Monday, August 30, 2010

Loro: Chendana Episod 6


Tajuk : Chendana
Penulis : Faizal Sulaiman
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8.08 malam. Jilbab Episod 7 akan disiar pada 1 September 2010.

Chendana (Episod 6)

Misteri kematian Ustazah Jamilah terus menjadi perbualan hangat di sekitar Pelita. Mengikut teori keluarga perempuan itu, Ustazah Jamilah meninggal kerana serangan jantung yang mendadak. Sejauh mana kebenarannya—Allahualam. Baik ditanya Hajar ataupun kakaknya, Samira, kedua beradik itu terus mengunci mulut bagai sudah bersepakat bahawa ibu mereka memang sah diserang penyakit berbahaya itu, walau semua orang tahu Ustazah Jamilah merupakan pengamal makanan yang baik.

Buat Samira dan adiknya Hajar, pemergian ibunya dalam keadaan yang sangat mengerikan itu menjadi tanda seolah-olah ‘bagai ada sesuatu rahsia’ yang telah tersimpan lama dalam rantaian keluarga mereka.

Majlis bacaan Yaasin dan tahlil ringkas berlalu dengan sangat tenang. Usai majlis ringkas itu, Mardiana—salah seorang rakan baik Hajar datang kepada Samira memberi kata-kata semangat.
“Sabar lah Mira. Ini dugaan Allah. Dia sayang hambaNya yang bersabar. Hari ini hari engkau. Mana tahu esok lusa hari aku pula”, jelas Mardiana sambil menepuk bonggol jemari gadis itu lembut sambil memerhati wajah sugulnya.

Samira tersenyum nipis, kemudian menghantar Mardiana selepas berpeluk mesra dengan adiknya Hajar sebelum memberi kata-kata semangat buat budak perempuan itu pula. Hajar, seperti kakaknya, mengangguk perlahan dan membiarkan kakaknya menghantar Mardiana ke muka pintu sementalah dia masih sibuk mengemas pinggan kotor untuk dicuci.

Di halaman rumah yang suram, terlihat Makcik Maimunah, Makcik Zaharah dan Makcik Zaleha sedang berbisik-bisik curiga sambil memandang keseluruhan terataknya dengan pandangan meluat. Niat Samira terpancing. Setelah Mardiana mengucapkan selamat tinggal dan menyusup di balik kegelapan malam, dia bersembunyi di sebalik dinding berkayunya sebelum terdengar ocehan tanpa henti Zaleha yang becok.
“Ini semua berkait rapat dengan ‘puaka’ keluaraga mereka!’
Kedengaran bunyi tepukan di bahu salah seorang dari mereka. Zaharah pula mencelah ingin tahu.
‘Puaka? Maksud kau, puaka enam ratus tahun yang dulu? Yang kau pernah ceritakan pada kami dulu?”
“Yalah! Kau ingat ustazah mati sebab apa lagi? Itulah aku dah cakap dengan ustazah! Tapi sikit pun dia tak dengar!”
Masih mendengar kata-kata becok Zaleha, jantung Samira berdegup kencang. Puaka apa yang disimpan keluarganya? Adakah mimpi-mimpi buruk yang selama ini menghantuinya itu ‘puaka’ yang dimaksudkan?

Tiba-tiba kedengaran suara nyaring Maimunah menyampuk.
“Jangan kau cakap keluarga Ustazah Jamilah ada ‘belaan’ pulak! Ustazah tu baik. Lagipun, dia mesti tahu hukum menyekutukan Allah ni!”. Zaleha kemudian membangkang kasar sebelum menyanggah kata-kata Maimunah.
“Munah! Ustazah Jamilah pun manusia juga. Engkau ingat mana lagi datangnya kekayaan keluarga perempuan ni kalau tak si ‘Chendana’ nya yang tolong? Cuba kau fikir. Takkan upah mengaji tu boleh buat dia kaya?”, sindir Zaleha membabi buta sehingga Samira yang mendengar sangat sakit hati. Ikutkan perasaan, mahu saja dia turun ke tanah seterusnya mengganyang mulut perempuan keparat itu!

Dasar mulut besar! Engkaulah puakanya kalau kau nak tahu! Tak guna. Emak baru mati dan kau ‘tiga sekawan’ sedap-sedap mengumpat arwah emak! Memang tak selamat lah hidup kau bertiga!

Hati kecilnya memberontak geram. Telinganya dipasang lagi. Kalau-kalau ada lagi umpat keji dari tiga perempuan tua itu.

“Sudahlah Munah. Aku nak balik. Lama-lama kat sini, kita pulak terjumpa puakannya!”, sindir Zaleha sinis sebelum menawarkan diri untuk pulang. Samira menghela nafas panjang. Mujur sudah selesai sesi umpat mengumpat, jadi tak perlulah dia memaki hamun dengan lebih lama! Hanya tambah beban dan derita saja!
“Kak”

Samira mendadak terkejut tatkala jari adiknya Hajar menyentuh bahunya perlahan. Gadis muda itu turut tersentak melihat perilaku kakaknya. Kelihatan Hajar tersenyum nipis.
“Abang Asyraf tidur dekat rumah Jamil. Tak apalah kita berdua saja”, tutur adiknya lembut sambil mempelawa kakaknya duduk di atas tikar mengkuang sebelum menghidang kopi O buat mereka berdua. Sambil duduk bersimpuh, dia merenung cawan yang berisi kopi O nya dalam-dalam.

“Kak? Akak okey ke?”
Hajar bertanya sambil memerhatikan riak tidak selesa di wajah Samira. Gadis itu kemudian tersenyum sedikit, cuba mengambil hati adiknya lantas meminggirkan cawan, menghirupnya perlahan.
“Kalau kakak ada masalah, kakak beritahulah Hajar. Mana tahu Hajar boleh bantu.”, getus budak perempuan itu sambil menolak sedikit rambut panjang yang sudah terjuntai di dahinya. Samira menghela nafas buat kesekian kalinya. Dia kemudiannya mengusap lembut rambut adik kesayangannya itu sebelum berkata dengan penuh kesopanan.

“Tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan, dik. Hajar dah buat yang terbaik untuk emak. Mungkin sudah suratannya, dia pergi terlebih dahulu”, pujuk Samira sambil memandang rona adiknya dengan penuh kasih sayang. “Cuma akak terkilan. Kelmarin masa kakak balik, kakak dapati emak sihat walafiat. Tak ada apa-apa sakit pun. Tak ada apa-apa masalah pun. Tahu-tahu emak….Susah nak percaya!”

Hajar mengerti kegelisahan kakaknya itu. Dia kemudiannya menyambut tangan kakaknya, menciumnya perlahan.

“Saya faham perasaan kakak. Saya dah bersama emak bertahun lamanya. Jadi pemergian emak dalam keadaan yang begitu sesuatu yang saya sendiri tidak menjangkakannya!”, ujar Hajar sedih. Dia menyambung lagi

“Emak tak buat silap apa-apa pun. Tapi sampai kenapa kematiannya begitu?”

Samira tidak mempunyai jawapan atas persoalan berat adiknya. Dia lelah seketika. Bagaikan ada seribu persoalan sedang bermain-timpa dalam benaknya kini. Dia sendiri kurang pasti mana satu hendak ditanyakannya dahulu. Dia bagaikan tersepit antara kenyataan dan mimpi. Kenyataan bahawa ibunya sudah meninggal dunia dengan cara yang paling tidak patut sebagai muslim dan ilusi siapakah Chendana yang dimaksudkan tetangganya sebentar tadi.

Sedang adiknya membawa talam berisi kopi O yang masih berbaki ke dapur, Samira merebahkan dirinya seketika di atas tikar mengkuang sambil matanya terkerdip-kerdip memerhatikan alang rumahnya yang tinggi. Semakin lama diperhatinya, pandangannya susut perlahan-lahan. Kabur. Lantas dengan bayu dari celahan kayu yang bertiup lembut, dia terlelap selesa dalam rumah kampungnya sendiri.

Antara sedar…kedengaran satu suara halus sedang menyucuk-nyucuk berbisik kepadanya. Suara berdetar menyesakkan.
Kau ambil..Chendana! Dia..mampu menyenangkan…Dia memilih engkau..Dan kau harus terima..

Samira cuba membuka kedua matanya…tetapi cubaan itu gagal.

Kau perlu mengambilnya. Dia akan berikan kau kuasa..kuasa yang kau sendiri tidak terbayangkan….

Suara itu menggigit-gigit telinganya, lantas menyerap masuk ke celahan minda…

Kerana Chendana itu sendiri sudah memilih tuannya…

Bersambung...

No comments: