Friday, September 17, 2010

Loro: Jilbab Episod 9


Tajuk : Jilbab
Penulis : El-Zaffril
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8.08 malam. Chendana Episod 9 akan disiar pada 19 September 2010.

Jilbab (Episod 9)

Nur melirik jam dinding yang terletak kemas di dinding rumah Uth. Jam itu baru menunjukkan jam 7.00 pagi. Sejak dari malam tadi, dia tidak bisa melelapkan matanya. Tidak juga dia tidur malam tadi. Langsung tiada rasa mengantuk. Sekali-sekala suara makhluk mengesot yang ditemuinya semalam menerpa pendengarannya.

‘Makhluk halimunan seperti aku mana boleh tidur.’

“Nur memang tak boleh tidur, kerana jasad Nur sudah tidur dengan lena. Jadi cukuplah jasad Nur yang tidur. Biar roh Nur berjaga sahaja.”

Nur cepat-cepat bangkit dari tempat duduknya melihat Uth yang sudah berkemeja kemas dan sedang mengetapkan butang lengannya.

“Uth mahu ke mana?”

“Kerja.”

“Nur bagaimana?”

“Nur duduk di rumah saja.”

“Uth kata nak temankan Nur pergi mencari siapa Nur yang sebenar. Ini mahu pergi bekerja pula.”

Uth diam sahaja, memang dia ada berjanji dengan Nur untuk menemaninya mencari jasadnya yang entah di mana.

“Uth tak takut pada makhluk mengesot tu?”

“Buat apa nak takut. Dia hanya akan muncul bila maghrib mahu menjelang kemudian akan hilang bila Azan Subuh berkumandang. Jadi apa yang Uth mahu takutkan. Lagipun hari ini hari Jumaat. Uth akan pastikan Uth balik awal.”

Uth terus ke muka pintu dan duduk di situ. Kasut kerjanya diambil kemudian menyarung stokin berwarna putih. Nur terus berdiri di belakang Uth, memerhatikan gelagat Uth bersiap-siap ke tempat kerja.

“Uth balik pukul berapa?”

“Kejap saja rasanya. Kenapa ya Nur?”

“Tak ada apa-apa.”

Nur menguis-nguis kukunya seraya matanya memandang ke arah balkoni. Dari redup anak matanya seperti menyimpan sesuatu bebanan yang tidak terluah. Uth terhidukan sesuatu.

“Kenapa ni Nur?”

“Tak ada-apalah.”

Uth bangkit dari duduknya. Kasut kulit hitam disarungkan ke kaki. Beg sandang belakang disandangnya dengan kemas.

“Selamat jalan Nur.”

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Uth membuka langkahnya menuju ke arah lif. Dari raut yang tenang, dia menyusun atur jalannya. Sekali sekala disisir rambutnya yang terurai lurus dengan tangan.

“Uth!”

Uth memalingkan pandangannya ke arah Nur yang memanggilnya dari belakang. Dia mengerutkan dahinya, tertanya-tanya kenapa Nur memanggilnya sementara menunggu pintu Lif terbuka.

“Ya Nur.”

“Siapa Uth sebenarnya ya?”

Uth melirik sebuah senyuman nakal ke arah Nur. Kemudian dia terus membuka langkah masuk ke dalam lif yang sedang terbuka. Soalan Nur dibiarkan sepi saja membuatkan Nur terpinga-pinga.

Bersambung...

No comments: