Monday, December 20, 2010

Laila Namamu Teratas Episod 5




Laila menghempas tubuhnya ke kerusi pejabat. Dia tersenyum puas melihat biliknya yang sudah tersedia kemas kini sudah bersih dikemasnya. Sama seperti sebelum dia meninggalkan pejabatnya hari ini.

“Bosanlah pula hari ni. Belum ada kerja lagi.”

Dia mencapai tetikus komputernya. Lalu dia mengarahkan tetikusnya kea rah capaian internet. Satu persatu laman sesawang internet dimuaturunnya. Tiba-tiba satu laman sesawang menarik perhatiannya dengan lagu nyanyian kumpulan Search – Laila Namamu Teratas. Bibir Laila terus meniti bait-bait lirik lagu itu.

‘Blog apa pula ni.’ Laila mengerutkan dahinya, walaupun dekorasi blog itu biasa-biasa sahaja, tetapi dek lagu latar laman blog itu membuatkan dia berhenti sejenak dan membaca isi kandungannya.

[Bangkit dari kecewa cinta untuk mengejar cita-cita.] Laila tersenyum membaca tajuk blog itu.

‘Nice blog. Kinda interesting.’

Laila menyelusuri arkib blog itu. Sudah lama blog itu ditinggalkan, catatan terakhir dimuatnaik pada Disember 2006.

“Lets start reading.”

Bab 1: Tulisan pertama aku.
Isnin, 8 Januari 2001

Pertama kali melangkah ke alam maya buat aku merasa tak biasa. Tidak tahu apa yang aku patut coretkan untuk dikongsi. Bisa mungkin ia menjadi sebuah coretan permulaan kisah aku dan dia.

Memang betul kata orang. Sekukuh mana pun tembok yang kita bina untuk menolak sebuah perasaan itu dari hadir ke dalam diri, pasti akan roboh apabila saat yang tepat tiba. Bagaimana aku mahu menolak perasaan ini.

Aku datang ke sini untuk belajar. Bukan untuk bercinta. Susahnya aku nak tolak perasaan aku ini. Tak apa,yang pasti biarlah aku luahkan saja pada blog ini. Bukan orang kenal pun siapa aku di alam maya.

Aku dah berjanji dengan mak yang aku tak akan bercinta sepanjang pengajian aku di sini. Itu janji aku. Mak pesan, jangan sesekali berjanji kerana nanti akan aku mungkiri.

Ada betulnya kata-kata mak. Aku akan mungkiri janji itu.

Kalau takdir aku dengan dia aku terima. Amin.

Yang Benar
Itu Aku


“Mamat jiwang karat. Kita tengok pada entry next dia.” Laila tersengih. Anak panah tetikus di acu ke arkib seterusnya. Dia membaca dari catatan pertama Itu Aku.


Bab 2: Di sini bermula.
Selasa, 9 Januari 2001

Hari ini bermula kuliah trimester ketiga. Keterujaan meneruskan kuliah semakin menebal. Mahu sahaja cepat-cepat habis kuliah, bekerja dan berbakti pada keluarga.

Hari ini juga aku terpandangkan wajahnya. Ah, gadis yang pada pandangan oranglain biasa saja menambat hati aku. Entah kenapa sejak dari trimester lepas aku begitu mendambakannya. Mungkin juga perasaan sahaja.

Sekali-sekala aku teringin untuk menegurnya. Tetapi di tebak rasa malu yang begitu menebal. Boleh tidak kalau biarkan saja perasaan ini berlegar-legar sendiri. Bukan sesiapa tahu pun perasaan aku ini. Hanya kalian yang membaca saja yang tahu.

Dari kelas Fizik ke kelas Bahasa Inggeris, aku memerhatikan gerak-gerinya. Jujur, dia sangat istimewa dalam kebiasaan yang dimilikinya. Ingin sekali aku menegurnya. Ingin sekali aku meluahkan apa yang terbuku di hati.

Ya Allah, maafkan dosaku kerana aku akan memungkiri janjiku pada ibuku. Ampunkan dosaku.

Yang Benar
Itu Aku.


‘Nasib kau lah.’ Laila semakin teruja membaca laman blog itu dan terbersit dalam hatinya mahu mengenali siapa penulisnya.


Bab 3: Duduk Semeja
Isnin, 15 Januari 2001

Kadang-kadang keluar beramai-ramai bisa mendamaikan gelodak hati yang tidak tenang. Sekali-sekala, aku ingin sekali mendengar suaranya. Ingin sekali menatap wajahnya. Tapi aku malu benar.

Waktu makan tengahhari tadi selepas kelas, kami keluar makan beramai-ramai dengan yang lain. Sungguh, aku berdebar-debar bila sahabat-sahabatku mahu bersama-sama dengan rakan sekelas yang lain mahu makan tengahari bersama.

Itu sudah membuat aku berdebar. Degup jantung aku juga berdetak kencang. Perlahan-lahan langkah aku buka dengan perasaan yang tak keruan. Sehinggakan sahabat baik merangkap teman rapat sebilik bertanya, kenapa tiba-tiba aku berubah? Aku tidak mampu menjawabnya, andai dia bisa mengerti.

Sewaktu makan, sekali mencuri-curi pandangnya. Lalu dia melemparkan sebuah senyuman paling manis. Ku kira senyuman itu adalah senyuman paling ikhlas dia berikan pada aku. Ada juga dia bertanya tentang matapelajaran di kelas. Tergagap-gagap aku menjawabnya. Jujur, Aku senang sekali melihatnya dia berbaju kurung. Melihat rambut lurusnya yang dibiarkan lepas di belakang bahu. Sekali-sekala aku memandangnya.

Selesai makan, aku mohon ke Masjid untuk Urusan Zuhur. Dia juga turut ke Masjid. Alangkah bahagia andai memilikinya. Selesai bersolat, aku ke Perpustakaan sementara menanti kelas seterusnya. Sahabat baikku bertanya mengapa aku selalu memandang ke arah gadis itu. Aku hanya membalas dengan sebuah senyuman. Tetapi wajahku merona merah. Sahabat baikku dapat meneka apa yang bersarang dalam hati ini. Malu sungguh.

Yang Benar
Itu Aku


“Kalau aku pun gementar.” Laila menekup mulutnya, mengawal derai tawa dari didengari seluruh pejabat.


Bab 4: Hello Sayang
Rabu, 17 Januari 2001

Hari ini, telefon bimbitku berbunyi. Terpampang nombor yang tidak langsung aku kenali. Semena-mena perkataan Hello Sayang menjadi perkataan pertamanya. Aku menjadi tidak keruan. Bagaiman mungkin suara wanita yang amat aku kenali suaranya itu berkata begitu.

Kemudian dia tertawa. Mungkin mendengarku diam seribu bahasa. Jujur. Aku gembira mendengar suaranya. Namun semua itu terbatas. Dia hanya mahu bertanyakan tugasan yang perlu diselesaikan dan di hantar esok.Dia mahu bertanyakan pandanganku mengenai tugasan itu.

Aku memarahi diri aku sendiri. Bagaimana peluang untuk bersua dan berbicara dengannya, aku sia-siakan begitu saja. Aku kira aku yang bodoh. Kerana mungkin itu pertama kali dan yang terakhir dia akan menghubungi aku. Mungkin peluang itu sudah tertutup rapat. Mungkin,

Sudah takdirku begini. Mungkin dia sekadar suka-suka memanggilku sayang. Mungkin dia serius. Mungkin dia sengaja berbicara denganku begitu. Mungkin dia mahu aku tahu yang dia mahu menyayangiku. Segalanya mungkin.

Yang Benar
Itu Aku


“Hish, mamat ni tak pernah bercinta agaknya. Tak tahu nak bezakan yang mana serius, yang mana main-main. Tak patut betul. Tak apa, yang penting aku nak tahu kesudahannya.” Laila terus khuyuk membaca.


Bab 5: Aku Gugup
Khamis: 18 Januari 2001

Dia menghampiri aku, mohon makan tengahhari bersama. Dia kata rakan-rakannya yang lain sudahpun keluar ke bandar. Dia tidak berminat mahu ke bandar kerana ada temujanji dengan pensyarah.

Aku pula, mencari-cari rakan baikku. Tiada langsung kelibat seorang pun. Seperti mereka merancang dan tahu apa yang ada di dalam hati aku. Aku tiada pilihan lain selain mengikut dia makan tengahhari bersama.

GUGUP!

Sungguh, aku gugup berhadapan dengannya. Melihatnya sewaktu makan di kafe tingkat satu di tepi padang bertemankan angin sepoi-sepoi bahasa membuat aku semakin tidak senang. Sekali-sekala pandangan ini aku jauhkan dari memandangnya. Bimbang hati ini dijerat oleh perasaan sendiri.

Dia mengucapkan terima kasih padaku dan kami sama-sama ke masjid. Azan Zuhur sudah berkumandang. Bimbang pula terlewat ke kelas nanti.

Di dalam kelas, aku mula teringatkan dia. Semalam di dalam telefon memanggilku sayang, kemudian hari ini mengajak aku pula makan bersama.

Yang Benar
Itu Aku


[Trut Trut] Telefon di bilik Laila berdering.

“Kacaulah pula telefon ni. Baru nak feeling-feeling.” Laila mengetap bibirnya.

Gagang telefon pejabatnya diangkat dan terus diletakkan di cuping telinga kiri.

“Hello.”

“Nyah, jom makan.” Zakiah membuat suara mengada-ngada.

“Nyah, baru pukul berapa ni?” Kata Laila selamba.

“Dah pukul 1.00 dah nyah. Kau tak lapar ke nyah?”

“Ya Allah. Dah pukul 1.00 tengahhari ke? Aku tak perasan. Jomlah.” Laila membulatkan matanya setelah melihat jam tangannya.

“Jom, aku tunggu kau di lobi. Hari ni kita makan ikan bakar. Aku belanja kau.”

“Ok.”

Laila mencapi beg tangannya. Monitor komputernya ditutup dan yang lain dibiarkan bernyala.

‘Nanti aku sambung baca lagi.’ Bisik dalam hatinya sendiri.

No comments: