaikum, Siti” Wak Su memberikan salam tatkala tiba di rumah Siti.

“Oh, Su. Waalaikumussalam. Masuklah.” Siti hanya mengajak-ajak ayam.

“Tak apalah Siti. Aku nak minta kelapa mawar muda kau yang gugur di halaman tu.” Sememangnya itu sahaja tujuannya datang ke rumah Siti.

“Ambillah, tiada siapa pun nak ambil. Tadi angin kuat sangat. Tu yang gugur buah kelapa muda tu. Macam tahu-tahu pula kau nak kelapa muda tu.” Siti mencebik. Dia sudah selalu mengalami peristiwa sebegitu.

“Terima kasih Siti.” Wak Su tersenyum girang.

“Sama-sama.” Ringkas sahaja jawpaan Siti.

“ Aku balik dulu lah ya. Aku nak cepat ni.” Wak Su hanya tersenyum. Siti tersenyum kelat.

Wak Su terus ke arah pokok kelapa. Diambilnya sebiji kelapa yang gugur itu lalu dikeleknya. Sememangnya semua itu di rancang. Akan dikupas muncungnya sahaja apabila tiba di rumah.

Sesampai di rumah, dia terus mengupas kelapa itu untuk mengambil airnya. Lantas terus sahaja ke bilik.

Terus sahaja dia duduk di hadapan barang-barang yang disediakan. Diambilnya bekas membakar kemenyan. Di bakarnya kemenyan dan di campur dengan bunga kemboja, tanah kuburan, buluh kecil yang direncong dan juga kain kapan. Diasapkan segenap ruang bilik. Air kelapa dibiarkan bersama isinya, dicampur dengan minyak dagu dan air dari air terjun gunung. Terus di baca mentera.

“Api api, tujuh kali sejuk kau. Bunga kemboja, biar mekar seriku. Semekar kemboja di kuburan. Tanah, jadikan kulitku teguh. Buluh, kau tusuklah nyawa lelaki itu. Kain, kau bungkuskan semua cerita itu. Air, kau padamkan api seumpama kau padamkan nyawanya.”

Dia meletakkan kembali semua barang di atas dulang tembaga. Dibiarkan sahaja di situ. Tiga malam lagi akan dipadamkan bara kemenyan campuran menggunakan air kelapa campuran. Terpadamnya bara itu. Maka akan terpadamlah satu nyawa.

8 comments:

Danish said...

Hai!!~

“Itulah anta yang terbaik Hana, bangkitlah dari kegagalan. Tiada istilah terlambat dalam hidup kita.” Wajah Auji melihatkan keikhlasan.

wah melerts bahasa arab skank mix dalam extry.. "anta"

overall excellent

El-Zaffril said...

Danish: Cakap orang... "dia tu wah melerts bahasa arab skank mix dalam extry."... extry la ye... thanks by the way danish... I'll make a change for that

AniS GalaXy said...

lama menanti
baru muncul.

byk peningkatan.
i teruja dgn nek su...
overall i like

miss nia said...

erm.. saya bleh jugaklar jadi pengikut setia citer ni..
overall im impress sebab awak bleh menulis sebuah cerita yang membuatkan org tertarik untuk mengetahui kesudahannya. jarang saya kenal lelaki yang suka menulis cerita mcm ni..
tingkatkan usaha dan saya rasa cerita awak bleh masuk ke tv.
tapi saya heran.. camner awak bleh faham character perempuan lebih dlm citer ni.. seolah olah awak amat memahami jiwa perempuan.
it's good.

El-Zaffril said...

Miss Nia: Memang ramai yang terkejut penulisnya adalah seorang lelaki. Dan saya juga tidak percaya bagaimana saya boleh menyelami jiwa perempuan dan menulis sebegitu rupa... saya tuliskan novel ini untuk anak saudara perempuan saya yang bernama auji...

El-Zaffril said...

Cik Anis: Hahaha... kamu jadi nek su nak?

anne_nurqaseh said...

menakutkn la saka2 nihh

El-Zaffril said...

anne: Tak seram sangat la... tengah edit nak bagi lagi seram bila keluar buku nanti... heheheheh