Monday, September 17, 2012

Laila Namamu Teratas Episod 23

“Abang, kenapa tak mandi lagi ni? Dah pukul berapa dah ni?” Bebel Alisa yang baru saja selesai menyediakan sarapan pagi.

Zafuan masih lagi tidur tanpa memberi sebarang reaksi. Alisa menyangka Zafuan telah pun bersiap-siap sesudah Solat Subuh berjamaah tadi. Ini masih lagi melingkar di atas katil.

“Abang, tak sihat ke?”

Alisa duduk di sisi katil. Dahi suaminya itu dirasakan dengan tangan. Tidak bergitu panas, tidak juga begitu sejuk.

“Tak demam.”

Alisa menggetap bibirnya. Alisa menggerak-gerakkan badan Zafuan supaya suaminya itu bangkit dari tidur.

“Abang, tak pergi kerja ke? Ke nak Lisa bagi abang MC. Kalau nak Lisa boleh ambilkan?”

Zafuan menggosok-gosok matanya. Terasa berat benar dia mahu membuka matanya. Kemudian dia bangkit dan duduk bersila di atas katil. Ditenung anak mata isterinya.

“Abang tak pergi kerja?” Tanya Alisa perlahan-lahan. Bimbang suaminya naik angin pula nanti.

Zafuan tidak menjawab. Dia menunduk seraya menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Abang ada masalah ke?” Suara Alisa semakin perlahan.

“Abang kena buang kerja.” Perlahan-lahan Zafuan berterus-terang kepada isterinya.

“Kenapa?”

“Ada orang mencari abang guna telefon pejabat. Supervisor dapat kesan panggillan tu. Abang kan pernah diberi amaran sebab menerima panggillan peribadi. Kali ni memang tak dapat dimaafkan. Semalam abang balik awal sebab kena buang kerja Lisa.”

Alisa menunduk, disaat-saat begini suaminya pula dibuang kerja. Dia pula sedang mengandung tujuh bulan.

“Apa rancangan abang?”

“Abang nak cari kerja. Kalau tak silap esok ada walk-in interview di Mid Valley. Abang ingat nak cuba.” Zafuan mengukir senyuman yang penuh kekecewaan.

“Esok Lisa teman abang ya.”

Zafuan hanya tersenyum dengan kesabaran isterinya. Betapa isterinya sangat memahaminya sejak mereka berdua dinikahkan. Sesuatu yang langsung tidak pernah terduga langsung oleh Zafuan untuk berkahwin dengan seorang doktor.

Alisa mengambil tuala mandi dan terus masuk ke bilik air. Sempat dia mengerling ke arah suaminya dengan senyuman nakal sebelum dia menutup pintu bilik airnya.

‘Kenapa kau muncul kembali Laila.’ Bisik Zafuan dalam hati.

No comments: