Wednesday, October 31, 2012

Cerpen: Seri Tertangguh

 Hisyam tergopoh-gopoh keluar dari pintu kereta yang diletakkan di depan pagar rumahnya. Pintu pagar otomatik segera terbuka. Belum pun terkuak penuh, dia terus mencelah masuk. Langkahnya dibuka cepat-cepat. Kasut kulit berwarna hitamnya dibuka dan dicampak entah ke mana.

Pintu rumah kini menjadi mangsa. Dikuaknya pintu rumah sekuat hati sehingga menghentak dinding. Tali lehernya di buka dan dicampak saja ke lantai.

 “Seri!”

Hisyam menjerit dari ruang tamu rumah dua tingkat. Nama anak sulungnya diseru. Muka Hisyam merah padam, panas menahan marah yang membara. Tangan kanannya menggigil-gigil menggenggam erat beri hitamnya.

“Seri!” Jerit Hisyam sekali lagi.

“Iya Ayah.” Kedengaran gema suara seri dari tingkat satu rumahnya.

“Turun cepat!”

Kedengaran derap langkah anak perempuannya berusia lapan belas tahun menuruni anak tangga.

“Kenapa Ayah?” Soal Seri sambil berdiri di anak tangga yang paling bawah. Ada riak resah terpamer di wajah Seri.

“Ke sini kau!” Perintah Hisyam dengan keras.

Perlahan-lahan Seri melangkah menghampiri ayahnya. Muka bengis ayahnya membuat dia resah seribu bahasa.

“Apa kau dah buat?”

“Seri dah buat apa? Seri tak paham Ayah.” Seri mengangkat keningnya.

“Aku tanya, apa kau dah buat?” Hisyam mengulang soalannya.

Seraya itu, tangan kiri Hisyam menjambak rambut Seri. Marahnya tidak terbeban lagi.

“Aku tanya jawablah! Apa kau dah buat!” Jeritan Hisyam bergema seluruh isi rumah.

“Seri buat apa ayah?” Sendu tangis mula kedengaran dari suara Seri. Airmatanya mula menitik.

Jambak rambut tangan kiri dihempaskan. Seri terjelepok ke lantai.

“Nah tengok ni.”

Hisyam menyerahkan beri hitamnya kepada Seri. Dia terus bercekak pinggang.

Airmata Seri gugur tatkala melihat beri hitam milik Hisyam. Dialihkan pandangan kepada ayahnya, memohon belas dari ayahnya.

###

Perjalanan dari The Curve menuju ke Syeksen 4, Kota Damansara terasa sunyi sekali. Jam baru menunjukkan ke pukul tiga petang.

“Seri.” Taufiq memecah kebisuan bicara.

“Ya Fiq.” Balas Seri dengan nada yang lembut.

“Kita kahwin jom.” Taufiq mengukir senyuman.

“Mengarutlah Fiq ni.” Seri tertawa lantas menekup mulutnya dengan tangan kanan.

“Mana ada mengarut. Fiq dah habis ijazah, dah mula bekerja. Umur Fiq dah dua puluh empat tahun. Mengikut undang-undang, Seri bukan lagi di bawah umur. Dah cukup lapan belas tahun dah. Jadi apa salahnya kalau kita kahwin dan bina keluarga sementara usia Fiq masih muda. Fiq boleh nak tanggung Seri dan anak-anak.” Taufiq mengukir senyuman lagi seraya memandang ke arah Seri.

“Seri baru lapan belas tahunlah Fiq. Seri baru habis SPM. Lepas ni, nak sambung belajar. Nak juga ada Ijazah macam Fiq. Nak juga bantu keluarga Seri. Nak juga bantu Fiq bina keluarga kita.” Seri senyum. Pandangannya dialihkan keluar tingkap kereta yang sedang dipacu menuju ke taman perumahannya.

Taufiq adalah jejaka yang berjaya menambat hatinya dua tahun lalu. Rumah keluarga Taufiq dan keluarga Seri tidak jauh. Pertemuan pertama mereka adalah ketika Seri baru sahaja berpindah ke kawasan perumahan itu. Kemudian Taufiq menyapa Seri ketika Seri membaca novel di taman permainan berhampiran rumahnya. Perkenalan di taman permainan itu membibitkan cinta antara mereka berdua.

Menurut Taufiq, dia jatuh cinta pandang pertama terhadap Seri. Rambut lurus, anak matanya coklat bundar, kulitnya putih cerah membuatkan hati Taufiq tertaut. Seri pula tertaut dengan keikhlasan Taufiq. Wajah Taufiq sekali pandang seperti Eizlan Yusof. Bezanya Taufiq kurus sedikit dan tiada tahi lalat di atas bibir kiri.

“Jom ikut Fiq balik rumah.” Suara Taufiq memecah lamunan Seri.

“Nak buat apa?” Seri mengerutkan dahinya.

“Nak bagitahu pada mama yang Fiq nak kahwin. Nak suruh mama dengan papa jumpa keluarga Seri. Pinangkan Seri untuk Fiq.” Serius nada suara Taufiq.

“Fiq...” Seri kehilangan kata-kata.

“Apa salahnya. Fiq tak mahu kehilangan Seri. Fiq sangat-sangat sayangkan Seri.”

Seri diam. Kata-kata yang mahu diluahkannya terkemam di bibir. Perasaannya bercampur baur. Hatinya tak mampu meluahkan apa-apa lagi. Tangannya menggeletar, berdebar-debar mahu berjumpa dengan mama Taufiq. Bukan dia tak pernah berjumpa wanita itu. Cuma kali ini situasinya amat berbeza.

“Kita dah sampai. Jom masuk.”

Kaki Seri terasa berat mahu melangkah masuk ke dalam rumah Taufiq. Saat duduk di kerusi tamu rumah pun terasa tajam kusyennya.

“Seri tunggu sekejap. Fiq pergi cari Mama.”

Seri senyum sedikit, antara ikhlas dan tidak.

“Mama! Oh Mama!” Laung Taufiq seraya terus ke dapur.

Seri menunduk. Jari-jemarinya asyik menguis-nguis.

“Seri, minumlah dulu. Hilangkan debar tu. Mama tak ada kat dapur. Fiq cari kat atas. Mungkin dia ada di atas.” Taufiq menghidangkan segelas air oren untuknya lantas meninggalkannya menuju ke ruang atas rumahnya.

Seri mengambil minuman itu dan menghirupnya perlahan-lahan. Menanti Taufiq kembali ke ruang tamu terasa begitu lambat sekali.

‘Aku ni berdebar sangatkah.’ Bisik Seri dalam hati.

Tangannnya terasa sejuk. Degup jantungnya semakin kencang. Muak mulutnya seperti mahu muntah. Pandangannya kabur. ‘Berdebar sangat ni.’

###

Seri mengurut kepalanya yang terasa pening.

“Ya Allah, apa dah jadi ni?” Seri terkejut dengan dirinya yang hanya dibaluti selimut sahaja.

“Maafkan Fiq. Fiq tak mahu kehilangan Seri. Fiq sayangkan Seri sepenuh hati.” Taufiq yang duduk di sisi Seri memegang bahunya.

Seri menolak kasar tangan Taufiq. Kecewa dengan kelakuan Taufiq.

“Kenapa Fiq buat Seri macam ni?”

“Sebab Fiq sayangkan Seri sangat-sangat. Fiq tak mahu Seri tinggalkan Fiq dan pergi ke orang lain. Kita kahwin dan bina hidup baru. Fiq cintakan Seri. Fiq berjanji yang Fiq akan jadi suami yang baik.” Pujuk Taufiq.

“Binatang! Fiq ingat dengan berbuat begini akan selesaikan semua benda. Fiq, Seri cintakan Fiq. Tapi Fiq hanya manusia yang mementingkan nafsu dari kesucian sebuah perhubungan. Seri tak mahu hidup dengan seorang lelaki yang meletakkan nafsunya di tempat paling atas dan maruahnya di tempat paling bawah. Fiq ingat, Fiq akan terima akibatnya.” Seri berang.

“Baik. Kalau itu yang Seri mahukan. Fiq tak boleh kata apa-apa.” Taufiq yang hanya bertuala kemudiannya berdiri mengambil telefon bimbitnya. “Dalam ni ada lebih sepuluh keping gambar bogel Seri. Itu tidak termasuk dengan video kita bersama. Jadi Seri boleh pilih, mahu kahwin dengan Fiq atau mahu maruah Seri tercalar. Wajah Fiq tak ada langsung dalam ni.”

“Tak guna!”

Taufiq tersenyum puas.

“Mulai hari ini. Jangan ganggu hidup Seri lagi dan Seri tak akan ganggu hidup Fiq lagi. Hubungan kita terhenti di sini. Jangan buat sesuatu yang bodoh. Fiq akan terima akibatnya.” Seri memberi amaran seraya bangun dan mengutip pakaiannya.

“Fiq hantar Seri balik ya sayang.” Taufiq menawarkan diri.

“Tak perlulah Syaitan. Aku boleh balik sendiri. Rumah aku tak jauh pun dari sini.”

“Jangan buat tindakan bodoh ya sayang.”

###

“Maafkan Seri ayah. Seri tak sangka boleh jadi macam ni.”

“Seri, agama kau apa? Kau keturunan apa?”

Seri diam tertunduk duduk di atas lantai. Airmata kekesalannya mengalir deras. Mahkotanya dirampas. Maruahnya di calar.

“Seri, tak ada satu agama pun dalam dunia ni menghalalkan zina. Tak ada keturunan pun yang mahukan anak luar nikah. Ayah sendiri tak mahu anak Ayah jadi pelakon filem lucah.”

“Maafkan Seri ayah. Seri tak sangka Taufiq sanggup buat macam tu pada Seri.”

Seri mendakap kaki Hisyam. Dipeluknya erat-erat kaki lelaki itu.

“Kau tak perlu minta maaf pada aku. Aku cuma nak minta satu saja. Dosa yang kamu tanggung itu terbeban di bahu kamu sendiri. Aku tak nak di heret sama ke dalam neraka. Aku dah didik kau dari kecil sampai umur kau lapan belas tahun dengan penuh kasih sayang. Aku cukupkan sedaya kudrat aku. Aku bimbing kau ke jalan yang lurus. Tapi kalau jalan ini juga yang kau pilih, kau boleh hidup dengan dunia kau.” Hisyam diam membatu.

“Ayah, percayakan Seri. Seri di aniaya. Taufiq masukkan ubat khayal dalam air minuman Seri. Seri tak sedar apa-apa.”

“Dah tiga bulan berlalu baru kau nak cakap dengan aku. Baru sekarang kau nak beritahu yang kau dianiaya?”

Hisyam bingkas keluar meninggalkan Seri. Keretanya dihidupkan dan dia terus meninggalkan rumahnya.

“Assalamualaikum.”

Seri memandang ke muka pintu yang tidak di tutup sejak dari tadi.

“Aku lalu depan rumah kau tadi. Lepas tu ternampak kau terduduk sambil menangis. Sajalah aku singgah.”

“Taufiq!” Seri mengetap bibirnya.

“Untuk pengetahuan kau, aku tak pernah tepati janji aku. Perempuan-perempuan macam kau memang menyeronokkan. Bukan kau seorang saja yang aku dah rasa. Ramai lagi yang aku dah rasa. Kesemuanya mati bunuh diri selepas tu. Tinggal kau seorang saja yang masih bernafas. Adakah kau masih mahu hidup setelah melihat badan kau ditelanjangkan di internet? Bukan setakat ditelanjangkan, kenikmatan bersama dengan aku pun aku tayangkan pada umum.” Taufiq ketawa.

Seri bangun dan ke dapur mengambil sebilah pisau. Kemudian dia berdiri kembali di ruang tamu. Matanya dijengilkan memandang ke arah Taufiq. Pisau yang diambilnya tadi diletakkan dilehernya.

“Kau nak aku mati? Sekarang kau boleh tengok depan mata kau.” Seri mengetap bibirnya.

Taufiq melangkah masuk ke dalam ruang tamu sambil menepuk tangan atas keberanian Seri dan kemudian berdiri kira-kira sepuluh meter dari tempat seri berdiri. Dia memeluk tubuh menanti pisau itu memutuskan urat merih Seri.

“Aku tak pernah tengok wanita-wanita yang menyeronokkan ini membunuh diri. Jadi kali ini aku nak melihat sendiri kematian yang penuh kekecewaan. Silakan...”

“Kau memang lelaki kejam Taufiq.”

“Aku cuma berseronok sahaja Seri. Tak lebih dari itu.”

“ARGHHHH!!!” Seri menjerit lalu mendorong tubuhnya berlari ke arah Taufiq. Taufiq tidak dapat berbuat apa-apa, semua berlaku dengan pantas. Tusukan pisau ke perutnya memedihkan. Seri mengambil kesempatan merodok-rodok perut Taufiq. Darah memancut-mancut keluar.

“Seri...” Tersekat-sekat suara Taufiq yang menahan kesakitan mahu dicabut nyawanya menyebut nama Seri.

“Memang aku menyeronokkan Taufiq dan melihat engkau mati di hadapan aku membuatkan aku puas. Biarlah aku dipenjarakan, asalkan aku dapat menebus kehampaan hidup yang telah kau musnahkan.” Seri melangkah keluar dari rumah dengan tangan yang berlumuran darah.

‘Aku akan serah diri.’ Seri memejamkan matanya.

2 comments:

Anonymous said...

terbaik seri...aku sokong ko

>>k<<

Unknown said...

itu lah balasan manusia berhati binatang..tu baru hukum dunia...syabas seri...