Friday, September 3, 2010

Loro: Chendana Episod 7


Tajuk : Chendana
Penulis : Faizal Sulaiman
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8.08 malam. Jilbab Episod 8 akan disiar pada 5 September 2010.

Chendana (Episod 7)

“Hajar tinggal dengan kakak, ya”, bisik Samira sambil memaut bahu adik perempuannya Hajar dengan lembut. Sesekali dia menggosoknya perlahan, memujuk hati gadis itu yang lara. Kerisauan mulai menjengah bila Hajar semakin enggan menjamah nasi. Kerap duduk di dapur di waktu malam bagi menghabiskan sisa malamnya dengan menangis, mengenangkan arwah ibunya, Ustzah Jamilah.

Gadis itu menjadi pesimis. Tidak sering bercakap dan menjadi murung tidak tentu hala. Dan ini cukup merunsingkan Samira sebagai kakak. Dia mahukan yang terbaik buat Hajar dan kerana itu dia mengajak gadis itu tinggal bersama-samanya di bandar. Dia tidak mahu adiknya terbayang kenangan di Pelita. Dia tidak mahu Hajar sentiasa berkelakuan murung, selanjutnya melakukan sesuatu di luar jangkaan. Dia tidak mahu apa yang pernah terjadi pada arwah ibunya, berulang kembali kepada Hajar.

Mungkin perpindahan ini mampu menceriakan Hajar. Mampu mengembalikan kegembiraan gadis itu dari terus bersedih.

Dan tatkala Samira memaut tubuh gadis itu, Hajar masih merenung kejauhan laman rumah sambil mempedulikan Asyraf yang sibuk membawa masuk barang-barang peribadi Hajar di dalam kereta sambil memerhatikan dua beradik itu dengan wajah yang tenang. Nafasnya dihela perlahan sambil ke ruang pemanduan kereta, menghidupkan enjin Viosnya sebelum tersenyum memerhatikan Jamil yang lengkap berkopiah berjalan lambat-lambat menuju ke arahnya.

“Assalamualaikum, Asyraf.”
“Walaikumsalam, bang. Nak kemana ni, bang?”
Jamil tersenyum nipis.
“Nak ke surau. Ada gotong royong. Bila lagi kita nak mengimarahkan rumah Allah tu”, katanya penuh hemah. Asyraf membalas dengan senyuman faham sebelum mengangguk perlahan. Jamil menepuk lembut bahu Asyraf sebelum berkata.
“Mari kita sama-sama ke surau. Boleh gotong royong sama-sama”, ujar Jamil dengan senyuman tidak lekang di bibir.
“Oh tak boleh la, bang. Saya dengan Samira dah nak gerak ke bandar. Kami bawak Hajar sekali. Kesian pula dia tinggal seorang diri disini. Di bandar, Samira boleh tengok-tengokkan”, jelas Asyraf sebelum Jamil berkerut dahi.
“Eh…dah nak balik, dah? Tak mahu tinggal dua tiga hari lagi?”, desak Jamil sebelum melihat ruang dalam rumah peninggalan makciknya, Ustazah Jamilah dengan perasaan berbelah bahagi. Dia kemudian memandang Asyraf yang mengangguk perlahan, mengiyakan pertanyaannya.

Tanpa dipinta, dia menuju ke ruang beranda batu rumah keluarga Samira dan seperti apa yang disangka Asyraf, kedua beradik Samira dan Hajar sedang duduk bersimpuh, diam membisu. Samira yang kemudiannya sedar dengan kehadiran sepupunya, mula menggelodak ingatan, melupakan tentang kemurungan adik nya yang semakin lama semakin bersarang di fikiran.
“Oh..bang. Terperanjat Mira. Nak kemana, bang?”, soal gadis itu sopan sambil menjeling adik perempuannya yang masih termenung jauh, tidak menyertai perbualan mereka.
“Nak ke surau. Ada gotong royong.”, pendek jawapan Jamil sambil memandang perilaku Hajar yang dirasakan sangat pelik, kemudian tanpa rasa berat hati dia menanyakan kebimbangannya itu kepada Samira.

“Hajar ni, sihat ke? Diam aje dari tadi?”, soal lelaki itu sebelum bertukar pandang dengan Samira. Gadis itu mengeluh berat. Sambil berkata, dia mengusap rambut adik perempuannya dengan lembut.
“Entahlah bang. Dia masih rindukan arwah emak agaknya. Mak pergi mengejut. Tentu menakutkannya. Yalah…dia pun dah lama dengan emak. Jaga emak”, bingkis gadis itu sayu. Di balik senyuman nipisnya ada kilauan jernih yang mulai hendak mengalir dari dua kelopak matanya. Gadis itu kelihatan cuba hendak menahan. Dia cuba sekuat hati. Ya. Dia turut merasa sedih atas kehilangan ibunda tercinta. Tetapi sebagai kakak, dia harus kuat menempuhi semua itu.

Dia masih ada Allah untuk diingati. Kerana apa jua sekalipun, yang datang akan kembali semula kepadaNya. Dia harus positif demi menempuhi kelansungan hidup yang sekian lama mendesak.

Dan semngat itu harus ditanam dalam sanubari adik perempuannya, Hajar. Dia mahu Hajar sentiasa kuat. Yang pergi takkan boleh kembali. Yang hidup perlu teruskan kehidupan..

“Mira..Mira..”
Sayup-sayup suara Jamil memecah keheningan pagi yang remang. Sekilas, pandangan lelaki berkulit cerah itu berdetar di pandangan matanya.
“Awak dengar ke apa yang saya cakap kan tadi?”
“Apa dia?”
Jamil menyungging senyuman. Masih di tangga, dia berkata perlahan.
“Betul ke Mira nak pindah? Bawa Hajar sekali?”, tanya lelaki itu ingin tahu. Samira tidak menjawab, sebaliknya mengangguk perlahan. “Saya tak mahu dia terus-terusan diburu kenangan dengan arwah emak. Hajar perlu sesuatu yang baru. Dia perlu terus hidup”, bisik Samira sebelum memandang adik perempuannya yang tidak putus-putus memandang laman rumahnya yang lapang.

Jamil mengangguk faham. Ya. Mungkin penyelesaian dengan membawa Hajar ke bandar adalah solusi yang terbaik. Iayalah, takkan hendak biarkan budak perempuan itu terus memerap di dalam kampung. Lebih-lebih dengan tiada kawalan sesiapa. Tentu akan menjadi lebih rumit. Hajar pula perempuan. Kalau jadi apa-apa nanti, susah!

“Kalau begitu, baiklah. Senang-senang ada masa, kalian pulanglah ke kampung. Jenguk kami yang dekat sini”, ujar Jamil sebelum berundur sedikit, kembali meneruskan nawaitunya ke surau. Dia melambai perlahan.
“Kalau begitu, abang ke surau dulu ya.”, kata Jamil sebelum menuju ke arah Asyraf yang sudah memasukkan barang terakhir ke dalam bonet Viosnya.
“Abang dah nak pergi, dah?”
Jamil mengangguk mesra. Dia menghulur tangannya untuk bersalaman dan lelaki itu membalasnya kemas.
“InsyaAllah kalau ada masa, kita akan berjumpa lagi, Asyraf! Kau jaga lah baik-baik dua beradik tu. Sentiasa ingatkan Allah. Dia Maha Mengetahui”, ujar Jamil sambil memperbetulkan kopiahnya yang sedikit senget. Asyraf senyum faham sebelum menyambut salam lelaki itu yang mulai bergerak menuju ke surau kampung Pelita.

Bagi Jamil, tidak ada apa yang lebih menggembirakan selain melihat sepupunya Samira dan Hajar hidup berbahagia. Ya. Dia sedikit tersentap apabila makciknya Ustazah Jamilah mengungkit tentang harta dan duit ringgit yang pernah ditolong perempuan itu sewaktu pengajiannya di Al Azhar. Dia asal keluarga miskin. Ayahnya meninggal ketika dia masih SPM dan lantaran dengan itu, ibunya bertukus lumus menjual kuih bagi menampung hidupnya yang ketika itu masih di asrama.

Kerana berkat hidup, mungkin
Kerana redha ibunya yang sentiasa berdoa siang malam tanpa henti, dia percaya Allah akan sentiasa membantunya..

“Fikirkan apa tu, nak?”, soal satu suara berdehit di tepi belukar, lima belas minit sebelum sampai ke perkarangan surau. Jamil terpempan sebelum melihat seorang nenek tua, sedang mengayam daun mengkuang di atas pangkin yang beratap.

Jamil membuah senyuman. Wajah nenek itu kelihatan berkedut, dengan beberapa batang giginya sudah rompong, tetapi masih gagah untuk tersenyum.

“Tak ada apa-apa, nek”, ujarnya sebelum melihat dua orang budak sedang berjalan disebelahnya sebelum berbisik-bisik sesama sendiri. Seorang lagi mereka memandang Jamil dengan wajah yang sangat pelik, sebelum meneruskan perjalanan ke perkarangan surau untuk bergotong royong.

“Kalau ada pun yang dibimbangi..kamu luahkanlah pada nenek. Mana mungkin nenek boleh bantu!”, ujar perempuan itu masih dengan suara berdehit tidak menyenangkan seperti ada kumpulan kahak terkumpul di kerongkongnya. Jamil menggeleng-geleng perlahan.
“Tak ada apa yang hendak diminta, nek. Allah itu Maha Esa. Pasti dia boleh membantu,” ujar Jamil perlahan sambil tersenyum melihat air muka nenek tua itu mendadak menjadi tegang dan serius. Jamil menghela nafas sebelum menyambung kata-katanya semula. “Saya pergi dulu, nek. Assalamualaikum”, ujarnya mesra sebelum menyertai dua budak lelaki yang masih berbisik-bisik curiga ke arahnya.

“Apa yang kamu berdua bisikkan ni? Kamu mengumpat abang, ya? Baik cakap! Tak baik menipu depan surau ni!”, Jamil membuat mimik muka garang sebelum salah seorangnya berkata dengan sangat pantas.
“Abang cakap dengan siapa?”
Jamil senyum.
“Dengan neneklah. Nenek yang menganyam tikar tu.”
Salah seorangnya berwajah cemas, sambil mencuit-cuit rakannya tidak sabar.
“Tapi kan…”
Jamil senyum lagi. Dia terus memotong percakapan budak lelaki yang nampak kalut itu.
“Ya abang tahu. Kamu tak nampak kan? Abang tahu tak ada sesiapa yang duduk di pangkin tu. Siapa nak duduk kat pangkin situ. Dah lama-lama tak duduk, adalah jin syaitan yang tumpang sekejap”, kata Jamil selamba sebelum memaut ke dua-dua bahu budak lelaki itu sebelum mengajaknya masuk surau.
“Dah..dah..mari kita tunaikan solat sunat. Jin itu ada. Hidup macam kita. Lagipun abang dah biasa terserempak dengan mereka.”, kata Jamil sebelum kedua budak lelaki itu mendadak terkejut.
“Apa???”

Jamil tersenyum lagi. Dia mengangguk tidak sabar.
“Kalau kamu nak tahu, kat belakang kamu ada…seorang. Dia berdiri dipagar surau. Wajahnya muram.”, bisik Jamal sebelum kedua mereka memucat dan memaut tangan antara satu dengan yang lain.

“Sudahlah..Mereka ada hidup mereka. Kita ada hidup kita”, kata Jamil sambil mengajak kedua budak lelaki itu masuk ke dalam surau..

Ya..mereka ada disekitar kita…

BERSAMBUNG

No comments: