Friday, December 17, 2010

Laila Namamu Teratas Episod 3



Fadhil khusyuk menonton siaran berita televisyen. Keganasan Israel terhadap Palestin semakin menjadi-jadi. Dia beristighfar di dalam hati dan bersyukur. Menikmati keamanan di bumi Malaysia yang tidak langsung sama dengan apa yang dialami oleh rakyat-rakyat negara Islam yang lain.

“Abah.”

Laila menegur bapanya yang sedang duduk di ruang tamu rumah dan khusyuk dengan berita yang terpapar. Dilemparkan sebuah senyuman paling ikhlas dalam kerinduan terhadap bapanya. Petang sewaktu dia tiba di rumah, bapanya keluar ke rumah saudaranya di Bachang.

Fadhil membalas senyuman anaknya itu. Lalu menyambut salam tangan anaknya, pipi kiri dan kanan anak sulungnya itu di cium dan dahinya di kucup. Tangannya di cium Laila, lalu dirangkul erat bapanya.

‘Dah besar panjang pun masih manja lagi anak kesayangan aku ni.’ Desis hati Fadhil.

“Kenapalah kamu tak cakap kamu nak balik. Boleh Abah, Mak dengan Sabri ambil kamu.” Mendatar saja leteran Fadhil terhadap anaknya itu.

“Malas nak susahkan.” Laila menjawab ringkas seraya duduk di sisi Fadhil.

Fadhil menggelengkan kepalanya. Jauh di sudut hati berbangga dengan anak sulungnya yang berdikari sejak tamat peperiksaan SPM lagi. Walaupun terasa dirinya terasing, tetapi anaknya tidak mahu sedikitpun dibantu. Masih lagi teringat kata-kata anaknya yang ketika itu dia sudah berusia lapan belas tahun dan dia tidak mahu menyusahkan Fadhil lagi. Tak seperti anaknya yang seorang lagi, sudah bekerja pun masih bergantung harap padanya.

“Abah, Sab nak lima puluh ringgit. Nak isi minyak kereta.” Sabri yang muncul tiba-tiba di ruang tamu terus berdiri di sisi bapanya.

“Hai, isi minyak kereta pun minta duit abah. Kau ni Sab, dah kerja pun minta duit abah lagi. Tak malu betullah.” Laila menggeleng kepalanya.

“Kau ni kecohlah kakak, Sab minta duit dari Abah. Bukan minta duit kau pun.” Sabri masih terpaku di sisi bapanya menanti duit yang dimintanya.

Laila bingkas bangun dan masuk ke bilik. Kemudian dia keluar dengan membawa sekeping not lima puluh ringgit.

“Ni ambil lima puluh ringgit. Isi minyak kereta tu.” Laila menghulurkan not lima puluh ringgit kepada adiknya.

Sabri mengambil not lima puluh ringgit itu sambil tersenyum meleret. Duit itu dimasukkan ke dalam beg dompet dan kemudian disisip kemas di poket belakang jeansnya.

“Esok Kakak malas nak isi minyak.” Laila duduk semula di sebelah bapanya.

“Esok?” Sabri mengerutkan dahinya.

“Iyalah, kakak nak balik Kuala Lumpur. Isnin kakak nak mula kerja dah.”

“Habis tu Sab nak pergi kerja naik apa?”

“Mengadalah kau ni. Itu kan kereta Kak Laila. Kakak letak kampung bukan untuk kau melenjan. Kau kan ada motorsikal kau tu. Guna sajalah yang tu.”

“Iyalah.”

Sabri bengang. Selama kakaknya berada di Australia, hari-hari dia menggunakan kereta kakaknya. Selepas ini terpaksalah dia menjadi mat rempit semula. Sabri terus keluar. Menderu enjin kereta Laila dilenjan Sabri. Bunyi enjin kereta yang menderu itu tanda protes Sabri terhadap kakaknya. Laila dan Fadhil hanya memerhatikan gelagat anak bongsunya.

“Biarlah dia Abah. Dia dah besar, dah dua puluh lima tahun dah pun. Kalau perangai tak mahu berubah, mesti satu hari nanti dia akan berubah.” Laila mengarahkan matanya ke kaca televisyen semula.

“Kau dah nak mula kerja hari Isnin?” Fadhil mengerutkan dahinya yang sudah sedia berkedut. Garis-garis penuaan sudah terbit didahinya yang baru saja pencen sebagai guru sekolah.

“Iya Abah.” Ringkas sahaja jawapan Laila.

“Kamu tak mahu rehat-rehat dahulu?”

“Nanti jadi malaslah Abah.”

“Ikut kamulah Laila. Apa yang baik untuk kamu. Abah ikut saja. Janji jangan tinggal Solat. Ingat orang tua. Ingat asal-usul kamu. Laila masih lagi di bawah tanggungan Abah.”

Laila hanya mampu tersenyum dengan kata-kata bapanya. Rambut lurusnya disikat dengan jarinya sahaja. Matanya dialihkan ke siaran televisyen swasta percuma yang tidak asing lagi yang sedang menyiarkan sebuah dokumentari.

“Makan biskut kering dengan kopi susu malam-malam begini sambil menonton televisyen memang menarik.”

Saodah muncul di ruang tamu dengan membawa dulang berisi tiga cawan kosong berserta seteko kopi yang masih panas berasap. Ada sepinggan biskut kering untuk dicicah dengan air panas. Itu juga kegemaran Fadhil dan anak perempuannya ketika menonton televisyen di kala malama. Saodah menghidangkan dua cawan kopi dan biskut kering untuk anak daranya dan suaminya.

“Dah ada master, dah nak kerja semula. Bila kamu nak kahwin ni Laila?” Saodah sudah lama teringin bermenantu dan bercucu.

“Nantilah dulu mak.”

“Kamu dah 28 tahun dah. Bukan muda lagi. Jiran kita, si Aida anak Mak Wok yang sebaya Sabri tu dah anak dua dah. Si Sarah anak Pakcik Tajul kamu tu, dah mengandung dah. Tengah tunggu masa saja. Kamu ni bila Laila? Dulu mak nak kenalkan kamu dengan anak kawan Abah, kamu tak mahu. Elok saja budaknya. Kamu ni nak cari yang macam mana lagi Laila. Nak kata tak cantik, ada jugalah yang bertanya-tanya tentang kamu. Ada siap nak masuk merisik, tapi kamu tolak. Mak pun tak pernah nampak kamu sibuk dengan teman lelaki.” Leter ibunya.

“Sudahlah tu Odah. InsyaAllah, adalah jodoh anak kita nanti.” Fadhil menenangkan hati Saodah.

‘Zafuan.’ Tiba-tiba sahaja nama itu terbersik di hatinya. Perbualan ibu dan bapanya langsung tidak dia endahkan.

2 comments:

apezs shah said...

Hehee... sukanya.. bab 4 cepat heeh..:p

Izz Faizah said...

wah3...bez...
cpat smbung...
nway, sggah blog sye k....thanx..
http://izz-masterpieces.blogspot.com/