Monday, October 25, 2010

Loro: Chendana Episod 18



Tajuk : Chendana
Penulis : Faizal Sulaiman
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8.08 malam. Jilbab Episod 19 akan disiar pada 27 Oktober 2010.

Chendana (Episod 18)

Banglo dua tingkat milik Katrina kelihatan sangat menawan. Ditambah dengan hiasan mewah di dalam rumah perempuan itu bagai melengkapkan segalanya.

Perempuan itu sememangnya layak untuk tinggal di rumah sebesar apa yang sempat dijamah matanya. Kedudukan yang tinggi dalam posisi syarikat pengiklanan Truly Content Media membuatkan Katrina mampu memiliki apa yang diingini.

Tetapi mungkin tidak sekarang.
Mungkin tidak lagi selepas kematian kekasihnya Yazid yang ditemui dalam keadaan mengerikan di sebuah ladang getah yang sangat terpencil.

Misteri itu tetap menyelubungi dan pihak polis memburu Katrina sekaligus menjadikan perempuan itu sebagai suspek utama. Diselidiki selepas beberapa lama melalui sesi soal siasat, ternyata Katrina tidak berada di tempat kejadian, malahan perempuan itu sedang menyiapkan kertas kerja pembentangan iklan merokok yang bakal dipersembahkannya hujung bulan ini.

Bagi Samira, Katrina memang kelihatan angkuh pada luaran. Sombong dan tegas.

Tetapi itu hanyalah di pejabat. Bukan di luar.

Sebaik sahaja menerima jemputan perempuan itu ke rumahnya dia pergi dengan senang hati sebelum memberitahu adik perempuannya Hajar beberapa jam sebelum dia pergi.

Katrina pula menyambut tetamunya dengan senang hati.
Senang hati kerana jasad Samira akan dikorbankan seketika nanti.

Kau robek kulitnya. Kau rentap jantungnya. Kau tadah darahnya. Biar ia menjadi makananku!
Kembar Katrina sudah berada di atas sofa, berkebaya merah dengan mata membulat yang kelihatan bersinar garang. Tubuh Samira yang duduk di kerusi meja makan diperhatikan dengan penuh nikmat. Tubuh mungil itu dapat dijamah seketika nanti.

Katrina tidak terburu-buru. Kembarnya yang duduk di ruang sofa diperhatikan geram!

Biadap! Kau tahu sabar?!

Gelodak hatinya meronta marah. Dasar syaitan terkutuk!

Heeeeeeee
Kembarnya mengilai sehinggakan Samira, yang tidak mendegngar apa-apa butir perbualan Katrina dan kembarnya, mulai merasa ganjil. Diperhatikan Katrina yang lekas-lekas menunangkan air oren sejuk di dalam gelasnya.

“Kenapa dengan kau ni, Mira? Anything wrong?”
Samira menggeleng sambil tersenyum gusar.
Suara hati kembar Katrina bersuara jahat. Terpekik-pekik memekakkan telinga perempuan itu.

Kau ingat kau boleh tipu dia? Lekas lakukan upacara itu! Aku lapar! Aku lahap! Kau perlu beri aku makan!

Katrina menghela nafas dalam-dalam. Diperhatikan kembarnya yang semakin merengsakan itu dengan wajah paling meluat.

Sabar! Berikan aku sedikit waktu untuk mendapatkan kepercayaan perempuan ini! Dan kau, takkan menyesal dengan habuan yang bakal kau perolehi!

Wajah kembar Katrina semakin jelik dan kelihatan sangat menakutkan.

“Kita berhenti dekat mana tadi?”, soal Katrina mengalihkan topik, cuba memancing kembali ingatan Samira tentang projek khas Dato Siti Nurhaliza tentang iklan produk kecantikannya, Simply Siti yang bakal menggunakan khidmat syarikat pengiklanan mereka untuk kempen pemasaran produk penyanyi tersohor tersebut.

Samira tersenyum manis, kelegaan.
Dia dapat merasakan sesuatu dibelakangnya, tetapi apabila dikalih pandang, tiada sesiapapun yang memerhatikan tindak tanduknya.

Dia tidak tahu kenapa.

Belum sempat Samira membuka mulutnya untuk berkata-kata, kedengaran loceng rumahnya berbunyi. Baik Kartina juga Samira, kedua-dua perempuan itu saling berpandangan tertanya-tanya.

Katrina akhirnya bangun, membentak dalam hati, menyumpah seranah siapkah yang datang tidak kena tempat pada jam begini!

Pintu dibuka sebelum kelihatan seorang lelaki berkopiah menjinjing sesuatu.
Lelaki berkopiah itu adalah Jamil!

“Maaflah mengganggu. Saya datang ni nak menyerahkan barang kepunyaan arwah pada Cik Katrina dan eh…awak pun ada sekali? Puas saya cari awak, tahu?”

Katrina bingun seketika sebelum Samira yang berdiri disebelahnya sedari tadi tertawa perlahan. Dipandang sepupunya itu sebelum menggeleng-geleng kepala.

“Macam mana sampai sini Abang Jamil?”
“Zafran beritahu alamatnya. Dia ada dalam kereta tu dan oh ya…adik awak si Hajar minta awak balik. Ada hal katanya”
“Hal? Hal apanya? Tadi sihat je sebelum saya keluar ke mari”
Jamil menjungkit bahunya petanda dia tidak tahu.
Samira memandang Katrina yang jelas terpancar sinar kecewa kerana perempuan itu mungkin terpaksa balik ke rumahnya semula.

Melupakan hasratnya untuk merobak rabikkan jasad Samira dan menguasai Chendana Sari!

“Eh tak apalah! Samira balik aje. Esok lusa boleh datang ke mari, kan?”
Samira mengangguk mendengar kata-kata Katrina. Dia kemudiannya meminta izin untuk pulang sebelum Katrina melambainya mesra.

Dilihatnya Jamil yang berjalan agak perlahan sebelum perasaanya membuak-buak marah.

Simpan saja marah tak berguna kau, perempuan. Aku tahu kau berlindung di balik syaitan yang direjam! Aku tahu asal usul aku. Asal usul keturunan aku. Dan jangan kau berani sekali-sekali memesongkan kehidupan kami!

Suatu aura biru keputihan melayah terbang seperti angin kencang sebelum menolak tubuh Katrina sehingga terhumban menghentam rak buku di dalam rumahnya. Pintu yang dibuka tadi tertutup dengan sendirinya!

“Tak guna! Tak guna punya lelaki!”

Kau yang boodoh! Kau yang buta! Tak guna!

Pekikkan kembar Katrina kedengaran sangat kuat---bergegar gempita. Perempuan itu bangun perlahan-lahan memandang kembarnya dengan riak muka yang sangat marah.

“Kau ni tahu makan saja! Kerja lain kau tak tahu ya? Aku bersusah payah suruh Samira datang dan kau senang-senang nak minta itu ini. Hukum sana sini! Menyesal aku bela kau, tahu”
Katrina memaki hamun. Marahnya tidak tertanggung lagi. Diperhatikan kembarnya itu dengan penuh amarah kebencian.

Apa kau cakap?
“Kau tak guna..menyusahkan aku”
Aku tak dengar..kau ulanginya lagi?
“Berambus kau dari hidup aku! Tak guna!”

Kau jangan menyesal, Katrina! Kerana pulut santan binasa..kerana mulut badan binasa.

“Ah! Pergi mampus kau. Pergi mati! Pergi mat…”
Belum sempat perempuan itu menghamburkan caci makinya, lembaga berupa kembar Katrina itu bangun pantas dan menjerit latang sebelum berlari menuju ke arah tubuh perempuan itu sebelum meresap masuk ke dalamnya!

Tubuh Katrina rebah. Dia tidak sedarkan diri.

Namun, beberapa ketika, mata perempuan itu terkebil kebil sebelum mengukir satu senyuman jahat.

“Kau kepunyaanku Katrina. Dan dengan jasad ini, aku akan mencari Chendana Sari atas kemahuan dan kekuasaanku sendiri!”

Katrina yang dirasuk itu tertawa mengilai!

BERSAMBUNG

No comments: