Tuesday, September 11, 2012

Laila Namamu Teratas Episod 17


 
Cahaya petang kemerah-merahan mula menyimbah permukaan air Selat Melaka. Angin menderu agak kencang. Kelihatan kanak-kanak kecil bermain layang-layang sambil ditemani beberapa orang dewasa. Ada juga yang sedang bermandi-manda dan bermain-main dengan ombak yang menghempas lembut pasir Pantai Puteri. Kelihatan juga ada muda-mudi sedang mesra dengan bual bicaranya, barangkali sedang bahagia menyulam cinta.
 
Sabri duduk di atas motosikal kesayangannya. Matanya sedari tadi asyik memandang pangkin di bawah pokok rhu. Sudah beberapa hari pangkin itu kosong. Dia tetap menanti dengan penuh sabar, agar gadis itu muncul dan duduk melukis di situ. Entah kenapa ada getar rindu dalam hatinya.
 
‘Hari ni kalau tak ada lagi, esok masih ada. Aku tak akan putus asa.’ Bisiknya dalam hati.
Sabri berdiri dan memulakan langkah menuju ke pantai. Melayan perasaannya berjalan-jalan di gigi-gigi air ombak, membasahkan sandal yang dipakainya. Hati Sabri yang dulunya yang kental tidak mahu bercinta langsung mula merasa kosong.
 
“Adoi...” Sabri mengaduh tatkala belakangnya terasa belikatnya terkena balingan benda kecil seperti batu. Dia segera memusingkan badannya.
 
Seorang gadis sedang memandangnya dengan mata yang tajam. Kemudian dia melangkah laju ke arah Sabri dan berdiri betul-betul dihadapan Sabri.
 
‘Pang...’ Sebuah tamparan hinggap di pipi kiri Sabri.
 
“Auw..” Sabri segera menekup pipi kirinya yang baru saja menerima tamparan tanpa sebab.
 
Gadis itu segera membuka buku lukisannya, dicari mukasurat yang masih kosong lalu ditulisnya sesuatu di kertas kosong itu. Sabri masih lagi berdiri terpinga-pinga.
 
‘Kenapa awak kacau hidup saya? Kenapa awak ada di sini? Kenapa awak nak ganggu ketenangan hidup saya? Pergi jauh-jauh.’ Gadis itu menunjukkan kepada Sabri apa yang ditulisnya tadi dengan mata yang merona merah menahan kemarahan.
 
Sabri segera merampas buku lukisan itu dan mula menulis di bawah tulisan gadis itu. Kemudian dia mencampakkan buku itu kepada gadis itu semula.
 
‘Salah ke saya mahu melepak-lepak di kawasan yang bukan milik sesiapa? Saya nak cari ketenangan di sini. Maaf kalau saya ganggu awak, saya tak ada niat langsung nak kacau hidup awak. Tapi kalau awak tak suka, saya boleh pergi. Tapi tolong jelaskan, kenapa awak tampar muka saya?’
 
‘Saya tak suka awak!’
 
Ringkas sahaja balasan gadis itu. Sabri terus merampas semula buku itu dan menulis untuk yang terakhir kalinya. Kemudian dia menyerahkan semula kepada pemiliknya dan berlalu pergi.
 
“Bikin panas betul perempuan ni. Aku nak berkenalan dengan dia, dia boleh pula jual mahal. Pigidah.”
 
Sabri terus menghidupkan enjin motosikalnya dan berlalu pergi. Perutnya terasa lapar.
 
‘Agaknya mak masak apa ya hari ni...’ Sabri tersengih sendirian di atas motosikal.

No comments: