Thursday, October 7, 2010

Loro: Jilbab Episod 14


Tajuk : Jilbab
Penulis : El-Zaffril
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8.08 malam. Chendana Episod 14 akan disiar pada 9 Oktober 2010.

Jilbab (Episod 14)

“Uthman, bangun nak. Teman abah pergi kebun getah.”

Jasad Uthman yang sedang lena dibuai mimpi langsung tidak bergerak digugah bapanya. Semakin digugah, semakin kuat pula dengkurannya. Bertambah membara hati bapanya yang sedang panas, susah benar mengejut anak bujangnya yang baru saja di tingkatan satu itu.

“Man, bangun abah kata. Teman abah pergi kebuh getah!”

“Biarlah budak tu tidur. Penat sangat semalam, Jah temankan Abang. Tunggu kejap, Jah siap-siap.”

“Aku nak bawa sekali budak ni. Jangan disenangkan sangat Jah. Biar dia merasa hidup susah. Nanti dah tua jadi pemalas.”

Jah meninggalkan suaminya masuk ke bilik untuk bersiap-siap, menemani suaminya ke kebun getah di baroh yang jaraknya sekilometer dari rumah. Hatinya kasihankan anaknya yang seorang itu, kepenatan ke sekolah, dipaksa pula untuk bekerja mencari rezeki yang menjadi tanggungjawab mereka berdua suami isteri untuk membesarkan anaknya yang seorang itu.

“Bangun Man.”

Penyangkut baju plastik hinggap di betis kanan Man dengan sekali hayunan.

“Sakit Abah!”

Terduduk terus Uthman dari tidurnya yang lena. Betis kanan yang terasa pedih dek sekali hayunan bapanya yang garang itu diusap-usap. Buruh kanak-kanak paksa terbekas di hatinya.

“Bangun cepat! Teman abah dengan mak kamu ke kebun getah di baruh. Petang semalam main seharian. Sudah, cepat bangkit. Sebelum abah rotan kamu lagi dengan penyangkut baju ini.”

Bapanya keluar dari bilik, dengan penyangkut baju masih lagi kemas di pegang di tangan kanannya. Tiada riak senyuman dari wajah yng bengis itu.

Man menyelak selimut yang bersisa di hujung kaki. Matanya memandang ke arah jam loceng di meja belajarnya, baru menunjukkan jam 4.00 pagi. Dia memeluk tubuh sekali dek kesejukan yang mencucuk-cucuk hingga ke tulang kering, kemudian di kemas katilnya.

“Apa di tunggu lagi tu Man? Kamu nak kena rotan lagi?” Laungan bapanya dari dapur memecah kesunyian hening pagi itu.

“Kejap Abah. Man kemas katil ini kejap.”

“Terhegeh-hegeh buat kerja.”

Selesai mengemas bilik dia mengenakan sehelai seluar trek dan baju lengan panjang. Selain dari mengurangkan dicucuk-cucuk dingin pagi, berpakaian lengan panjang juga bisa menghindarkan dari gigitan nyamuk yang dahagakan darah manis dan segar manusia.

Man menuruni tangga menuju ke dapur, matanya terpanah ke arah bapanya yang sedang bercekak pinggang. Dia menundukkan kepalanya menuju keluar pintu dapur yang terbuka luas.

“Kamu nak pergi mana tu? Makan dulu, nanti kamu pengsan siapa yang nak angkat?”

Man berpatah balik dari pintu dapur yang dituju. Wajahnya masam mencuka memandang ke arah sarapan pagi yang disediakan ibunya. Lalu dia duduk di lantai beralaskan tikar mengkuang yang sedikit terlerai anyaman dihujungnya.

“Abang ni, depan rezeki janganlah nak bentak-bentak anak. Hilang barakah rezeki tu.” Jah menuruni tangga sambil membetulkan ikatan tudungnya.

“Tahulah saya.”

Ada sahaja jawapan yang terpacul dari bibir suaminya itu. Jah menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menuang air teh kosong tanpa susu ke dalam cawan yang tersedia.

“Man, kita ni orang susah. Hidup cara orang susah. Makan cara orang susah. Man belajar rajin-rajin untuk kesenangan masa depan Man. InsyaAllah, mak doakan untuk Man.”

Man mengangguk, terasa bersemangat mahu belajar hingga ke puncaknya. Ada betul kata ibunya itu. Sungguh, hanya insan yang berilmu sahaja yang mendapat tempat di mana-mana sahaja.

“Habis tu siapa yang nak kerjakan kebun kelapa sawit kita tu. Kebun getah di baruh tu siapa yang usahakan.”

“Abang ni, biar anak kita ni berilmu. Bukan ikut jejak langkah kita, kebun kelapa sawit dan kebun getah di baruh tu biar kita uruskan. Kan kita masih ada kudrat.”

“Suka hati awaklah.”

Lelaki berusia tiga puluh lima tahun itu bingkas bangun dan menuju ke muka pintu. Seleranya untuk makan hilang di makan perasaan marah dan ego yang membuak-buak.

Jah dan anaknya masih lagi menghirup sisa-sisa teh kosong yang masih berbaki di cawan, menikmati teh kosong yang panas di awal pagi sungguh membangkitkan selera.

“Apa tercangok lagi tu. Nanti mata hari dah tinggi, susu getah tak mahu keluar.”

Jah menggeleng-gelengkan kepalanya melihat telatah suaminya melayan anak tunggal mereka. Ketua keluarga, dia hanya mengikut kata dan menegur apabila perlu.

Man bangkit dari duduknya. Teh kosong yang tinggal separuh dibiarkan sahaja di dalam cawan, membiarkan ibunya seorang diri mengemas. Sampai di muka pintu, dia menyarung selipar jepun sahaja kemudian menuruti bapanya yang laju berjalan.

“Kau mahu sesuatu yang kau tak pernah ada dalam hidup kamu?”

Bersambung

No comments: