Friday, November 30, 2012

Cerpen: Maniskah Akhirnya

Hati aku semakin berdebar-debar. Sejak dari aku bangkit di pagi hening Subuh sehinggalah ke saat ini, getar jantung ini tidak pernah sedikit pun tenang. Semakin aku cuba menenangkan perasaan aku, semakin laju ia mengepam darah yang mengalir ini. Getarannya terasa di setiap urat nadi.

“Dah sedia?” Sebuah senyuman dilemparkan dan disua jabat salamnya kepadaku. Aku menyambutnya dengan penuh rasa gentar.

Lambat aku mengangguk dan kemudian aku menundukkan kepalaku sedikit. Mataku tak sanggup bertentang ke arahnya. Cabaran hidup yang bakal di tempuh selepas ini pastinya bukan mudah.

“Kalau saya sebut nama, jawab saya.”

Aku mengangguk lagi. Mukaku berubah menjadi pucat. Kalau ditoreh dengan belati tajam, belum tentu bisa mengalirkan darah.

“Muhammad Khairol bin Ahmad.” Namaku diseru dengan terang dan jelas.

“Saya.” Aku menjawab dengan tenang.

“Aku nikahkan dikau dan aku kahwinkan dikau dengan Nazatul Azwa binti Rahmat yang berwakil-walikan bapanya kepada aku dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah, tunai.”

“Aku terima nikahnya Nazatul Azwa binti Rahmat dengan mas kahwin dua puluh dua ringgit setengah tunai.” Dengan tenang, satu lafaz qabul terbit dari bibirku dengan lancar. Gelojak dalam hati hanya Allah sahaja yang mengetahui.

Kemudian kedengaran suara yang jelas mengatakan sah dibelakangku. Maka, aku kini sah bergelar suami kepada Nazatul Azwa, anak Pak Longku sendiri.

Segala yang berlaku selepas itu terasa begitu pantas. Lafaz taklik juga aku ambil enteng. Setiap bait-bait kata yang terbit hanyalah bacaan dari kertas-kertas yang terhidang, bukan terbit dari hati yang ikhlas. Walaupun jasadku menjadi tumpuan, tetapi rohku seolah-olah dibawa terbang.

“Saya nak mohon Solat Sunat dua rakaat.” Aku berbisik pada Pak Long yang duduk di sebelahku.

Pak Long membawaku ke bilik utama yang menjadi bilik pengantin.

“Saya nak solat dulu ya. Nanti dah selesai, saya keluar.” Aku mohon Pak Long tinggalkan aku sendirian. Aku mahu bersolat sunat.

“Baiklah. Terima kasih Khairol.” Pak Long tersenyum sambil menepuk-nepuk bahuku lantas menutup pintu bilik dan meninggalkan aku sendiri.

Aku duduk di atas sejadah yang sudah dibentangkan. Airmata aku menitis. Hebat dugaanMu ini Ya Allah. Berilah aku kekuatan.

###

(Malam sebelum pernikahan.)

Aku duduk di anjung rumah kampung, menghirup kopi susu panas sambil melihat-lihat persiapan majlis perkahwinan yang bakal berlangsung hari Sabtu esok. Pernikahan akan diadakan pada sebelah pagi, manakala majlis persandingan akan diadakan selepas Solat Zohor. Suasana gotong-royong atau lebih dikenali dengan rewang begitu meriah di Felda Air Tawar Empat, Kota Tinggi.

Sekali-sekala, aku hembuskan asap rokok ke arah rawak. Letih baru tiba dari Kuala Lumpur. Hari Isnin ada kerja luar yang harus diselesaikan segera di Johor Bahru.

“Khairol.” Sapa Pak Long dari belakang lalu duduk di sebelahku.

“Iya Pak Long.” Jawabku sambil membetulkan duduk sandarku di atas kerusi.

Dari riak wajah Pak Long, tergambar satu beban keresahan yang tidak terluahkan lagi. Gelisah untuk Majlis perkahwinan ini barangkali. Anak perempuan tunggalnya bakal bernikah esok, mana mungkin wali itu tidak gelisah.

“Baru sampai?” Tanya Pak Long.

“Pak Long ni mengigau ke? Kan saya dah sampai dekat-dekat nak Maghrib tadi. Saya salam Pak Long tadi kan. Pak Long lupa ke?” Usikku sambil menggelengkan kepala.

“Maaflah, Pak Long lupa.”

Pak Long memang sangat rapat dengan aku sejak aku kecil lagi. Pak Long dan ayah hanya dua beradik. Tetapi umur ayah tidak panjang, dia meninggal sewaktu aku dibangku sekolah rendah lagi. Pada Pak Long lah aku menumpang kasih sayang.

“Minum ni Pak Long.” Aku menghulurkan secawan kopi untuk Pak Long.

Aku membuah senyum pada Pak Long, mungkin dengan cara itu boleh membuatkan dia lebih tenang.

“Isteri dengan anak-anak kamu mana?” Tanya Pak Long seraya menjengah-jengah ke halaman rumah. Mencari kelibat anak-anak aku barangkali.

“Aishah on-call esok. Budak-budak macam biasalah Pak Long. Kalau dah maknya tak ikut, manalah budak-budak tu nak ikut. Lagipun saya ada kerja hari Isnin di Johor Bahru. Kesian pula tinggalkan mereka nanti.” Aku mengukir senyuman. Panjang lebar penjelasan aku pada Pak Long.

“Umur kamu berapa Khairol.”

“Pak Long ni luculah. Itu pula ditanyanya. Takkanlah Pak Long dah lupa. Saya ni baru tiga puluh tiga tahunlah Pak Long.”

“Khairol. Pak Long nak minta tolong boleh?” Berat dari nada suaranya.

“Apa dia Pak Long?”

Aku mengambil cawan sementara menunggu bantuan Pak Long keluar dari mulutnya, lalu aku hirup sedikit. Menghilangkan rasa mengantuk malam itu.

“Nikah dengan Azwa esok.”

Tersembur air yang aku minum. Aku kesat dengan tangan kanan lelehan air kopi susu yang tersisa di bibir dan dagu.

“Apa dia Pak Long?” Aku menjengilkan mata.

“Tolong Pak Long. Kamu nikah dengan Azwa esok.”

Aku terlopong sendiri. Kejutan yang diberikan Pak Long malam ini sungguh memeranjatkan aku.

“Bakal pengantin lelaki telah lari tanpa khabar berita. Keluarga bakal besan Pak Long datang memohon maaf petang tadi. Mereka tidak tahu ke mana dia pergi. Puas mereka mencari, dia hilang tanpa dapat dijejaki.”

Pak Long diam sebentar. Menghilangkan lelah bebanan yang ditanggung seraya mengisi kekuatan dugaan buat dirinya.

“Pak Long tak tahu nak minta tolong dengan siapa lagi. Kamu sajalah harapan Pak Long. Kalau tidak, malulah Pak Long sekeluarga. Tapi kalau kamu tak dapat tolong, Pak Long tak mahu paksa kamu.”

Aku diam tanpa berkata apa-apa. Pandangan aku lemparkan jauh-jauh ke halaman rumah hingga ke jalan.

“Pak Long cuma tak mahu menanggung malu. Pak Long harap sangat kamu dapat tolong Pak Long. Kamu boleh ceraikan dia seberapa pantas yang kamu mahu.”

Pak Long bangun dari duduknya melangkah mahu beredar.

“Pak Long...” Panggillan aku memberhentikan langkahnya.

“Iya saya.”

Aku seraya berdiri.

“Baiklah.”

Aku berharap jawapan itu dapat membantu menyelamatkan keluarga Pak Long dari menanggung malu.

Pak Long menerpa ke arahku, seraya mendakap tubuhku. Ada esak tangis kedengaran.

###

Tiga hari berlalu, aku kembali ke kota. Azwa aku tinggalkan sahaja di rumah Pak Long tanpa langsung aku sentuhi. Urusan kerja luar langsung tidak selesai. Serabut dengan dugaan yang datang menjelma. Proton Persona yang aku pandu memasuki perkarangan rumah teres dua tingkat. Jam menunjukkan 10.00 malam.

Lagu One In A Million nyanyian Ne-Yo berkumandang menandakan ada panggillan ke telefon bimbitku. Aku menjawabnya.

“Hello”

“Kau memang dasar lelaki lupa daratan. Ada isteri yang baik, cantik, bijak dan dikurniakan anak-anak yang baik-baik, kau masih boleh bernikah lagi. Lelaki jenis apa kau ni. Mentang-mentanglah kau masih kacak, ada kerja yang bagus, kau ingat dengan alasan tu bolehlah kau menikah lagi. Kau jangan lupa zaman susah kau dulu.”

“Kak...”

“Aku malas nak cakap dengan dasar lupa daratan macam kau ni. Lelaki tak sedar di untung.”

“Tapi...”

“Tapi apa? Kau dengar sini. Sampai kau sia-siakan Aishah dengan anak-anak. Kau siap! Aku akan cari kau sampai lubang cacing. Dunia ni bulat. Ke mana pun kau pergi tak akan ke mana. Kau ingat tu.”

“Kak, dengar ni...”

Tut.. tut... tut... Talian diputuskan. Marah benar kakak Sulung Aishah.

Aku keluar dari perut kereta dengan berat langkah. Letih baru tiba dari Johor Bahru. Beg pakaianku aku tarik masuk.

“Assalamualaikum.” Aku memberi salam seraya membuka pintu rumah.

“Waalaikumussalam.” Sahut Aishah. Seraya datang kepadaku dan bersalaman. Tanganku di kucup lembut.

Aku terus duduk di hadapan televisyen. Menonton rancangan yang sedang bersiaran.

“Tak tidur lagi?”

“Belum.” Jawab sambil berjalan ke dapur.

“Budak-budak?”

“Dah tidur lepas Isyak tadi. Letih sangat agaknya.”

Aku terpandangkan beberapa keping tisu renyuk di atas meja. Aku yakin, itu semua untuk mengesat airmatanya yang gugur.

“Nah air bang.” Aishah menghulurkan segelas air kopi panas kegemaranku.

“Ni kenapa dengan tisu banyak-banyak ni. Awak menangis?” Aku cuba mengusik.

Aishah tertawa kecil, “tadi tengok ending cerita Tentang Dhia, sedih sangat ending dia. Tu yang berkepuk-kepuk tisu tu. Habis satu kotak tisu. Ni pun kalau teringat, mesti meleleh airmata.”

Aku yakin, dia tak jujur denganku. Bukan itu puncanya, puncanya ialah pada aku. Aku patut berterus terang.

“Aishah...”

“Ya Abang.”

“Maaf.” Kata-kata aku mati.

“Aishah faham.” Airmatanya menitik kembali.

“Abang patut berterus-terang sejak awal lagi. Semua ni berlaku bukan kehendak abang.”

Aishah mengangguk tanda faham. Sungguh beruntung dia seorang isteri yang dapat memahami gelodak dalam jiwaku.

“Hakikatnya Aishah terluka. Tapi Aishah terima ni atas nama takdir. Aishah terima abang seadanya. Aishah sanggup berkongsi kasih. Bukan kehendak kita jadi macam ni. Cuma terkesan luka di hati ini.”

Aku mengambil telapak tangannya. Aku kucup lama. Airmataku terasa bergenang dikelopak. Anak matanya tidak dapat aku renung. Hatiku ditebak rasa bersalah menduakannya tanpa rela.

“Abang sayang Aishah sangat-sangat.”

“Abang, ingatlah. Aishah redha kerana Allah. Abang ikhlaskan hati Abang kerana Allah. Aishah sayangkan abang kerana Allah.”

Aishah bingkas bangun meninggalkan aku. Airmata aku gugur menitis membasahi pipi. Aku mengesat airmataku ini.

“Terima Kasih Allah.”

Aku mengeluarkan telefon bimbitku. Niatku mahu menghantar pesanan ringkas kepada Azwa. Kekunci telefon bimbitku aku tekan dan mula menulis.

‘Hujung minggu ni Abang Rol balik Kota Tinggi. Abang mahu selesaikan semua dengan cara baik. Aishah terima Azwa seadanya. Tapi maaf, abang tak mampu berlaku adil dengan keduanya. Abang terlalu sayangkan Aishah. Harap Azwa faham. Abang harap urusan perceraian kita akan disegerakan. Terima kasih. Wassalam.’

Aku hantar pesanan ringkas itu kepada Azwa. Terasa beban yang ditanggung terlerai satu persatu.

Ampunkan dosaku Ya Allah.


(Nota Penulis: Cerpen ini adalah adaptasi dari lagu Ukays - Pahit Akan Manis Akhirnya)

3 comments:

Anonymous said...

blh pjgkn lg

adila said...

beruntungnya dpt memiliki hati seperti aisyah,. nk jd mcm aisyahlah

silent reader said...

kejamnya... wuarghhhh....