Thursday, August 26, 2010

Loro: Chendana Episod 5


Tajuk : Chendana
Penulis : Faizal Sulaiman
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8.08 malam. Jilbab Episod 6 akan disiar pada 28 Ogos 2010.

Chendana (Episod 5)

“Assalamulaikum”

Sapaan itu sangat mengejutkan Samira yang sedang menutup akhbar yang dibacanya sejak pukul sembilan setengah pagi itu. Dia memandang teman lelakinya, Asyraf yang leka sedang melayan laman sosial Twitter dengan adik perempuannya Hajar yang sedang menyusun majalah manakala ibunya yang sedang sibuk mengemas ruang dapur.
“Walaikumsalam”, salam dijawab perlahan sebelum Samira menjengulkan kepalanya melalui tingkap sebelum disambut senyuman si empunya tetamu.

Kelihatan sepupunya, Jamil tersenyum manis dengan kopiah putihnya masih terlekat di kepala.
“Eh Jamil. Masuklah”, tutur gadis itu sebelum meneriakkan nama ibunya dengan kuat. “Mak..oh..mak..Jamil anak Mak Su Piah datang ni”, teriak Samira berlari kecil menuruni tangga batu rumah kampungnya menyambut Jamil.
“Abang Jamil baru habis belajar ke? Seronok tak kat sana?”, soal Samira terburu buru sebelum disapa dengan sopan oleh Hajar yang berada di muka pintu.
“Suruh Abang Jamil masuk, kak. Kesian pulak dia duduk luar”

Jamil dipelawa masuk sebelum berkenalan dengan teman lelaki Samira yang kemudian menutup komputer peribadinya sebelum menyambut huluran salam lelaki yang nampak warak itu.
“Kamu sihat?”, soal Jamil yang duduk bersila kepada Hajar sebelum menghidangkan air-seperti kebiasaan para tetamu yang bertandang ke rumah- untuk lelaki itu. Gadis itu mengangguk perlahan. Tiada ulas kata terkeluar dari kedua bibirnya sebelum tersipu-sipu berlalu ke ruang dapur.

Samira kemudiannya memandang teman lelakinya yang menjungkit bahu tidak faham sebelum memandang wajah tidak mengerti sepupunya. “Saya ada buat apa-apa ke?”, soalnya perlahan. Samira menggeleng dan berkata “Tak ada apa-apalah bang. Hajar tu memang macam tu. Malu tak bertempat”, jelasnya dengan sengihan di hujung kata. Jamil mengangguk faham.
“Eh…mana ustazah? Kata tadi ada di rumah. Lama benar tak jumpa dia. Rindu!”, usik Jamil sebelum menghirup sedikit teh O panas yang dihidang Hajar. Samira tersenyum.
“Kejap-kejap lagi dia keluar lah tu. Mak rajin benar kemaskan dapur. Macamlah abang tak tahu”, jelasnya sebelum memandang riak tenang Jamil yang mengerti. Gadis itu kemudiannya berpaling ke arah kekasihnya yang diam membisu. Mungkin tidak tahu apa yang hendak diborakkan.

“Awak kalau nak tahu, Abang Jamil ni masa kecil…nakal sangat. Selalu ajak Mira dengan Hajar ke Kolah Pelita dekat hujung kampung. Orang sibuk bercakap tempat tu berpuaka. Budak-budak. Tahu sajalah. Masuk telinga kiri, keluar telinga kanan”, jelasnya dengan senyuman melirik. Asyraf yang mendengar sedikit ceria manakala Jamil sudah kemerah-merahan menahan malu.
“Dahla Mira. Malu abang dengar ni”, bisiknya sopan. Tetapi Samira mempedulikannya. Tak salah kan kalau nak mengimbau semula kenangan lama. Biasalah budak-budak. Apalah yang hendak dimalukan?
“Jadi..kami memang kawan bertiga. Selalu main dekat paya sampai Mak Su Piah membebebel-bebel dekat kitaorang. Tapi bila semuanya menjelang dewasa, saya sekolah MRSM, Hajar masuk Sekolah Agama, Abang Jamil pulak ke Jordan…tak banyak yang boleh kami kongsikan selepas itu”, jelas Samira terkenang-kenang. Jamil juga kelihatan tunduk merenung lantai rumah bagai memikirkan sesuatu.

“Kau dah balik ya, Mil?”, terdengar satu suara lemah lembut sebelum Jamil, Samira dan Asyraf berpaling melihat Ustazah Jamilah sedang bertelekung, membutir tasbih yang terkirai di balik jemarinya.
Jamil sedikit terperanjat dan rona wajahnya sedikit berubah. Samira kemudian memandang Asyraf yang sama peliknya sebelum gadis itu bertanya lembut.
“Eh..mak sembahyang apa ni. Dah jam sepuluh kan?”
“Solat Dhuha’. Awak tu apa tahu?”

Samira pelik. Sejak bila pula ibunya sudah pandai bercakap kasar dengan anak-anaknya sendiri? Malah sejak dua hari kepulangannya ke dalam rumah ini, ibunya yang juga merupakan seorang ustazah sekolah agama, jarang benar bercakap dengannya. Bila bertentang mata dengan Asyraf, mulalah ibunya hendak marah-marah.

Apa yang dah jadi dengan mak, ni?

“Mira. Sudah lah apa yang kau fikirkan tu! Kau ingat mak tak tahu, ya?”, soal ibunya dengan nada dingin yang sangat menjengkelkan. Jamil kemudian bangun, terus meluru kea rah Ustzah Jamilah, cuba untuk menghulurkan salam tanda hormatkan ibu saudaranya itu. Dia tidak mahu drama keluarga terus-terusan dihambat rasa bersalah kerana datang ke ruamh makciknya dalam waktu yang salah.
“Kau buat apa ni, Mil? Tak payah nak salam-salam! Kau ingat kau tu baik sangat?”, marah Ustazah Jamilah sebelum tersenyum sinis. Kedengaran suara Samira menjerit kecil. Mak! Apa yang mak cakap ni?
“Ya aku tahu, Mil. Mak Su Piah kau banyak berhutang dengan aku. Iyalah..nak hantar anak pergi Jordan. Mak kau bukan ada duit! Jadi dengan siapa dia mintak kalau bukan dengan aku ni, kakak dia?! Kau kena sedar Mil! Kau tu anak orang miskin! Hina! Faham?”, pekiknya lantang sehingga Hajar yang duduk berkemas di dapur turut berlari ke ruang hadapan melihat pertelingkahan itu.

“Apa dah jadi ni, kak?”, soal gadis itu cemas. Ustazah Jamilah memandang anak perempuannya yang seorang lagi dengan pandangan kasih sayang.
“Hajar anak mak. Mak tahu kamu sayangkan mak. Kamu jaga emak sepanjang ketiadaan kakak kamu. Kamu anak yang baik, nak!”, jelas Ustazah Jamilah lemah lembut sebelum berpaling menghadap tiga individu yang keliru melihat perilakunya. Mata meliar ustazah itu melihat susuk seorang lagi anaknya, Samira yang tercengang tidak mengerti.

“Mak kecewa dengan kamu, Mira. Keluarga ini menaruh kepercayaan yang tinggi buat kamu. Hantar belajar tinggi-tinggi. Tetapi siapa yang kamu pilih sebagai suami? Lelaki itu kan?”, bentak Ustazah Jamilah sebelum jari yang membutir tasbih menunjuk kea rah Asyraf yang tiba-tiba mendadak terkejut. Ustazah Jamilah berkata lagi dengan senyuman menyindirnya.
“Ilmu agama tak cukup. Harta apatah lagi!”, desisnya tajam membuatkan Asyraf tetunduk merenung lantai. Malu dan rasa terhina menghukum diri.
Ternyata Ustazah Jamilah tidak puas lagi menghina dan mencerca walau sudah dilauhkan segala-galanya. Dia kembali memandang Jamil yang melihatnya dengan tenang-tenang sahaja.
“Kau balik ke sini dengan tujuan apa? Kalau semata-mata nak melangsaikan hutang piutang yang dahulu, aku persilakan. Dan kalau kau datang semata-mata nak mengikis harta aku semula…JANGAN HARAP!!!”, pekiknya garang sebelum Jamil mengangguk mengerti. Dia kemudiannya melangkah sedikit menuju ke muka pintu, menuruni tangga batu rumahnya sebelum kedengaran lagi pekikkan Ustazah Jamilah lantang.
“Pergi!!pergi berambus kau dari rumah aku!”, sebelum perempuan itu meluru masuk ke biliknya dan kedengaran bunyi pintu dihempaskan dengan kuat. Hajar membuntuti ibunya pantas.

Kelihatan di luar Jamil sudah menyarungkan seliparnya dan bersiap sedia untuk pergi meninggalkan teratak makciknya. Makciknya yang suatu ketika dulu membantu tanpa banyak berkira. Yang suatu ketika dahulu menolong tanpa banyak soal jawabnya. Hati lelaki itu benar-benar terpempan. Ya Allah..dugaan apakah ini?

“Abang Jamil..tolong jangan pergi dulu!!!”

Samira memekik lantang dari dalam rumahnya sebelum berlari pantas menuruni tangga batu dan berdiri tercegat seperti patung sesudah kakinya menginjak tanah yang kering.
“Tolong bang. Jangan pergi. Jangan putuskan persaudaraan ini. Samira yakin, emosi mak tak stabil. Mak kurang sihat!”
“Tapi Mira..apa yang makcik cakap tu betul. Memang keluarga abang banyak susahkan keluarga Mira”
“Abang anggap apa yang mak cerita itu tak wajud ya. Tolonglah bang”

Jamil menggeleng-geleng perlahan. Riak wajahnya sangat resah, keliru, malu dan tertekan.
Oh Tuhan..tabahkanlah hatiku!!

“Tapi…”

Belum sempat Jamil menyudahkan kata-katanya, kedengaran pekikan dahsyat Hajar dari dalam rumah sebelum Samira dan Jamil berlari menuju ke dalam rumah. Asyraf turut berlari sama dan kelihatan di ruang bilik berhabuk Ustazah Jamilah, perempuan itu sudah menggantung dirinya, dengan lidah terjelir dan jejehan air liur yang sudah membasahi lantai…

Bersambung...

No comments: