Sunday, November 14, 2010

Loro: Chendana Episod 23



Tajuk : Chendana
Penulis : Faizal Sulaiman
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8.08 malam. Jilbab Episod 24 akan disiar pada 16 November 2010.

Chendana (Episod 23)

Katrina menghirup secawan teh O yang dihidang panas dengan perlahan. Dia kemudiannya meminggirkan cawan itu di atas piringnya sebelum meletakkannya tertib kembali di atas meja. Wajah pucatnya tersenyum sambil mata terkebil-kebilnya memandang Hajar dengan wajah baik biasanya.

“Kakak kamu, ke mana?”

Suara mersik Katrina memecah kesunyian malam yang hening. Mata Hajar meliar tetapi rautnya masih kelihatan tenang.

“Kakak keluar dengan Abang Asyraf. Makan..makan, mungkin dah lama tak keluar sama”, ujar gadis itu biasa sambil menuangkan sedikit lagi teh O ke dalam cawan Katrina yang sudah kelihatan separuh.

Katrina senyum lagi. Sinis kelihatannya.

“Kau cemburu, bukan? Kau cemburu dengan kakak kau sendiri. Dia lebih cantik, berkeyakinan dan bijak kalau nak dibandingkan dengan kau yang polos, lurus dan tak menarik langsung mata-mata lelaki!”

Hajar tersentap. Nafasnya tersekat. Matanya membuntang memandang Katrina yang nampaknya langsung tak bersalah.

“Apa?..Apa kau cakap?”
“Aku cakap fasal kau, Hajar! Kebodohan kau membiarkan cinta dan hidup kau dirampas secara tak bermaruah oleh orang yang dekat dengan kau!”

Hajar mencebik. Wajahnya berganti meluat.
“Aku tak pernah sesal dalam hidup. Aku gembira menjalaninya”
“Gembira? Kau jangan nak bergurau! Kau terseksa! Batin kau merana! Konon-kononnya berkorban demi kakak tersayang, tapi apa kau dapat, hah?”

Pekikan Katrina bergema berganda-gandanya. Matanya, sama membeliak seperti Hajar—seperti masing-masing mengumpulkan rasa marah yang menggunung—

“Kau takkan tahu sejarah aku, Katrina. Kau tak pernah tahu siapa aku sebenarnya!”

Wanita bernama Katrina menyungging senyuman jahat.

“Aku kenal kau..lebih dari kau sendiri…CHENDANA!”

Mata Hajar melilau-lilau sedikit gentar. Katrina tertawa perlahan, mengerikan. Lucu melihat tindakah Hajar yang nampak terkejut.

“Siapa kau?”

Suara Hajar bergema sambil matannya garang memerhatikan Katrina yang masih tidak henti-henti tertawa perlahan.

“Aku Ratna Ayu dan kedatangan aku kemari dengan hormatnya mahu mengambil engkau, Chendana Sari!”

Hajar menggeleng. Nafasnya turun naik menahan debar.
“Kau tak boleh sesuka hati nak mengambil kepunyaan aku. Chendana adalah hak aku!”

Katrina melolong ketawa. Lucu benar mendengar pengakuan Hajar.

“Tolong jangan buat aku mengilai dengan pengakuan bodoh kau ni, Hajar. Chendana bukan memilih kau. Kau tak ingat Chendana hanya memilih tuannya. Dan tuannya yang sebenar bukan kau. Kakak kau! Dia memilih Samira sebagai penjaga dan melindungi Samira dari apa-apa bahaya!”

Hajar semakin geram. Rona wajahnya merah padam menahan marah.

“Aku sudah memiliknya sekarang! Dia sudah tidak berdaya untuk melawan dan dia hanya akan mendengar cakap aku saja! Aku sudah tahu kunci untuk merantai dia!”

Katrina mendengus sinis. Dia kemudiannya menyambung dengan selamba.

“Memiliki dengan paksaan saja tak cukup, Hajar. Ya. Mungkin kau tahu kunci untuk merantai Chendana. Tetapi adakah itu mampu membuatkan Chendana patuh dan taat pada kau?”

Hajar berubah wajah. Dari sinar matanya yang tampak garang tadi, ada kemilau bimbang seakan mulai terpalit, bersarang di lubuk hatinya.

“Sampai bila kau mahu mengawal Chendana dalam keadaan kau memaksa dia? Kau sendiri tahu bukan yang dalam dunia ni, tak boleh sebarang paksaan?”, hasut Katrina dengan wajah menyeringai. Ratna Ayu yang sudah merasuki Katrina semakin lama, semakin meledak gembira.

Sekejap lagi, Chendana Sari akan jatuh ke tanganku! Kau akan ku hapuskan, Hajar! Kau akan mati ditanganku!

Keris pendek yang dikeluarkan dari celah pinggang Katrina disembunyikan di balik baju nya yang agak labuh. Dia kemudiannya bangun perlahan-lahan menghampiri gadis itu, berpura-pura membelai rambutnya, membiarkan dia dalam keadaan khayal sebelum menoreh leher gadis itu, merampas satu-satunya saka keluarga yang boleh menjadikan pemilknya kuat tidak terkalahkan!

“Kau pasti takkan menyesal jika kau menyerahkan Chendana Sari kepadaku, Hajar. Aku akan jaga dan belanya seperti kepunyaanku sendiri!”

Katrina bingkas berjalan beberapa langkah ke hadapan, sopan dan penuh tertib. Memandang Hajar dengan penuh kasih sayang seolah-olah Hajar adalah benda tercantik yang pernah dilihatnya di muka bumi ini. Keris pendek, berkarat sudah tersisip kemas di celah pinggang, menunggu masa saja untuk dihiris ke leher putih melepak Hajar.

Kau akan menjadi milikku, Chendana!!

Belum pun sempat Katrina menyentuh jari jemarinya ke atas ubun-ubun Hajar, kedengaran pekikan dahsyat, disertai dengan satu sinarab putih melintang menembusi leher Katrina sebelum kepala perempuan itu jatuh tergolek di atas lantai. Tubuhnya yang langsing jatuh terjelepuk berdebuk, dalam keadaan menggelupur kesakitan dengan darah merah pekat memancut-mancut membasahi jubin putih.

Nafas Hajar seakan-akan terhenti melihat kengerian itu, sebelum tubuh Katrina berhenti dari menggelupur dengan kepala yang sudah bercerai dari badan!

Patik akan lakukan apa saja demi Tuanku. Chendana akan sayangi Tuanku Hajar!

Kelihatan satu kelibat wanita berkebaya merah melayah di udara dengan rambut hitam berkilatnya, mulus kulit nan bersih dan pandangan mata yang sangat menawan. Bibirnya yang dioles merah berkata lagi.

Usah hiraukan kata-kata orang lain! Patik akan sentiasa menemani Tuanku Hajar!

Hajar tersenyum bangga.
Chendana Sari akhirnya tunduk jua kepadanya!

Suasana sunyi seketika sebelum kedengaran suara seorang lelaki muncul entah dari mana berdetar di balik keadaan senyap itu.

“Hajar??.......Apa yang dah berlaku ni?”

Kelihatan Asyraf dengan mata menakutkan dan cemas tergamam memerhati suasana merah darah yang membasahi lantai dengan jasad yang sudah bercerai kepala dari tubuhnya…

No comments: