Monday, November 8, 2010

Loro: Jilbab Episod 22



Tajuk : Jilbab
Penulis : El-Zaffril
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8.08 malam. Chendana Episod 22 akan disiar pada 10 November 2010.

Jilbab (Episod 22)

Uthman mengeluarkan sebuah bungkusan plastik yang sejak dari tadi disandangnya. Bungkusan itu dibuka dan dikeluarkan sehelai jilbab putih.

“Kah kah kah.” Uthman ketawa berdekah-dekah. Jilbab putih itu dihalakan kewajahnya.

‘Kau nak buat apa dengan Jilbab putih itu.’

Seri terkaku saat melihat jilbab putih itu. Berkerut-kerut dahinya menahan kesakitan yang muncul dek panahan jilbab yang muncul di hadapannya. Terjelepuk Seri ke lantai menggelupur kesakitan.

“Kini kau rasakan sakitnya Seri.” Puas hati Uthman dapat menyeksa Seri.

Uthman menghampiri Seri. Perlahan-lahan langkahnya menuju ke arah jasad terjelepuk menggelupur kesakitan yang hanya kadang-kadang bisa dilihat oleh mata kasar manusia. Puas hati Uthman kini, racun yang bisa membuatkan Seri yang begitu ampuh dengan kekuatannya kini terkulai layu.

Seri mengundur menjauhi Uthman yang menghampirinya. Wajahnya bertukar rupa, dari seorang yang segak menjadi seorang lelaki yang tua sekali akibat kesakitan yang teramat. Perlahan-lahan Seri mengesot dengan tangannya semata.

‘Jangan buat Seri begitu Uthman. Kau akan menyeksa Abah juga.’ Uthman menjeling ke arah bapanya yang berkerut-kerut kesakitan juga.

Uthman tidak mempedulikan bapanya. Dia tetap menghampiri Seri. Dilajukan langkahnya ke arah Seri. Entah dari mana dia mendapat seluruh kekuatan itu. Lalu perut Seri disepak sekali. Seri mendengus kesakitan dan berguling-guling di atas lantai.

“Rasakan.” Uthman ketawa sambil mendongak ke siling rumah sambil tangannya mencekak pinggang dengan angkuh.

Kemudian dia menjambak rambut seri yang putih, lalu dicampakkan Seri ke dinding. Terpelanting Seri ke dinding kayu rumah bapa Uthman lalu terjelepuk ke lantai.

“Masa untuk Man ambil nyawa Abah.”

Uthman menghampiri bapanya dengan tangan kirinya memegang jilbab putih.

‘Jangan Man, Jangan. Tolong Abah.’ Rayu bapa Uthman.

Uthman langsung tidak mengendahkan rayuan bapanya. Perlahan-lahan dia menghampiri wajah yang sayu ketakutan itu. Tidak pernah sekalipun Uthman terlalu berani sebegini.

“Aku tahu kau dah mati dan kau hidup untuk menghidupkan Seri. Jadi, aku mahu nyawa kau untuk menghidupkan makhluk yang sepatutnya hidup. Bukan mayat hidup seperti kau. Nah, berikan nyawa kau pada aku.” Lagak Uthman bak anak durhaka yang menuntut keadilan.

Uthman meletakkan jilbab putih yang dipegangnya di ubun-ubun bapanya. Menggelitik kesakitan bapanya dengan bebola mata yang berputar tanpa ada hala tuju.

‘Sakit Man, tolong Abah Man. Abah tak mahu mati lagi. Abah nak hidup lagi.’ Rintihan hatinya dalam keadaan nyawanya cuba dicabut Uthman.

Uthman mengerutkan dahinya kehairanan, sukar benar mahu mendapatkan nyawa bapanya itu. Dilepaskan jilbab itu dan dibiarkan terletak di ubun-ubun bapanya.

“Kenapa aku tak boleh ambil nyawa kau?”

‘Nyawa abah bersatu dengan nyawa Seri.”

“Maksud kau?”

‘Kalau kau mahukan nyawa Abah, ada satu syarat yang perlu kau terima tanpa ragu.’

“Apa dia?” Uthman memeluk tubuhnya angkuh bak wira yang sudah berjaya menawan musuhnya, hanya tinggal dibunuh sahaja musuhnya, tetapi liat benar mahu bercerai nyawa dan badan.

‘Untuk memiliki nyawa abah mudah Uthman. Tidak perlu kau seksa Abah sebegini rupa.’

“Jadi Abah redha Man mahu Abah mati?”

Perlahan-lahan bapanya mengangguk dalam kesakitan yang teramat sangat-sangat.

‘Kau perlu menerima Seri dalam hidup kau.’ Ringkas bisik hati bapanya.

Uthman membeliakkan matanya, pandangannya diarahkan kepada Seri yang masih terjelepuk kesakitan. Seri hanya menyeringai menguntum senyum kerana bakal menjadi parasit dalam sebuah tubuh yang baru.

Uthman menunduk, terasa sukar benar menerima syarat ini. Syarat yang pastinya akan membawa kepada sebuah kehidupan yang amat menyeksakan keturunannya dan juga orang sekitar. Nyawa yang perlu diambil menjadi kekuatan Seri, kemudian darah yang menjadi minumam Seri hari demi hari. Kalau tidak diri sendiri yang akan menjadi mangsanya.

“Baiklah, aku terima Seri sebagai galang ganti satu nyawa yang aku perlukan untuk satu nyawa yang lain.”

Berdesup Seri selaju cahaya masuk ke dalam tubuh Uthman. Uthman menjerit kesakitan yang teramat. Bebola matanya terbeliak. Dalam keadaan berdiri itu, Uthman terdepa seperti seorang yang terkena renjatan elektrik. Lama-kelamaan Uthman menjadi semakin tidak keruan. Kulitnya menjadi pucat lalu terjelepuk ke lantai.

Seraya itu juga, perlahan-lahan nyawa bapanya ditarik oleh jilbab yang tersedia di ubun-ubun kepala bapanya. Kadang-kadang nyawa itu tersekat-sekat di urat yang penuh dosa sehingga menyeksakan dan menyesakkan dirinya yang berhadapan dengan sakaratul maut. Perlahan-lahan bapanya menutup mata selepas satu hembusan kuat dilepaskan. Itulah hembusan yang terakhir.

Jilbab yang tadinya berwarna putih bertukar menjadi warna keemasan. Warna yang akan menghidupkan seseorang yang berada diambang kehidupan dan kematian dan sedang menunggu Uthman sedar dari lena kepenatan bersatu dengan Seri.

‘Kini kau milikku Uthman.’

No comments: