Tuesday, October 5, 2010

Loro: Chendana Episod 13


Tajuk : Chendana
Penulis : Faizal Sulaiman
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8.08 malam. Jilbab Episod 14 akan disiar pada 7 Oktober 2010.

Chendana (Episod 13)

“Aku yakin apa yang engkau lakukan ini adalah jalan yang terbaik”

Bisikan Embah Sirna masih terngiang-ngiang di fikirannya sekarang.

Ya..
Dia sudah berlaku khianat.
Khianat pada janjinya, pada kasihnya juga pada cintanya.
Cinta nan satu kepada Sari, kekasih yang terpaksa dikorbankan demi melanjutkan kelangsungan hidup sebagai manusia.

Dia bernama Demak.
Lelaki yang ditakdir berjodoh dengan Sari, gadis sunti dari Nilam Perindu, kampung seberang dari Babakud, tanah jajahan Tuan Gusti Haji Ahmad Daud, lelaki yang bakal memandunya ke jalan Islam.

Tetapi semua harapan dan impiannya untuk tinggal berdiam di Nyiru Chondong musnah sama sekali apabila suatu malam dia didatangi oleh Embah Sirna. Wanita separuh abad itu menawarkan kemewahan padanya.

Kemewahan yang diberikan dalam bentuk yang dia sendiri tidak terbayangkan. Dengan syarat, dia harus membuat satu pengorbanan.

Pengorbanan dari darah si penyambung keturunan!

Maka Sari terpilih.
Embah berjanji seluruh tanah jajahan Babakud akan aman damai, dan dia sendiri bakal mencipta kekayaan yang luar biasa. Gadis itu diumpan, kononnya ingin dibawa pergi dari Nilam Perindu, tetapi sayang…nyawanya jadi taruhan.
Kasih sucinya terkorban.
Gara-gara nafsu serakah seorang lelaki dan wanita yang paling kejam.

“Usah kau bimbang, Demak. Kekayaan akan mencari engkau. Kau akan berjaya dalam hidup kau. Anak keturunan kau akan senang lenang, percayalah”

Demak membawa janji-janji Embah Sirna sehingga dia berkahwin dengan Samsiah..
Walaupun hatinya masih mengenangkan Sari.
Kekesalan yang tidak pernah berpenghujung..
Dosa yang tak pernah diampunkan…

Entah mengapa, kesinambungan kisah Demak ini bagai tersangkak. Bagai ada sesuatu yang menjentak-jentak pernafasan sehingga membuntangkan mata gadis yang sedang terbaring mimpi akan alkisah Demak itu, diselang selikan dengan rentak alunan tembang Jawa yang kedengaran sangat mengasyikkan..

Gegarane Wong Akrami
dudu banda dudu rupa
amung ati pawitane
luput pisan kena pisan
yen gampang luwih gampang
yen angel-angel kelangkung
tan kena tinambok arta

Nafasnya semakin tersekat-sekat.
Bagai ada sesuatu yang menyesakkan kerongkongnya tika dan saat ini. Gadis itu cuba membuka kedua belah matanya. Gagal. Dia cuba lagi. Semakin gagal. Lekas dia menghela nafas dalam-dalam. Walau sepicing cuma, tetapi dia langsung mengosongkan fikirannya sekarang.

Dia harus tenang.
Dan kembali semual pada lunas-lunas Islam.
Allah diingati.
Takbir dilaungkan sekuat hati, sebelum cuba membuka matanya.
Nafasnya serasakan sesak lagi. Dia cuba lagi tanpa gagal. Takbir dilaungkan lagi dalam hati. Kali ini dengan penuh semangat teguh penuh waja sebelum dengan penuh kudrat membuka kedua belah matanya dengan garang.

Kelihatan adik perempuannya Hajar, dengan mata merah menyala dan muka yang sudah ditoreh berdarah sedang mencekik lehernya. Taring yang sudah kelihatan di pinggir bibirnya diperlihatkan ngeri. Ada cebisan daging di celah-celah taring menakutkan itu.

“Demak lelaki pengkhianat! Lelaki tak guna!”

Samira cuba meleraikan pergelutan, tetapi genggaman Hajar semakin lama semakin mencengkam lehernya.

“Tahukah dia bahawa aku seksa dibunuh? Tahu kah dia hatiku sayat ditipu! Maka seluruh darah keturunannya akan aku bunuh!”

Hajar berteriak dengan suara parau menyeramkan. Samira cuba ‘menelan’ kata-kata adiknya dengan cepat dan pantas, walaupun fikirannya agak kacau ketika ini. Darah keturunan?

“Kau akan mati, Samira! Sama seperti emak kau, Jamilah yang turut mati itu!”, jelas jelmaan yang merasuki Hajar sebelum Samira dengan sekuat tenaganya menolak batang tubuh Hajar sehingga gadis itu terpelanting menghentam meja soleknya.

Hajar jatuh tergolek. Dia bingkas bangun dengan menunjukkan wajah hodohnya. Wajah hodoh jelmaan itu.

“Kau perlu cari siapa empunya ‘batu’ itu! ‘Batu’ yang disorokkan dari dalam almari bilik Hajar! Kau perlu cari siapa empunyanya, sebelum Hajar mati di tangan aku!!!”, teriak lembaga yang merasuki Hajar, yang kelihatannya sudah terapung beberapa sentimeter dari lantai. Matanya membuntang sebelum kelihatan cecair merah menyala keluar dari kedua belah matanya.

Samira lekas. Bacaan ayat Kursi langsung berlegar difikirannya sebelum mencapai telefon bimbit yang diletakkan di bawah bantalnya sebelum menekan butang telefon dengan tidak berarah, sebelum mendail nombor kekasihnya, Asyraf.

“Aku akan pastikan engkau tak kemana-mana, Samira…kerna kau perlu tahu…Chendana Sari ini adalah kepunyaan engkau! Aku yang memilih engkau!”

Samira terpana…

Kedengaran suara lembaga yang terapung-apung itu bermadah sendirian..dalam tangis yang memilukan
Rahasia cinta..
Bukanlah harta atau rupa
Ia adalah rela hati yang memandu kita
Ke jalan yang paling biasa ataupun luarbiasa
Samada secara halus atau kasar
Kerna keduanya bukanlah boleh dibeli dengan sebuah ‘perjudian’

BERSAMBUNG

1 comment:

Nazz@Purple said...

sangat best..tak sabar nak habiskan..