Wednesday, December 22, 2010

Laila Namamu Teratas Episod 9




Sabri memandang jauh ke laut. Hari itu dia tiada langsung perasaan ingin bekerja. Rasa memberontak apabila kereta kakaknya telah diambil semula oleh yang empunya.

Dia mendengus perlahan. Jauh dia merenung laut sejauh dia memandang perjalanan hidupnya. Gajinya setiap bulan tidak pernah cukup. Mesti setiap minggu dia akan meminta bapanya duit.

‘Kenapa aku ni asyik menyusahkan abah saja, menyusahkan emak, menyusahkan kakak? Kenapa aku tak boleh berubah? Sampai bila aku begini? Sampai ada anak aku masih mengharapkan bantuan orang, begitu? Atau aku harus mulakan sekarang, sebab kalau aku tak mula sekarang, sampai bila-bila aku akan tetap macam ni.’ Sabri berbisik sendiri di dalam hati.

Sabri menguis-nguis pasir sambil duduk bersila di atas pasir. Sesekali dia memerhati burung-burung berterbangan pulang petang. Kemudian dia memandang sekeliling, kelihatan kanak-kanak riang gembira bermain gigi ombak Pantai Puteri yang menghempas lembut, ada juga yang sedang khusyuk bermain wau dan layang-layang. Ada juga beberapa lelaki sibuk menebar jala di air yang mula surut.

Sabri tersenyum sendiri. Alangkah bahagia hidup di muka bumi ini dengan kebahagiaan yang sangat mengasyikkan. Matahari hampir melabuhkan cahaya siangnya.

Matanya kemudian terarah kepada seorang remaja perempuan yang sedang khusyuk melukis di bawah sebatang pokok rhu. Sabri memerhatikan remaja perempuan itu tanpa langsung dia berkelip.

‘Cantiknya.’ Tergugat imannya memandang gadis itu.

Dalam kekhusyukan itu, Sabri memerhatikan rambut lurus gadis itu yang terbuai-buai lembut di hembus angin pantai. Terserlah keremajaannya apabila mengenakan sehelai t-shit lengan panjang berwarna pink dan seluar slack panjang berwarna krim.

Sabri bingkas bangun, perlahan-lahan dia berjalan menghampiri gadis itu. Niat hatinya ingin menyapa dan bersuai kenal.

Tiba-tiba seorang wanita separuh abad menyapa gadis itu. Sabri mematikan langkahnya dan memerhatikan sahaja kedua-dua mereka dari jarak lebih kurang dua puluh meter di antara mereka.

“Jom kita balik.” Kata wanita tua itu dan Sabri mencuri-curi dengan dari tempatnya berdiri.

Gadis itu hanya mengangguk dan tersennyum seraya berdiri. Dia hanya membawa selembar kertas lukisan dan sebatang pensil dan kemudian, mereka berjalan beriringan.

Sabri cuba melambai namun tangannya seperti terhalang dan lidahnya kaku. Kakinya terpacak di atas pasir dan tidak bergerak. Entah kenapa hatinya terdetik rasa sangat ingin mengenali gadis itu.

‘Esok aku akan datang lagi.’ Tekad Sabri.

Dia membuka langkah ke arah motosikalnya mahu pulang, hari semakin senja.

No comments: