Wednesday, March 31, 2010

Bab 23: Kembali

Auji hanya memandang dari jauh. Dibiarkan sahaja Anis dan Azim memotretkan hari bahagia mereka. Dilempiaskan pandangan jauh-jauh ke pantai. Di tangannya, sebuah kotak dan sekeping bingkai bergambar.

Telefon bimbitnya berbunyi.

(Auji, Boleh tak kau beri aku peluang. Untuk kenal kau dengan lebih rapat.)

“Argh, Edy ni tak sudah-sudah mengharap.” Auji mendengus perlahan. Nafasnya dihela panjang. Jarinya menekan perlahan kekunci telefon bimbitnya.

(Kau bersungguh ke?)

Auji membalas pesanan ringkas. Seraya membiarkan telefon bimbitnya terus tergantung di dadanya. Terus sahaja dia duduk di atas pasir pantai. Tidak sampai seminit, telefon bimbitnya berbunyi lagi.

(Ya Auji. Aku bersungguh)

Auji keliru. Hatinya tidak pernah dibuka untuk insan lain selain Muhamad Amir Nurhakimi. Terasa berat dia mahu membalas pesanan ringkas itu.

(Aku rasa kau perlu dengar cerita aku.)

Alasan apakah yang patut diciptanya kali ini. Menolak cinta Brian Aidil.

(Apa sahaja untuk kau Auji.)

Auji mengambil masa untuk membalas pesanan ringkas itu. Entah keberapa kali entah Edi mengajaknya keluar. Mahukan peluang yang didambakannya selama ini. Sememangnya Edi tidak mahu mengalah dan dia juga tidak suka pada kekalahan.

(Kalau macam tu. Kita jumpa di D’Village View Bangi. Jumaat ni. 9.00 malam.)

Auji sedar yang dia harus membuat keputusan. Mengejar Amir yang semakin hampir menjadi milik orang. Jatuh ke tangannya belum pasti.

“Tak salah kalau mencuba dari mula.” Auji membisik nipis.

(Ok. Deal. I pick you up ok?)

Cepat sahaja kali ini kekunci telefon bimbit itu ditekannya.

(No need. Aku pergi sendiri.)

(Ok.)

Dia tidak membalasnya kali ini. Dibiarkan sahaja pesanan ringkas itu mati disitu sahaja. Matanya melilau memandang Selat Melaka di kala petang. Cantik biasan cahaya sesudah Asar yang memanah Air laut. Bersinar-sinar cahayanya. Matanya sedikit kesilauan. Diambil kaca mata hitam dari beg tangannya.

“Auji!” Tiba-tiba ada suara menyapa dari arah tempat letak kereta yang tidak jauh dari tempat dia duduk.

“Eh, Hana.” Auji mengulit senyuman.

Hana datang dekat-dekat. Ringkas dia mengenakan sepasang baju kurung kedah berwarna pink. Nampak ayu sekali.

“Lama tak jumpa kau?”

Lantas Auji berdiri dan mendakap sahabat lamanya itu. Hana sudah jauh berubah. Dia tidak seperti dulu, ranggi dan seksi. Perkara lama banyak merubahkan dirinya.

“Apa khabar sekarang?”

“Aku sihat saja. Kau apa cerita sekarang?”

Hana tersenyum girang walaupun dari anak matanya membenam seribu kedukaan yang dilaluinya selama ini.

“Aku macam ni lah. Buat master tak habis lagi. Sekarang tengah cuti sem. Eh kau pula?”

“Aku kerja kilang sekarang.”

“Eh, Jomlah kita jalan ke bawah pokok rhu tu. Ada kayu, boleh kita duduk dan borak panjang.”

Auji dan Hana berjalan beriringan. Sekali sekala Auji tersenyum manis, Hana sekadar menuruti.

“Tak nampak pun kau tadi kat rumah Anis.”

“Aku datang pagi lah. Petang tadi aku pergi rumah member kilang aku. Dia pun kahwin juga.”

“Owh.”

Panjang muncung Auji seperti disengajakan. Auji melabuhkan punggungnya di atas kayu yang terbaring entah berapa lama. Hana mengambil tempat di sebelah Auji.

“Auji, kau masih ada perasaan pada Wan?”

“Isk Hana, Kau ni. Kenapa kau tanya soalan macam tu?”

Auji mengerutkan dahinya. Entah apa yang bermain di benak fikiran Hana sehingga soalan sebegitu terpacul dari bibirnya yang mungil itu.

“Wan masih sayangkan kau.”

“Dah lah Hana, benda dah lama. Aku dah tak nak ingat.”

“Tapi rumahtangga kami dah tak boleh diselamatkan lagi Auji.”

Auji mendakap erat Hana. Ditenangkan duka yang terpendam jauh diperosok hati Hana. Terasa basah bahu Auji dek airmata yang mula membasahi. Auji sekadar tenang walaupun dalam hatinya bergelodak mahu membantu.

“Masih ada ruang dan peluang. Allah sentiasa memberi kita peluang memperbaiki diri kita. Memaafkan diri kita. Takkanlah kita tak boleh memaafkan dan memberi peluang sesama manusia. InsyaAllah, kau diuji sebab Dia sayangkan kau Hana. Bukan semua manusia diuji benda yang sama.”

Esak Hana mula surut. Dilepaskan dakapan itu perlahan-lahan. Airmata yang masih bergenang diseka perlahan.

“Dah dah, jangan sedih. Beri masa. Doa banyak-banyak. InsyaAllah, dia akan kembali pada kau.”

Auji mengambil tisu dari beg tangannya dan memberikannya kepada Hana.

“Auji, tolong aku kejap. Ambilkan kasut putih aku kat kereta.”

“Okay, tunggu kejap.”

Anis yang sedang sibuk memotretkan kenangannya meminta tolong. Auji sekadar menyahut sahaja. Menjadi orang penting untuk hari bersejarah sahabatnya.

“Eh, tu macam Amir.”

“Apa dia Auji.” Hana tanpa Auji sedari membontotinya dari belakang.

“Tak tak, kau tunggu kat sini kejap.”

“Auji, kasut!”

“Kejap, aku datang.”

Auji cuba mengejar kereta itu. Hatinya kuat mengatakan itu adalah Amir. Entah kenapa dia begitu yakin. Cepat-cepat dia melangkah. Malangnya kereta itu bergerak pantas sebelum sempat dia tiba.

“Alamak, terlepas pula.”

Auji berpatah-balik mendapatkan Hana. Misinya gagal, mahu menemui seorang lelaki yang persis seperti Amir bersama dengan seorang wanita. Yang pasti, wanita itu bukan Ainal.

“Auji, maaflah kalau aku dah susahkan kau.”

“Dah dah, jomlah kita tengok si Anis dengan Azim.”

Hana hanya tersenyum melihat gelagat Auji. Ditangan kiri Auji, dipegang erat sepasang kasut putih. Hana menuruti dari belakang.

“Hana.” Satu suara tiba-tiba menegur mereka berdua dari arah belakang.

“Eh, Wan.” Serentak Suara Auji dan Hana.

“Oh, Aku minta diri dulu ya.” Cepat-cepat Auji memohon diri. Dia teringatkan kasut putih yang diminta Anis sejak dari tadi.

“Hana, aku tunggu kat sana.” Auji mengatur langkah pantas. Kejap sahaja dia sudah menjauhi Wan dan Hana.

Suasana senyap seketika. Wan menghela nafas seolah-olah cuba membuang egonya jauh-jauh. Hana sekadar menunduk.

“Hana, kita mulakan hidup baru, awak sudi?”

Wan tersenyum memandang Hana yang sedang memandang wajahnya.

1 comment:

Anonymous said...

best citer ni tp lmbt la nk tnggu n3 baru...huhuhu