Thursday, November 18, 2010

Loro: Chendana Episod 24



Tajuk : Chendana
Penulis : Faizal Sulaiman
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8.08 malam. Jilbab Episod Terakhir akan disiar pada 20 November 2010.

Chendana (Episod 24)

Samira membuntuti kekasihnya Asyraf masuk ke dalam rumah, sebelum terpekik ngeri melihat keadaan ruang tamunya yang berlumuran dengan darah—merah pekat menakutkan—

“Apa semua ni, dik?’, jerkah Samira antara terkejut berbaur cemas, sambil memandang Asyraf yang turut bungkam, dengan mata terkebil melihat situasi itu dengan penuh tanda tanya.

Cebisan daging dari kepala Katrina yang terputus dari badan, masih kelihatan bergolek-golek tidak berarah di atas lantai jubin.

Hajar terdiam. Wajahnya berkilau airmata ketakutan.
Tubuh kecilnya jatuh terduduk.
Rambutnya yang mengurai kusut, menambah keyakinan Samira bahawa adik perempuan yang selama ini dikagumi kerana sifat santunnya, memang mempunyai masalah!

“Kak..tolong Hajar, Kak! Hajar buntu. Hajar…Hajar tak tahu nak buat macam mana?

Tubuh gadis itu menggeletar. Jelas, sinar ketakutan terpancar di balik wajah dan tubuhnya yang nampak lemah. Dua ulas bibirnya tak henti-henti mengungkap kata maaf sambil mata liarnya memerhati sekeliling dengan perasaan gerun.

“Kakak tak faham..apa semua ni..?”

Hajar mengangkat wajah sayunya. Memandang tepat wajah Samira meminta cebis simpati. Air matanya semakin deras mengalir.

“Tak kasihankah dengan saya, kak? Abang Asyraf? Hajar tak tahu kak…Hajar tak tahu kenapa semua ini berlaku!”
“Apa yang berlaku, dik? Apa yang dah jadi?”, sergah Samira sebelum menuju ke arah tubuh gadis kecil itu, lalu menggoncangnya garang.

“Kau cakap dengan kakak, dik!”

Suara Samira terpekik lagi, menambah rasa takut Hajar, namum gadis itu tidak menjawab. Kepalanya menggeleng tanda dia benar-benar tidak tahu.

“Kita kena lekas, Mira. Kena kemaskan tempat ni, sebelum menimbulkan syak wasangka orang ramai”, kedengaran Asyraf mencelah cemas sambil menutup pintu rumah besarnya perlahan. Matanya meliar kanan kiri, bimbang jikalau suara pekikan Samira kedengaran oleh jiran tetangga.

Hajar, walaubagaimanapun, mencengakam bahu kakaknya.

“Tolong..kak! Tolong jangan serahkan Hajar pada pihak polis! Hajar takut..Hajar tak salah!”, ungkap gadis itu merayu-rayu kepada Samira. Simpatinya terpancing lantas memandang Asyraf dan Hajar silih berganti.

Lekas, Mira! Kau perlu buat keputusan ni secepat yang mungkin! Sanggup kau nak serahkan darah daging kau pada polis? Kakak macam apa kau ni?

Samira berperang dengan perasaannya!
Cuak hatinya tatkala memandang riak kasihan adiknya yang semakin mencengkam ruang hati dan perasaan.

Samira menghela nafas. Otaknya tepu dengan pelbagai andaian.

“Kita bawa mayat Kat ke kampung. Awak tolong saya bersihkan kawasan ni!”

Asyraf bertambah cemas.
“Kampung? Kampung siapa?”
Samira menjawab tidak sabar.
“Kampung saya! Di situ takkan ada sesiapa yang tahu tentang perkara ni!”

Asyraf hanya mengikut tanpa soal. Semakin lama difikir, kepalanya rengsa dengan pelbagai persoalan berat.

“Saya rasa, Abang Jamil perlu tahu pasal ni”
“Jamil? Jamil sepupu awak tu?”
“Berapa banyak Jamil yang kita kenal?

Asyraf terpukul. Wajah kekasihnya yang nampak sedikit berang apabila dia cuba melibatkan Jamil dalam hal ini, cukup meragukannya. Kenapa mesti lelaki itu?

Samira yang mula mengesyaki Asyraf memasang cemburu, memandang lelaki itu dengan jengkel—tetapi langsung enggan mengambil pusing---kerana dia ada perkara penting yang lebih berfaedah hendak dilakukannya.

Membantu Hajar—adiknya sendiri—dari perasaan trauma yang semakin melampau.

Dalam diam, Asyraf menjeluak marah. Menimpakan bukit cemburu dalam hatinya sendiri!

**

Pelawaan Samira, sepupunya untuk membantu dalam perkara berat, pada mulanya diterima dengan sangat baik oleh Jamil. Tak salah kan, kalau hendak membantu saudara sendiri.

Tetapi apabila sudah sampai separuh jalan hendak ke kampung mereka, Samira lekas menceritakan tentang kematian ngeri Katrina di rumah mereka sendiri, Jamil hampir melompat turun dari kereta Vios yang dipandu laju oleh Asyraf.

“Kenapa nak libatkan abang! Abang tak mahu terlibat dalam hal macam ni. Bahaya!”

Samira merayu. Hajar pula teresak-esak menangis.
Hatinya yang keras, berubah lembut. Apatah lagi kedua-dua itu adalah saudaranya sendiri.

Atas permintaannya juga, mereka berempat singgah ke masjid Al Hidayah, dua kilometer sebelum masuk ke kampung mereka. Jamil ingin memohon petunjuk Nya, jika benar jalan yang dipilihnya itu betul, seperti kehendakNya.

Dengan senyuman, dia mengajak Asyraf, tetapi lelaki itu selamba bersiul sambil merenung bintang bertebar di dada langit. Samira pula menggeleng. Uzur katanya. Hajar pula diam enggan menjawab, sambil memandangnya dengan satu pandangan sinis.

Jalan terbaik dalam menghadapi dugaan adalah dengan berdoa.

Dia terus ke ruang mengambil wudhuk. Melafaz niat dengan tertib, sebelum menghimpun air yang ditadah dengan dua telapak tangan sebelum melaksanakan rukun berwudhuk dengan sempurna.

Kaki kanannya melangkah ke dalam Masjid, memperlihatkan seorang jemaah tua yang sedang khusyuk berdoa. Serban yang dipakainya sama bersih dengan jubah putih yang tersarung di tubuhnya sendiri. Dia berdiri di belakang orang tua itu sebelum dia bangkit sesudah membaca doanya.

Dia berdiri, memandang anak muda dihadapannya yang baharu saja hendak mengangkat takbir.
“Assalamualaikum, anak muda!”

Jamil sedikit terperanjat, sambil menerima huluran salam lelaki tua itu. Sejuk benar tangannya. Wajahnya tersenyum. Bersih kulitnya bercahaya.

“Kawan kamu semua tak bersolat?”

Jamil tersenyum. Tidak menggeleng, tidak pula menjawab.
Lelaki tua itu berkata lagi.

“Dugaan yang menimpa kamu nanti sangat berat. Belajarlah menerima satu kenyataan. Perit, tetapi itulah hakikatnya”

Jamil diam. Masih berdiri dalam keadaan qiam. Lelaki itu menyambung semula.

“Kamu teruskanlah bersolat. Hidup kita tak akan panjang. Sementara hidup ini, mintalah yang terbaik dari Allah. Jauhkanlah dari syaitan yang direjam”, tukasnya sambil menepuk bahu Jamil perlahan, lalu berlalu meninggalkannya tanpa ucapan salam.

Jamil menghela nafas dalam-dalam.

Pesanmu akan ku kenang, wahai orang tua!

Dia berpaling melihat orang tua yang berjalan perlahan itu, sambil melihat suatu lubang di belakang kepalanya yang sangat dahsyat diselaputi cebisan otak dicelah rambut beruban. Suatu lubang berdarah yang mungkin disebabkan ditembusi oleh peluru senapang gajah.

Semoga Allah merahmati roh mu…

No comments: