Monday, November 22, 2010

Loro: Chendana Episod Terakhir Versi 2



Tajuk : Chendana
Penulis : Faizal Sulaiman
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Chendana mempunyai dua versi Terakhir. Versi pertama boleh di layari di sini Chendana Episod Terakhir Versi Satu (Klik)

Chendana (Episod Terakhir)

Ratna Ayu mengehela nafas garangnya. Buas.
Terpalit sedikit rasa berang yang menggunung.

Dia bertindak lekas. Mencapai satu kotak kayu yang nampak usang lagi lusuh dengan warna permukaannya yang sudah nampak luntur.

Dia membuka penutup kotak kayu itu, mendedahkan sebilah kerambit pusaka berbalut kain kuning lalu menyelak balutanya gelojoh.

Aku harap kerambit pusaka ini akan dapat menghapuskan engkau, Hajar dan merampas Chendana dari kau!

Dia masih ingat saat dia merasuki tubuh Katrina. Saat matanya dapat melihat wajah takut bercampur rasa bersalah Hajar apabila mengambil Chendana Sari dari pemilik asalnya yang sah.

Dimana Hajar sendiri mengaku bahawa dia memang menginginkan untuk memiliki jin saka keluarganya itu.

Kau ikut dua beradik itu! Pergi ke Bukit Berapit. Di situ ada satu menara. Dan disitu jugalah kau akan dapat membunuh Hajar juga kakaknya, Samira!

Kedengaran suara misteri seorang wanita, berdengung dari arah ruang tamunya. Ratna Ayu diam, sedikitpun tidak terkejut. Segaris senyuman terukir di bibir.

“Saya akan akur perintah itu”

Ratna Ayu berkata selafaz. Rongga nafas dihela perlahan. Suara misteri itu kedengaran lagi.

Bagus. Lakukanlah demi Mbah. Lakukanlah demi keluarga kita! Demi keturunan kita!

Ratna Ayu mengangguk. “Baiklah Mbah!”, putusnya akur.

Kerambit yang sudah relai dari bungkusannya, dipandang dengan penuh semangat.

**

Kawasan Bukit Berapit nampak lengang. Ditengah-tengahnya kelihatan sebuah menara kayu, setinggi tujuh kaki, berdiri menjulang langit dengan penuh megah. Beberapa ketika kemudian terlihat sebuah Vios hitam berkilat meluncur masuk ke kawasan bukit lengang itu dengan sangat pantas.

Asyraf turun dahulu sebelum disertai Jamil, Samira dan adik perempuannya Hajar.

“Kenapa kita ke sini?”, kedengaran suara Samira memecah keheningan malam. Bayu dingin yang bertiup menampar lembut pipi gadis itu sebelum memandangnya tertanya-tanya ke arah kekasihnya.

Asyarf memandangnya jengkel.

“Takkan nak tanam dekat belakang rumah awak pulak? Nanti apa-apa, polis akan tangkap awak!”,marah lelaki itu sambil mengerling tajam wajah kekasihnya yang nampak kebodohan. Samira menerima kenyataan itu dengan pahit.

Asyraf tidak berlengah lalu membuka bumper belakang Viosnya, lalu mendedahkan satu bungkusan hitam, sudah basah berlekit dengan darah merah pekat selain bau hamis yang menyesakkan hidung.

“Kita selesaikan disini”

Samira yang berdiri disebelah Asyraf kelihatan sedikit bingung sebelum kepalanya dihentak dengan suatu benda keras. Suasana gelap sebelum kedengaran suara Jamil meneriakkan namanya dari kejauhan…

**

Samira tersedar apabila merasakan angin nan dingin mula menampar nampar pipinya. Matanya yang kuyu dibuka perlahan-lahan memandang alam kelam kejauhan, selaut pemandangan. Kiri dan kanan tangannya diikat pada dua belah kayu jati sebelum tubuhnya tergantung tujuh kaki dari tanah.

Dibawahnya terlihat satu bulatan besar yang dikepung dengan unggun api yang marak membakar kayu-kayu kering.

Menara tujuh tingkat itu sedang menampung tubuh kecilnya, sebelum matanya dapat melihat setiap baris tingkat berkayu itu sedikit teroleng-oleng ditiup angin kencang.

Seketika, tali yang kuat mengikat kedua tangannya seakan ditolak ke bawah. Saat ini, dia dapat merasakan tubuhnya bakal terhumban dan terbakar ke dalam unggun api yang marak.

Samira jatuh berdebuk, sebelum dahinya terhentak di atas tanah yang merekah. Darah merah pekat mengalir perlahan pada dahinya yang terluka. Matanya sedikit berpinar sebelum terpandangkan jasad lelaki dan wanita---sedang berpelukan mesra--- sanbil memandangnya dengan renungan hina.

Buat seketika Samira mendadak terkejut.

Asyraf, kekasihnya sedang berpelukan dengan adik perempuannya sendiri, Hajar. Lebih mengejutkan, di sebelah mereka, kelihatan sebuah patung kayu, dengan ukiran seorang perempuan berkebaya merah turut berkelip-kelip mata memandangnya.

“Kakak terkejut?”, bingkis Hajar sambil menguntum senyum. Asyraf membelai rambut gadis itu yang terbuai-buai ditiup bayu malam. Samira tidak mampu berkata apa-apa. Di kirinya pula, di seberang bulatan unggun api yang mengelilingi gadis itu, kelihatan jasad Jamil, tidak sedarkan diri dan diikat dikedua belah tangannya.

“Kau tak perlu meminta bantuan dari kekasih kau tu, Samira. Aku yakin, dia akan mati!”, sampuk Asyraf menyeringai. Samira menghembus nafasnya, seperti marah malah dia cuba merenggut ikatan yang membelenggu kedua belah tangan kanan dan kirinya.

Cubaan itu hanya mengundang tawa jahat adik perempuannya sendiri.

“Kakak tak perlu nak susahkan diri. Ikatan tu takkan mampu melepaskan kakak, selepas kakak memindah milik hak kakak kepada saya!”
Samira mencebik meluat.
“Hak apa? Kenapa kau sanggup buat kakak kau macam ni, hah? Kenapa kau sanggup rampas kekasih kakak sendiri?”

Hajar tertawa mengilai. Sesekali patung yang sama tinggi nya dengan lutut Hajar itu tersenyum gembira, seakan-akan meniru gerak geri tuannya.

“Kau kesayangan emak! Kau anak emas. Kau disekolahkan di sekolah elit. Tapi aku? Sekolah kampung. Emak memang tak layan aku dengan baik! Jadi satu hari si Chendana Sari datang kepada aku, dan mengatakan dia boleh menunaikan segala kemahuan aku, asal aku menjual jiwaku padanya!”

Samira tergamam.
Kemahuan? Menjual Jiwa?
“Kau membela syaitan? Kau menyekutukan Allah?”

Hajar tertawa lagi. Kali ini tambah menyeramkan.

“Keluarga kita menyimpan satu pusaka yang kau sendiri tak tahu, kak! Chendana Sari namanya dan dia sudah menjaga kita beratus-ratus tahun lamanya!”

Penjelasan itu menerangkan Samira yang nampak kebuntuan, sebelum memandang jijik pada patung berkebaya merah itu. Dan buat seketika, segala-galanya terjawab, lalu mengingatkannya kepada bayangan menakutkan wanita tanpa kepala yang sering menghantui dirinya beberapa bulan yang lepas.

“Jadi…kaulah punca kematian emak?”
Hajar mengangguk tidak bersalah. Air mukanya selamba. Dia menyambung tanpa sedikitpun rasa beremosi.
“Aku perlu korban nyawa jika inginkan Chendana Sari. Lalu aku menyuruh dia merasuk emak dan memerintahkan dia supaya membuat kematian emak seperti membunuh diri!”, jelasnya kosong sebelum memandang patung yang terangguk angguk disebelahnya itu dengan penuh rasa kasih sayang.

Hajar memandang kakaknya semula dengan renungan tajam.

“Aku akan pastikan Chendana Sari akan menjadi milikku!”

Kedengaran satu suara halus, keluar dari mulut Hajar. Satu suara seperti dendangan lagu jawa kuno…


Wahai surya, candra lan bayu, bhumi, tirta kalawan agni..,
nguribi jagad tan leren
tutu bundo..tutu rupo
marilah kemari..aku puja diammu

Angin sekonyong-konyong datang menerpa, menampar segala sosok yang datang menghalang. Dalam kabut itu, Samira dapat melihat patung bernama Chendana Sari mula bergerak-gerak, lalu semcam ada satu kuasa lokomotif yang menggerakkan tubuh si patung, Chendana Sari mula melangkah ke hadapan menuju ke arah bulatan unggun api!

Bunuh dia! Aku mahu dia mati!

Bisikan Hajar kedengran keras. Chendana Sari mengangguk, sebelum mengeluarkan satu keris yang luar biasa panjangnya, yang sudah tersisip kemas di celah pinggang. Dia mulakan langkah sehingga dengan selambanya melangkah masuk ke dalam bulatan api yang mengurungi Samira.

Aku akur dengan perintah Tuan aku. Walaupun pada mulanya aku ingin memilih engkau, tapi perintah tetap perintah!

Chendana Sari sudah bersiap sedia mahu menghunuskan keris pada ibu jari Samira. Namun, entah mengapa dari pandangan mata kasar Samira, dia dapat melihat satu cahaya hijau ditembakkan ke arah patung durjana itu sebelum Chendana Sari terperosok sedikit, hampir terkena unggun api yang marak membakar kayu.

“Aku belum mahu kau mati, Chendana!”, bisik Ratna Ayu, muncul entah dari mana, yang tersenyum sinis sebelum meletakkan kerambitnya ke sisi. Dia berkata lagi setelah memandang wajah Hajar dan Aysraf yang mula memucat.

“Aku akan pastikan Chendana menjadi milikku, dan kalian semua akan mati!”

Ratna Ayu sudah bersedia. Bunga silatnya sudah dikeluarkan .

Samira memejamkan mata. Andai itu takdir kematiannya, dia terima!

Awak masih belum mati lagi!

Kedengaran bisikan lembut, melayah di celah telinga nya. Matanya dibuka luas sebelum kedengaran bacaan Ayat Qursi beralun lembut dari dua ulas bibir sepupunya, Jamil!

Ratna Ayu melangking kuat apabila kelihatan satu jaluran perak terbentuk di awan, sebelum memancarkan kalimah La Ila Ha Illa Allah menerangi kawasan gelap gelita itu. Nyata, Ratna Ayu tidak berputus asa. Dia menyudahkan lagi baki bunga-bunga silatnya. Pancaran hijau yang terpancar dari kerambit pusaka miliknya, mula bertindak balas dengan kalimah suci itu.

Tetapi, siapalah yang mampu melawan kuasa Ilahi?

Cahaya perak itu semakin lama semakin bersinar terang, sebelum memanah tepat ke arah jantung perempuan itu seperti panahan kilat yang nampak menggerunkan.

Jasad Ratna Ayu rebah, wajahnya hitam legam, terbakar!

Hajar tidak tunggu lama. Chendana Sari harus diselamatkan. Dia memberanikan diri untuk melangkah masuk ke dalam bulatan api yang mengelilingi kakaknya. Namun, tindakannya itu dapat dihidu Asyraf.

“Kau takkan terlepas, Hajar. Chendana adalah kepunyaanku!”, jerkah Asyraf sebelum menolak tubuh Hajar lalu menyebabkan gadis malang itu tercampak ke dalam api yang marak!

Samira terpekik lantang. Apatah lagi melihat tubuh adiknya menggelupur dengan api menyelimuti hampir keseluruhan tubuhnya!

CELAKA KAU, ASYRAF!!!!

Asyraf tersenyum jahat sambil memandang Samira dengan tidak berperasaan.

“Chendana akan menjadi kepunyaanku! Matilah engkau dengan adik kau tu!”, pekiknya sebelum menjeling ke arah Jamil yang sudah jatuh terduduk menahan bahang api yang melingkari sepupunya yang sedang diikat tangan kanan dan kirinya.

Kau cakap apa?

Terdengar satu bisikan halus di celah tengkuk Asyraf sebelum lelaki itu dapat merasakan satu jisim berat yang memeluk tubuhnya dari belakang. Tampak satu lembaga misteri yang akhirnya mendedahkan tubuh seorang wanita, berambut panjang-kusut masai mencecah tanah. Jari jemari lentiknya melingkari sekitar leher Asyraf.

Chendana takkan menurut perintah sesiapa melainkan tuan Chendana sendiri!

Belum sempat Asyraf menyambung kata, lembaga itu memutarkan kepala Asyraf hingga bercerai dari badan.

Jasad lelaki itu jatuh berdebuk, menggelepar kesakitan dengan darah merah terpancut pancut membasahi tanah yang kering.

Asyraf mati dengan keadaan yang sangat mengerikan!

Lembaga itu memerhatikan Samira, sebelum mengubah wajahnya yang hodoh menjadi seorang wanita yang sangat cantik. Kebaya merah yang dipakainya juga nampak sangat menawan.

Aku tahu engkau tidak mahu menjadi mangsa keadaan..Tapi aku harus terus hidup! Aku perlukan seorang Tuan, Samira.

Samira menggeleng. Kedengaran suara Jamil tersekat-sekat memecah keheningan malam yang hampir ke pagi.

“Jangan Mira. Jangan kau terpedaya dengan pujukan Syaitan!”

Chendana Sari mengeluh berat sebelum berpaling menghadap Jamil. Seketika, lembaga tidak berjisim itu memandang Jamil dengan penuh rasa cinta dan kasih. Dia lekas menuju ke arah Jamil sebelum duduk bersimpuh di hadapan lelaki itu dengan penuh hormat.

“Abang Demak?!”
“Demak???”
“Ya! Abang kan Abang Demak. Kekasih Sari! Abang terpaksa lari malam itu kerana tahu Sari akan diserahkan pada Mbah. Sari langsung tak salahkan abang!”
“Apa awak cakap ni?”

Chendana Sari tersenyum sumbing. Jika benar ini Demak…

Samira, saya ada satu permintaan dan harapnya awak boleh tunaikannya.

Samira yang masih terbelenggu dengan ikatan masih cuba melepaskannya sambil menahan bahang api yang semakin panas.

“Lepaskan saya dahulu, selamatkan saya, jika awak inginkan sesuatu, saya akan tunaikan!”

Chendana Sari mengangguk. Baiklah!
Dia menghembus satu tiupan lembut seperti semilir angin yang sepoi berhembus lemah.

Api yang melingkari bulatan terus padam.
Ikatan yang membelenggu lekas terputus dari tempat gantungnya.

Chendana Sari tidak peduli untuk mendengar penjelasan Samira. Apa yang penting adalah permintaannya, kini.

Boleh kah benarkan Abang Jamil kamu mengikut saya pulang? Saya bersumpah demi nama Allah, saya takkan mengganggu gugat hidup awak lagi!

Baik Jamil mahupun Samira, masing-masing mendadak terkejut.

“Apa?”

Chendana Sari tersenyum nipis.

Abang Jamil mengingatkan saya kepada Abang Demak, kekasih lama saya. Berilah saya peluang untuk tinggal dengan aman. Saya minta jasa baik kamu, Samira!

Chendana Sari kelihatan murung. Wajahnya lekas memandang Jamil yang serba salah menerima pelawaan nya itu.

Jamil cuba berdiri. Memandang Samira dari arah kejauhan dengan renungan penuh rasa kemaafan.

Chendana bersuara lagi.

Demi Allah, Tuhan Semesta Alam dan Nabi Muhammad itu PesuruhNya, saya takkan ganggu lagi hidup kamu. Saya berjanji!

Jamil menghembuskan nafasnya perlahan-lahan.

“Demi kebaikan kamu, keselamatan kamu, abang akan lakukannya”
Jamil nekad. Samira serba salah.
“Tapi bang!”
Jamil mengeluh lagi.
“Jika ini jalan terbaiknya. Allah tentu akan tunjukkan”

Chendana Sari tunduk, lantas mengucap dua kalimah syahadah dengan tertib. Dia bingkas bangun, lalu menghulurkan satu kain putih lalu dicapai oleh Jamil.

Chendana memandang Samira dengan penuh rasa berterima kasih.

Semoga hidup awak dilimpahi nikmat dan kurnia Nya. Tentang mayat Katrina kamu usahlah risau. Esok akan diberitahu bahawa kematiannya hanya berpunca pada kesilapannya sendiri!

Selamat tinggal, Samira!

Samira tergamam. Bayangan Chendana Sari dan Jamil lesap sebelum terdengar azan subuh bergema disekitar bukit lengang itu.

Semuanya sudah berakhir…

TAMAT

Terima kasih kerana membaca Jilbab dan terima kasih kerana menyokong projek Loro

2 comments:

tengkorakemas said...

Chendana peluk Islam..tapi Jamil pergi pula..

Nazz@Purple said...

la tinggal samira sorang2..semua dah xde..erm apa2 pun..cerita yang menarik =)