Tuesday, September 7, 2010

Loro: Chendana Episod 8


Tajuk : Chendana
Penulis : Faizal Sulaiman
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Karya Loro akan bercuti bagi menghormati Sambutan Hari Raya. Jilbab Episod 9 akan disiar pada 17 September 2010 jam 8.08 malam

Chendana (Episod 8)

Dah..pergi sana! Jangan kacau hidup aku lagi, faham!
Aku tahu kau takkan pergi! Kau memang sengaja menempah ajal!

Samira tiba-tiba sahaja terkenangkan perbualan adiknya Hajar sejak pertama kalinya menjejakkan kaki ke dalam rumah, selepas seminggu berada di kampung. Dia tidak tahu sangat apa masalah yang sebenarnya sudah terjadi tetapi apa yang jelas, budak perempuan itu semakin menjadi-jadi cakap seorang-seorangnya, seolah-olah macam tak ada orang lain lagi yang boleh di ajak berbual.

Saat diajukan kebimbangan kepada Asyraf, teman lelakinya sekadar memberi cadangan untuk dihantar berjumpa pakar. Lebih tepat, pakar jiwa. Tetapi awal-awal lagi dia sudah menyanggah idea Asyraf dan hanya memikirkan jiwa Hajar sedang runsing, apatahlagi selepas kehilangan ibunya—individu yang paling rapat dengan gadis itu setelah penghijrahannya ke bandar.

Ini sudah masuk hari yang ke tiga. Takkan Hajar masih terkenang-kenang. Takkan setiap kali dia balik, budak perempuan itu harus menarik muka masam, enggan berbual dengannya malahan gemar memerap dalam bilik. Satu tabiat yang serasakan Samira sangat janggal dilakukan oleh adiknya itu yang selama ini sangat rajin dan tangkas di dapur.

“Tak habis lagi kenangkan pasal adik kau? Fokus Mira. Engkau cuti lama-lama pun, makcik tu dah bising!”, sapa Huzaifah yang muncul dari arah mana, mengejutkan Samira yang leka mengenangkan sikap ganjil adik perempuannya yang tiba-tiba berubah.
Samira tersenyum tawar. Sambil mengerling perempuan itu yang sedang menggenggam kemas cawan Nescafe nya, dia menyambung menaip di papan kekunci komputer. Sesekali matanya menjengah ruang depan cermin lutsinar, melihatkan Katrina sedang mundar mandir membaca sesuatu di dalam fail dengan wajahnya berkerut-kerut.
“Aku tak ada apa-apa lah. Aku okey”, simpulnya cuba menenangkan gelojak perasaan Huzaifah yang mulai curiga. Dia berdiri agak lama di tempat Samira, merenungnya atas bawah sebelum menyambung semula kata-katanya. Kali ini nadanya lebih lembut berbanding tadi.

“Aku nasihatkan kau saja, Mira. Kau pun tak suka kalau makcik tu marah. Saranan aku, baik kau bawak adik kau ke hospital. Berjumpa pakar bukan gila namanya. Mungkin adik kau terganggu dengan teruk. Kita tak tahu”, luah Huzaifah sebelum meraih tangan Samira dan menggenggamnya erat.

“Pergilah kalau kau sayangkan adik kau”, pujuk Huzaifah lagi sebelum kedengran pekikan nyaring di belakang gadis itu.

Kelihatannya Katrina sedang bercekak pinggang, memeluk satu fail hitam berkulit keras separas dadanya memandang Huzaifah dengan agak bengis.
“You dah tak ada kerja lain ke, hah?! Berlambak kerja you. I tak suruh you bersembang!”, tengkingnya garang. Huzaifah terkedu sebelum mencicit pergi tatkala Katrina menuju pantas ke partition Samira seterusnya memandang gadis itu dengan wajah merah padam kemarahan.

“Apa you buat ni?”
“Buat..I buat apa ya?”

Wajah Katrina menyinga. Eh engkau..buat-buat tanya pula ya?!
Serentak dengan itu juga dia menghempas fail kulit keras berwarna hitam ke atas papan kekunci komputer Samira. Berdentum bunyinya. Kelihatan pekerja lain menjengah kepala, cuba mencuri dengar pertelingakah makcik Katrina dengan pekerjanya.

“You buat apa dekat halaman sembilan belas? I suruh total up. Bukan divide! Kerja tambah tolak macam tu pun you tak boleh nak buat? Matematik dekat sekolah dapat berapa? Bahasa Melayu dekat sekolah dapat apa sampai you tak faham arahan, hah!”
, hambur Katrina berang. Samira lekas membelek fail dan terus membuka ke halaman yang disebutkan.

Ya Allah…kenapalah aku pergi bahagi?! Patutlah jumlahnya nampak pelik semacam!

“You buat apa? Tak ada maknanya tenung-tenung kertas tu. Tak boleh nak tukar dah figure nya!”, bengkeng Katrina lagi dengan wajahnya sudah dibasahi peluh dingin. Baghal! Benda simple macam ni pun tak boleh nak buat!

“I am so sorry Kat. I tak sengaja. I thought..”
“Apa yang you fikir hah? Ada apa dalam kepala otak you ni sampai bebal macam ni! Operasi tambah tolak ni supposedly dah ada kat hujung jari you!”, bentak Katrina semakin berangin marah. Dia merampas fail yang berada di atas meja gadis itu dengan tidak beradab.

“There is no cure for sorry! Kalau macam tu buatlah salah lagi! lepas tu kau boleh minta maaf! Senang kan?”, hina Katrina sebelum berpaling berlalu pergi. Sebal benar hatinya. Kalau iya pun ada masalah, tolong campak masalah engkau dalam tong sampah! Professional lah sikit! Kepala hangguk dia, sorry!

“Katrina. Katrina Rizal Zaidi. Satu nama yang cukup indah, kan?”, bisik suara dibelakang gadis itu dan apabila perempuan itu berpaling, kelihatan Samira berdiri, dengan rambut lurusnya bersikat kemas selain eye liner yang dipakai perempuan itu kelihatan semakin tebal.

Samira tersenyum menyindir. Dia menyambung lagi.

“Tapi sayang…tak dapat perhatian ibu bapa. Adik beradik ramai. Jadi demi mendapat perhatian ayah dan emak, kau sanggup lakukan apa sahaja, kan?”

Wajah berang Katrina berubah sedikit demi sedikit. Samira langsung mempedulikan perubahan wajah bosnya itu. malah dia semakin rancak berkata-kata.

“Kau belajar betul-betul hingga ke universiti. Kau memang seorang perempuan keras hati, Katrina. Jiwa kau penuh hasad dengki. Dan kau juga menaruh hati pada Asyraf penulis novel tu, ya?”

Sungguh!
Sampai sahaja perkataan ini diluahkan, wajah Katrina terus berubah merah padam.
Dia merenung Samira dalam-dalam.

“Apa kau cakap ni? Aku..”
Samira menyeringai
“Ah! Sudahlah kau! Kau memang benci aku! Sebab kau ada hati dengan Asyraf tapi lelaki itu menolak cinta kau!”
“Macam mana kau..aku…”
Samira ketawa lagi.
“ Berhenti dengan lakonan kau, Katrina! Kau memang perempuan berhati busuk! Mak kau culas. Ayah kau kaki judi! Sebab tu kau nak merasa hebatnya hidup berkuasa. Hebatnya memerintah orang!”, cela perempuan itu lagi dengan senyuman menyeringai di pinggir bibir.

Wajah Katrina bertukar lebih pucat dari yang biasa. Dia menghela nafas, memaut fail kulit keras di tangannya sebelum berjalan tegak, memandang hadapan dan berlagak seolah-olah tidak tahu.
Hatinya sakit.
Sanubarinya sayat.
Berani berani perempuan itu menghina aku?
Dia ingat, dia siapa??

Katrina menghempas tubuhnya di kerusi empuk miliknya. Kepada kekasihnya Yazid, dia meluah rasa. Menghambur rasa pedihnya yang berbuku-buku terhadap Samira—yang entah angin apa tiba tiba sahaja membuka lembaran lama!

Seketika menghampuk diri dengan jiwa yang rengsa, dia menerima balasan dari Yazid. Pendek saja jawapannya.

“Kita jumpa Ratna Ayu. Mungkin dia boleh membantu. Malam ini, kita ke sana”

Ya!
Cadangan Yazid ada benarnya. Ada bernasnya.

Malam ini, Ratna Ayu akan mengganggu hidup kau, Samira!!!!

Perempuan itu tersengih penuh dendam…

BERSAMBUNG

No comments: