Sunday, October 31, 2010

Loro: Jilbab Episod 20



Tajuk : Jilbab
Penulis : El-Zaffril
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8.08 malam. Chendana Episod 20 akan disiar pada 2 November 2010.

Jilbab (Episod 20)

“Kita nak ke mana ni Uth?”

Bermacam-macam persoalan bermain di fikiran Nur. Entah ke mana-mana Uthman membawanya pergi. Soalan tadi sudah banyak kali diajukan kepada Uthman. Namun, Uthman hanya kaku memandu. Tidak sedikit pun dia memandang ke arah Nur.

Sampai sahaja di Hospital tadi, Nur menemui Seri. Kemudian Seri menghilang dan kemudian lenyap dari pandangan. Sesudah itu muncul Uthman di muka hospital. Tangannya dicengkam dan dia dibawa ke parkir kereta. Soalan yang sama diajukan. Uthman hanya berdiam melangkah masuk ke dalam kereta.

Enjin kereta dihidupkan, Nur cepat-cepat masuk ke dalam kereta. Menderu enjin kereta Uthman di dalam parkir, pedal minyak ditekan habis. Keluar dari parkir, kereta itu meluncur laju. Membelah lebuhraya, mujur tidak banyak kenderaan yang sedang dalam perjalanan.

Nur terpinga-pinga di dalam kereta. Sekali-sekala dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Berkerut-kerut dahinya mahu memahami Uthman yang sedang menggila membawa kereta.

Dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara Selatan dan keluar di persimpangan keluar Simpang Ampat, Alor Gajah. Kemudiannya kereta Uthman menyelusuri Lebuh AMJ.

‘Paya Rumput?’ Desis hati Nur penuh dengan tanda tanya.

Satu jam setengah menyelusuri perjalanan yang penuh tanda tanya, kereta Uthman berhenti betul-betul di hadapan sebuah rumah atas yang berdindingkan dan berlantaikan kayu. Masih kukuh berdiri rumah yang dicat dengan warna hijau muda dengan warnanya yang mula pudar.

Uthman menguak pintu keretanya dan terus berdiri memandang tepat ke arah pintu rumah yang tertutup rapat. Diikuti Nur keluar dari perut kereta dalam keadaan terpinga-pinga.

“Rumah siapa ni Uth?”

Uthman mengukir senyuman tatkala memandang wajah Nur. Pintu keretanya ditutup.

“Ini rumah bapa Uth.”

“Tak pernah cerita pada Nur yang bapa Uth masih hidup.”

“Dia hidup untuk menghidupkan yang lain.”

Uthman tersenyum lagi. Dia senang begitu, membiarkan Nur terus berteka-teki dengan apa yang berlaku disekelilingnya. Uthman membuka langkah menuju ke tangga rumah itu.

“Nur tak faham.” Nur menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Nur tunggu di sini saja dan Nur tak perlu faham.”

Nur berdiri seperti tunggul di ruang tamu halaman rumah tua itu. Dia hanya mampu memandang Uthman melangkah masuk ke rumahnya.

‘Buat apa saja Uth, asalkan semua adalah yang terbaik untuk kita semua.’ Nur memeluk tubuhnya. Matanya melilau memerhatikan sekeliling.

Uthman melangkah perlahan-lahan masuk ke rumah bapanya. Siling rumah itu penuh dengan sawang labah-labah.

“Kau balik juga Man.”

“Iya Abah. Man balik ni.”

Uthman mengukir senyuman sinis, lalu dia berjalan menuju ke arah suara yang memanggilnya. Suara itu datang dari arah bilik bapanya. Langkahnya dibuka cepat-cepat menuju ke bilik itu.

Melangkah masuk ke dalam bilik itu, Seri sedang sedia menanti di birai katil bapanya. Mereka sedang menanti kepulangan waris utamanya itu. Seri mengukir senyuman sehingga menampakkan gigi taringnya, memang dia sudah tahu satu hari nanti Uthman akan pulang juga ke rumah itu.

“Tapi Man pulang bukan untuk terus pulang ke pangkuan Abah.”

“Habis tu Man?”

“Man nak minta sesuatu dari Abah.”

“Apa dia Man?”

Tersedu-sedu suara yang keluar dari bibir bapa Uthman. Entah apa yang diinginkan oleh anaknya itu.

Uthman menghampiri tingkap bilik bapanya. Pandangannya dilepaskan keluar, senyuman plastik di depan bapanya tadi dileraikan dan digantikan dengan sebuah keluhan panjang. Tidak sedikit pun dia memandang wajah bapanya.

Soalan terakhir bapanya belum lagi dijawab. Perasaan gentar tiba-tiba sahaja muncul dan menebak hatinya bertubi-tubi. Lama dia menanti untuk menjawab soalan itu. Tiba-tiba hatinya merasa kurang yakin dengan tindakannya.

“Nyawa Abah.”

No comments: