Wednesday, May 23, 2012

Cerpen: Nurain

“Saya sayang awak.” Tiba-tiba tiga kata itu memanah gegendang telinga Nurain. Panas gelincir matahari yang membahang terasa sungguh dingin dan menyejukkan liang-liang rongga kulitnya.

“Apalah Saifol ni. Kita kan kawan.” Nurain cuba mengawal perasaannya. Saifol antara sahabat terbaik yang pernah dikenalinya.

“Tapi Saifol suka Ain, Saifol sayangkan Ain. Saifol nak memiliki Ain sampai akhir hayat Saifol.” Kata-kata Saifol telah mematikan langkah Nurain.

“Saifol, kita ni baru tingkatan empat. Tahun depan nak SPM. Ain rasa ini masanya untuk kita belajar. Bukan untuk bercinta.” Nurain memandang tepat ke arah mata Saifol, mengharapkan Saifol faham yang dia belum bersedia lagi untuk menerima sesiapa mengisi ruang dalam hatinya.

“Saifol sanggup tunggu Ain sampai Ain setuju untuk terima Saifol. Bila Ain nak bagi jawapan Ain tu?” Dari redup mata Saifol, jelas terpancar keikhlasannya untuk memiliki sekeping hati milik Nurain.

“Ini dah kira mendesak ni.” Nurain mengerutkan dahinya.

“Ain, sampai habis sekolah ke? Atau habis belajar di universiti ke?”

Nurain menekup mulutnya. Bimbang tawa kecilnya itu disedari dan melukakan hati sahabat baiknya sejak dibangku sekolah rendah itu.

“Dah sampai depan rumah Ain ni. Kita jumpa esok.” Nurain membiarkan Saifol berteka-teki dengan soalan yang diberikan dengan terus masuk ke dalam pagar rumah teres setingkat.

“Ain!”

Nurain memusingkan badannya ke arah Saifol.

“Ya Saifol.” Nurain tersenyum.

“Saifol perlukan jawapan.”

“Lepas universiti atau bila Ain dah dapat kerja. Sanggup tunggu ke?”

“Yahoo!” Saifol melompat kegirangan. Dia sedar, masih ada lagi harapan untuk dia bertakhta di dalam hati Ain.

“Dah dah, pergi balik. Panas ni. Tak payah nak suka sangatlah. Kerja pun tak ada lagi. Ada hati nak mengurat anak dara orang. Kumpul duit banyak-banyak, lepas tu jumpa mama. Tapi itu semua bergantung kepada persetujuan Ain ya.” Nurain mencebik ke arah Saifol.

“Terima kasih Ain.”

Tanpa berlengah, Saifol terus berlari meninggalkan rumah Nurain. Membawa hatinya yang gembira, dengan harapan menggunung suatu hari nanti dia bakal memiliki Nurain.

Nurain menggelengkan kepalanya seraya berjalan masuk ke dalam rumah. Dirinya masih lagi diruntun rasa lucu dengan gelagat Saifol. Dia masih lagi tersenyum saat membuka kasut sekolahnya. Beg selimpang tepinya diletakkan di pintu.

“Baru balik Ain.” Suara yang tiba-tiba muncul di depan pintu itu mengejutkan Nurain.

“Iya mama.” Nurain menghulurkan tangan untuk bersalam dengan insan yang dipanggil mama itu. Dicium tangan mamanya dengan penuh rasa sayang.

“Dah makan?”

“Belum lagi mama.”

“Mama ada masak udang masak lemak nanas. Ain suka kan masakan tu.” Mama membuahkan senyuman seikhlas mungkin untuk Nurain.

“Rajin mama masak. Tak pernah-pernah tengahhari mama masak. Selalu mama tidur waktu-waktu macam ni.”

“Sekali-sekala Ain.” Mama tersenyum lagi.

Nurain berjalan masuk menuju ke biliknya. Televisyen di ruang tamu terpasang drama rantaian melayu yang sudah di ulang siaran.

“Ain mandi lepas tu kita makan sama-sama.” Sahut mamanya sambil melabuhkan punggung di atas sofa kulit empuk.

“Baik mama.”

Nurain membersihkan dirinya. Melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang muslimah. Kemudian memanjatkan doanya ke hadrat Ilahi agar dia sekeluarga dimurahkan rezeki dan sentiasa dilindungi dari bala bencana.

“Kenapa tiba-tiba sahaja mama rajin masak ni?” Ain masuk ke ruang dapur, perutnya sudah memanggil-manggil mahu diisi dengan masakan kegemarannya. Tangannya dicuci bersih-bersih di sinki.

“Mama saja masak. Tak pernah dapur mama tu berasap. Apa salahnya sekali-sekala mama masak kan. Hari-hari makan nasi bungkus, bosan juga.”

Mama menyendukkan nasi ke dalam pinggan Nurain. Kemudian baru disendukkan ke dalam pinggannya. Masak lemak nanas bersama udang dicedokkan pula ke dalam pinggannya dan ke dalam pinggan Nurain. Nurain makan dengan penuh berselera.

“Lepas makan ni Ain pergi mana?”

“Macam biasalah mama. Ain nak pergi kerja. Kenapa mama?”

“Lepas ni tak payah kerjalah Ain.”

“Kenapa pula mama? Habis tu, macam mana dengan belanja sekolah Ain? Makan pakai Ain?”

“Biar Mama tanggung.”

Mama mengeluarkan not seratus ringgit lalu diserahkan kepada Nurain. Nurain terpinga memandang not seratus itu.

“Banyaknya mama. Tapi kenapa mama? Ain tak faham. Dah lama Ain berdikari untuk terus hidup. Ain dah tak mahu susahkan mama lagi. Ain masih ada kudrat lagi mama.”

Nurain mengerutkan dahinya. Dia masih tidak faham apa yang sedang berlaku. Sudah lebih empat tahun dia berkerja sambilan di kedai mamak berhampiran rumahnya. Semua itu dilakukan untuk menyara dirinya sendiri.

“Tak mengapa Ain. Ain tanggungjawab mama. Biar mama jaga makan pakai Ain. Duit tu untuk belanja seminggu. Kalau tak cukup bagitahu mama.”

“Tak apalah...”

“Ambil sajalah duit ni. Untuk belanja sekolah minggu ni. Tahun ni Ain tingkatan empat. Tahun depan tingkatan lima. Lepas tu nak periksa SPM. Mama nak Ain tumpukan pada peperiksaan SPM. Nanti penat kerja, macam mana nak belajar? Mama nak Ain belajar rajin-rajin. Lepas tu masuk universiti. Kerja bagus-bagus. Jangan jadi macam mama.”

Nurain mengambil gelas air orennya lalu diminumnya perlahan-lahan. Dia bangun meninggalkan meja makan dan membasuh tangannya di sinki. Pinggan dan gelasnya sudah di susun oleh mama untuk dicuci. Mama hanya memerhatikan gelagat Nurain.

“Mama, Ain masuk dalam bilik dulu ya. Buat kerja sekolah.”

“Buatlah kerja sekolah tu Ain. Mama pun nak lelapkan mata kejap. Malam nanti Mama nak kerja.”

Ain melangkah masuk ke dalam biliknya. Kepalanya terasa berat. Mungkin keletihan dengan rutin hariannya. Dia membaringkan dirinya di atas katil. Matanya seperti di gam dek mengantuk yang teramat sangat. Nurain tertidur lena.

‘Ya Allah, dah pukul berapa dah ni. Kenapa dah gelap.’ Nurain menghidupkan suis lampu dibiliknya.

“Dah pukul 9.00 malam. Lamanya aku tidur.” Nurain memarahi dirinya sendiri, terlena tidur hingga tanggungjawabnya tidak terlunas. Dicapainya tuala dan dia terus masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri.

Tuk tuk!

Usai sahaja mandi pintu biliknya diketuk. Nurain terus ke pintu untuk membukanya.

‘Mama mesti mahu memberitahu sesuatu sebelum pergi ke tempat kerja.’ Telahnya dalam hati.

“Kau siapa?” Nurain separuh menjerit. Tuala yang membaluti tubuhnya dipegang erat. Lelaki yang berdiri di muka pintu biliknya betul-betul membuatkan dirinya kaget. Nafasnya kencang, degupan jantungnya pantas.

Nurain ditolak ke atas katil oleh seorang lelaki yang sudah kira-kira pertengahan usia. Tubuh kecilnya melayang ke atas katil
.
“Keluar!” Jerit Nurain.

Lelaki itu tidak mengendahkan jeritan Nurain. Dia menghampiri Nurain dan merentap tuala yang membaluti tubuh remaja itu. Nurain menarik kain selimut di atas katil untuk menutup tubuhnya.

“Jangan encik. Jangan buat saya macam ni.” Rayu Nurain. Dia sudah terperangkap dalam gelanggang syaitan.

“Tolong encik.” Nurain merintih.

Lelaki itu langsung tidak mengendahkan rintihan dan rayuan gadis kecil itu. Nurain dikerjakan sepuas nafsu serakahnya. Puas menghisap madu di bunga yang sedang mekar, lelaki itu menyarung kembali pakaiannya yang bertebaran di atas lantai dan terus keluar dari bilik Nurain.

Nurain menangis dan meraung penuh penyesalan. Hidupnya yang dulu ceria kini terpalit bintik hitam yang akan terus mencacatkan seluruh kehidupannya.

“Nah untuk kau.” Lima keping not seratus ringgit dicampakkan di atas cadar katil yang sudah berselerakan.

“Mama jual Ain? Sampai hati mama jual Ain? Kenapa mama? Apa salah Ain sampai sanggup mama jual Ain.”

Nurain tidak percaya yang mama sanggup menjual tubuhnya untuk kepentingan diri. Airmatanya tidak dapat dibendung lagi. Wanita yang selama ini dihormati, kini telah jatuh ke tempat paling hina dalam hatinya.

“Kau tak salah Ain.”

“Habis tu? Kenapa Mama sanggup buat Ain macam ni mama? Kenapa? Kenapa mama jual Ain.”

“Dia nak perawan dan sanggup bayar dua ribu untuk seorang gadis yang memang perawan. Mama manalah ada perawan untuk diberi pada dia. Nurain yang cantik manis sahajalah mama ada. Tak gitu.”

“Mama! Maruah tidak boleh dibeli dengan wang ringgit mama. Harga diri tak akan boleh dipulihkan.”

“Nurain, tak perlu nak jadi baik sangat kat dunia ni. Kalau kau nak hidup, kena jadi berani. Setakat perawan kau tu. Apalah sangat.” Mama mencebik.

“Mama, bukan macam ni caranya. Banyak lagi cara lain mama. Ain tak mahu buat kerja haram jadi pelacur macam mama.”

“Hei, kau nak ajar aku halal haram ke? Sedar sikit kau tu anak luar nikah mak kau dengan jantan mana entah. Mama pun tak tahu. Nasib baik aku ni sudi kutip kau. Kalau tak kau merempat entah mana-mana entah lepas mak kau si pelacur murahan tu mati sebab HIV.”

“Jangan hina mak sebab mama pun pelacur murahan macam mak. Tak sangka mama yang Ain dah anggap macam mak Ain sendiri sanggup memperdagangkan Ain. Sampai hati mama. Tak sangka kebaikan mama tu ada muslihatnya.”

“Tak apalah Ain. Nasi dah menjadi bubur. Tu bahagian kau. Mama nak keluar pergi kerja. Malam ni ada pelanggan nak berdangdut dengan mama.”

“Berambus kau. Pergi! Jahanam punya perempuan.” Nurain menangis di atas katil. Kekesalan atas apa yang berlaku bukan kehendaknya langsung. Semua itu perancangan rapi oleh mama, ibu angkat dan kawan baik kepada ibu kandungnya yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri.

“Aku nekad, aku akan lari dari sini dan cari penghidupan baru.” Nurain mengetap bibirnya.

Nurain bingkas bangun dari katil dan mengemas pakaiannya. Dia harus meninggalkan rumah yang dulunya disangka syurga baginya. Dia harus kuat untuk lari.

“Nora....” Panggillan seorang lelaki mengejutkan dirinya dari terus dibuai lamunan kisah hitam lapan tahun dahulu. Not seratus lima keping yang menjadi punca sejarah hitam dalam hidupnya disisipkan kembali ke dalam sampul surat dan dilipat kemas sebelum dimasukkan ke dalam tas tangannya.

“Ada apa daddy?” Nurain yang mesra dipanggil Nora menjawab dengan penuh kemanjaan.

“Ada pelanggan nak khidmat kau malam ni.”

“Berapa dia nak bayar?”

“Dua ribu, boleh?”

“Ok, mana duitnya?” Nurain bingkas berdiri. Rokok yang dihisapnya terus dicampakkan ke lantai lalu dipijaknya dengan kasut tumit tinggi sehingga tidak menampakkan bara yang menyala.

“Nah, dia bagi cek seribu ringgit. Separuh lagi dia akan bayar kau setelah tugas kau selesai malam ni.”

“Habis tu aku nak naik apa?”

“Ada kereta BMW putih tengah tunggu kau kat depan dan akan bawa kau ke sana.” Lelaki bergelar daddy itu menjuihkan bibirnya ke luar premis kedai makan yang menjadi tempat Nurain mencari rezeki.

“Kau suruh dia tunggu kejap. Aku pergi bilik air, nak touch up.”

Nurain terus berjalan menuju ke bilik air. Gaun malam labuh berwarna merah yang dipadankan dengan tali pinggang hitam merah menyerlahkan susuk tubuhnya yang asli. Dipadankan dengan kasut tumit tinggi berwarna merah dan tas tangannya agar kelihatan sedondon. Di hadapan cermin, dia membelek tatarias wajahnya.

‘Perfect!’ Jerit hati kecilnya.

Rambutnya disikat dengan jari dan dibiarkan terjurai melepasi bahu. Sebelum keluar dari bilik air, dia menyemburkan pewangi berjenama lancome ke leher, lengan dan sedikit dibajunya. Biar membangkitkan ghairah hidung-hidung yang tertusuk bau wangian itu.

Nurain memasukkan badannya ke dalam perut BMW putih. Dia terasa kagum dijemput kereta sedemikian rupa. Selalunya pelanggan yang menjemputnya atau dia hanya menaiki teksi ke destinasi yang di tuju. Kali ini lain benar caranya. Di luar kereta, ada mata-mata yang memandang, ada juga mulut-mulut yang memulakan bicara. Yang pasti, bicara itu tidak enak di dengar oleh halwa telinga.

“Kau nak bawa aku ke mana?”

Pemandu yang berusia lewat 40-an hanya diam membisu.

“Suka hati kaulah nak cakap ke tak. Janji kau jangan bunuh, potong, bakar dan buang abu mayat aku ya.”

Nurain menyadarkan badannya ke kerusi empuk kereta mewah itu. Mewah rasanya duduk di belakang bertemankan seorang pemandu yang khusyuk membawa hala tujunya. Kemudian, kereta itu berhenti betul-betul di hadapan sebuah restoran kopitiam terkenal.

“Dia menunggu Cik di meja nombor tujuh,” Akhirnya pemandu itu bersuara.

Nurain keluar dari perut kereta mewah putih dan terus berjalan memasuki restoran kopitiam itu. Kereta mewah itu turut pergi meninggalkan dia di destinasi yang amat jarang sekali dijejaknya. Meja bernombor tujuh menerpa pandangan. Seorang lelaki mengenakan baju-T, seluar denim biru, bertopi dan memakai kaca mata hitam sedang menunggu.

“Nora...” Nurain menghulurkan tangan untuk berjabat salam.

“Silakan duduk.” Lelaki itu mempersilakan Nurain duduk.

“Terima kasih."

“Minum?” Tanya seorang pelayan yang sedang menanti disebelahnya.

“Bagi saya Honey Lemon.” Nurain memesan air yang selalu dipesannya jika berkunjung ke restoran yang seangkatan dengannya.

“Makan?”

Nurain menggeleng-gelengkan kepalanya. Pelayan itu melemparkan sebuah senyuman sebelum beredar dari meja makan mereka.

“Kenapa encik pandang saya macam tu?” Nurain mengangkat keningnya.

“Kamu terlalu cantik.”

“Untuk dijual ya. Bukan percuma.” Nurain berseloroh.

Nurain tertawa kecil. Sejak tadi, lelaki itu menongkat dagunya sahaja. Kaca mata hitamnya dibiarkan melekap diwajahnya. Bebola matanya tidak lekang memandang wajah Nurain. Sehinggakan dia tidak sedar minuman yang dipesan oleh Nurain telahpun disedut Nurain.

“So encik. Seterusnya...” Nurain membuka agenda malam ini.

Lelaki itu mengeluarkan sekeping cek. Seperti yang dijanjikan, seribu ringgit jumlahnya. Nurain memasukkannya ke dalam beg.

“Saya harap ini bukan cek tendang. Kalau cek tendang, saya tak halalkan malam ni ya encik.” Nurain tersenyum sambil mengibas rambutnya ke belakang.

Lelaki itu mengukir senyuman, menampakkan giginya yang putih bersih tersusun rapi.

“Encik, takkan kita nak duduk di sini saja?” Sudah hampir habis air minuman Nurain menunggu hala tuju seterusnya.

“Ya, kita akan duduk di sini saja.”

“Encik bayar saya dua ribu untuk temankan encik minum di kafe ni. Peliklah encik ni. Lelaki-lelaki lain, sudah selesai urusan pembayaran pasti tak tunggu lama melihat saya.”

“Tapi saya tak begitu.”

“Jadi apa yang sebenarnya yang kau mahukan.”

“Saifol hanya mahukan Nurain yang pernah Saiful kenali lapan tahun dahulu.”

“Apa?”

“Iya Ain. Ini Saiful.”

“Drama apa pula ni. Aku tak pernah kenal lelaki bernama Saifol lah. Pelanggan-pelanggan aku pun aku tak pernah tahu siapa mereka, apa nama mereka. Itu semua tak penting, yang penting duit mereka masuk ke dalam handbag aku selepas selesai urusan jual-beli yang mereka mahukan.”

Saifol diam dan terus memandang Nurain. Pandangan wajahnya tidak berganjak walau sedarjah pun.
“Encik nak saya tak ni? Kalau tak mahu, saya boleh balik. Buang masa saya sahaja.”

“Awak jangan lupa yang saya dah bayar awak untuk temankan saya malam ni.”
Nurain bungkam. Bosan dengan pelanggan malam ini.

“Ain... Ain tak ingat Saifol lagi.”

“Saifol?” Nurain mencebik sambil memeluk tubuh. Pandangannya mengarah ke sisi kirinya.

Nurain bingkas bangun, dua keping cek bernilai dua ribu ringgit dikeluarkan dan diletakkan di atas meja. Dia mula membuka langkah mahu meninggalkan Saifol, tetapi tangannya pantas diraut Saifol.

“Jangan pergi tinggalkan Saifol lagi. Tolong Saifol. Saifol merayu pada Ain.”

“Jangan pernah sentuh Ain. Ain kotor, Ain takut kekotoran ini akan mencemarkan seluruh kehidupan Saifol.” Nurain merentap tangannya.

“Ain, kita kahwin. Mulakan hidup baru. Saifol nak tuntut janji Ain.”

“Janji nak kahwin lepas habis universiti?”

Saiful angguk.

“Itu semua angan-angan mat jenin lah Saifol. Sudahlah, Ain bahagia dengan kerja Ain sekarang.”

“Ain kata ‘atau Ain dah dapat kerja’. Sekarang Ain dah kerja, jadi bolehlah Saifol kahwin dengan Ain.”

Nurain keluar dari kedai dan diekori oleh Saifol dari belakang. Sekali-sekala dia mengesat airmatanya yang berguguran. Langkahnya kemudian dihentikan dan Nurain memusingkan badannya menghadap Saifol.

“Kenapa Saifol? Kenapa mesti Ain juga yang Saifol cari?”

“Sebab hati Saifol tak pernah berhenti untuk menyintai Ain.”

“Maaf Saifol, Ain tak layak untuk cinta Saifol yang tulus ini. Biarlah Ain hidup dengan dunia Ain sendiri.”

“Izinkan Saifol selamatkan Ain dari dunia Ain. Please Ain. Saifol merayu sangat.”

“Biarlah Ain menjadi manusia dalam kelas yang tersendiri. Ain tidak perlukan Saifol dalam hidup Ain.”

Nurain terus berlari ke arah sebuah teksi yang sedang berhenti hampir dengan mereka dan masuk ke dalamnya.

“Taman pelangi encik. Sila bawa laju-laju ya.” Mohon Nurain sambil mengesat Airmatanya.

Kelihatan di belakang teksi Saifol sedang berusaha keras mengejar teksi yang dinaiki Nurain. Saifol menyerah segala kudrat jantannya mengejar.

‘Maafkan Ain.’

-Tamat-

Nota penulis: Sekiranya terdapat permintaan untuk merungkaikan kisah ini, penulis akan membawa penulisan ini ke mini series. Sekian

4 comments:

Anonymous said...

la...dah syok2 baca tetibe tergantung plak...sambung la cite ni.

Anonymous said...

cik penulis nak tau kisah seterusnya...sambung lagi....

Anonymous said...

sambunglah ya... :)

Kk Zen said...

mungkin kenyataan tu agak kejam bg Ain..Tapi kena[a Ain teruskan cara hidup sebegitu?
Atas desakan siapa dan bagaimana Ain boleh terjebak sedangkan 8 tahun dahulu dia terlalu sedih sebb dirogol..jika dipanjangkan kisah ini,saya akan ikuti..
teruskan..