Friday, August 10, 2012

Cerpen: Seindah Puasa Itu

Aku duduk menyandar di dinding, melepaskan lelah berlari. Di hadapanku terdapat hamparan-hamparan tikar biru yang dibentang memanjang. Di atasnya diletakkan hidangan-hidangan untuk berbuka puasa yang disediakan oleh pihak masjid.

‘Alangkah indah kalau setiap hari adalah Ramadhan.’ Bisik hati aku seraya mengeluh panjang.

Aku memandang ke arah jam dinding di dalam masjid. Baru sahaja menginjak ke pukul 6.00 petang. Masih ada satu jam lebih lagi sebelum masuk waktu berbuka puasa.

Kaki kanan aku selunjurkan ke hadapan manakala kaki kiri aku lipatkan. Dengan keadaan menyandar itu, aku merenung kembali hari pertama aku tiba di kota yang kononnya menjanjikan kemewahan untuk aku.

###

Aku melangkah keluar dari bas. Mataku melilau-lilau memerhatikan sekeliling. Senja Asar sudah mahu menginjak ke Maghrib. Aku berjalan keluar dari Hentian Putra sambil memerhatikan sebuah pasaraya yang tersergam di hadapan sebuah bangunan.

‘Pusat Dagangan Dunia Putra.’ Aku berbisik dalam hati.

Lantas aku teringatkan pesan sepupuku, jika sampai di Kuala Lumpur teruslah menelefonnya dan kemudian tunggulah di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Aku memandang ke kiri dan ke kanan, mencari telefon awam yang aku boleh gunakan. Sambil memerhatikan bangunan-bangunan sekitar, aku berjalan melintasi lampu isyarat simpang empat.

Tiba-tiba aku terasa sesuatu merayap di punggungku. Aku diraba. Pantas aku berpusing ke belakang.

“Aduh!”Satu tumbukan tepat hinggap dimukaku. Aku terjatuh dan terbaring di atas bahu jalan. Kedua tapak tanganku menekup muka yang terasa kejap. Mataku berpinar-pinar.

“Dik, tak ada apa-apa? Adik ok ke ni?” Tanya seorang makcik yang berdiri disebelah pembaringanku. Lelaki yang menumbukku tadi lenyap entah ke mana.

“Tak ada apa-apa makcik.” Aku memicit kepala yang sedikit pening dan bingkas bangun. Orang sekeliling mula memerhatikanku.

Makcik yang tidak aku kenali berlalu seraya menghadiahkan sebuah senyuman kepadaku. Aku membalasnya.

“Ya Allah, dompet aku,” kataku perlahan setelah menyedari poket belakangku kosong.

Aku menggelabah. Dompet di dalam poket sudah dicopet malaun yang meraba aku tadi. ‘Apa aku nak buat ni?’

Aku duduk bersila di bahu jalan. Mengenangkan nasib yang bakal aku lalui hari demi hari. Esok akan mula berpuasa. Aku tongkatkan dagu. Tidak tahu apa yang harus aku lakukan.

###

“Eh!” Aku terkejut. Saat mengelamun begitu, bahuku ditepuk dari tepi.

“Maafkan saya kalau saya buat kamu terkejut. Nama saya Helmi.”

Helmi menghulurkan tangannya pada aku untuk berjabat. Aku mengetap bibir seraya menyambut salam tangannya.

“Saya mengekori kamu tadi. Laju sangat kamu berlari. Tak terkejar saya.”

Aku diamkan sahaja. Helmi dan wajahnya terlalu asing untuk aku mengingatinya.

“Isteri saya di sana.” Helmi menunjuk ke arah seorang wanita. Kemudian Helmi duduk di sebelahku.

Aku tidak menunjukkan reaksi apa-apa. Mataku sekadar memandang sekejap ke arah wanita itu kemudian memaling ke arah lain.

“Tangan kamu luka.”

“Tak mengapa. Sedikit sahaja.”

“Nanti melarat. Saya bawa awak ke klinik.”

Aku hanya tersenyum. Kini jelaslah, dia lelaki yang menjerit ke arahku tadi.

###

“Ini yang terakhir untuk hari ni. Kalau tak dapat juga, aku cari lagi hari esok.”

Aku melangkahkan kaki masuk ke Pustaka Minerva, sebuah kedai buku yang terletak berhampiran dengan kompleks beli-belah Sogo.

Aku menghampiri juruwang di kaunter bayaran.

“Encik, ada kerja kosong tak?”

“Tak adalah dik. Sini semua dah penuh.”

“Tolonglah encik. Dah dua minggu saya datang ke sini cari kerja. Tapi satu pun tak dapat.”

“Betul dik, kat sini semua dah penuh. Kat Sogo dah tanya dah?”

Aku mengangguk dengan penuh hampa.

“Dia kata apa?” Tanya juruwang itu.

“Dia kata untuk raya nanti adalah kosong. Sekarang ni semua dah penuh.”

“Maaflah dik, saya tak dapat nak tolong.”

“Tak apalah Encik. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Aku melangkah keluar dari Pustaka Minerva. Di hadapan pintu keluar, aku menunduk mengenangkan nasibku.

‘Maafkan saya mak.’ Lantas aku terkenangkan emak yang berada di kampungku di Kelantan.

Aku membuka langkah untuk pergi dari situ. Kekecewaan untuk hari ini harapnya akan terubat pada hari esok. Itulah harapanku setiap hari di sini.

“Aduh.”

Aku dirempuh oleh seorang lelaki yang agak besar badannya. Terbaring aku dilantai dan aku dihempapnya.
Tanpa berlengah lelaki itu terus bangun dan melarikan diri.

Aku duduk. Tulang belakang mula terasa sengalnya. Aku membelek siku tangan kanan yang terasa pedih. Ada sedikit luka dek terheret lantai simen.

Mataku tertancap ke sebuah beg duit wanita berjenama terkenal terletak disebelahku. Aku mengambilnya.
“Hoi! Jangan lari.” Terdengar suara menjerit dari seberang jalan.

Suara jeritan itu mengejutkan aku. Beg duit wanita yang aku pegang tercampak semula ke lantai. Aku bingkas bangun dan berlari sekuat hati, tidak mahu menambah beban masalah yang sedang aku pikul.

###

“Nama kamu apa?”

“Akram,” jawabku ringkas.

“Masih belajar?” Soalan Helmi menghentikan lamunanku.

Aku gelengkan kepala.

“Sudah bekerja?"

Aku menunduk. Soalan Helmi itu aku diamkan sahaja tanpa sebarang jawapan.

“Tinggal di mana?”

Aku merenung tepat ke arah mata Helmi. Kemudian aku lempiaskan pandangan keluar, memandang ke arah marmar yang menjadi hiasan dataran Masjid Negara.

Helmi mencuri pandang ke sebelahku. Terdapat sebuah beg galas yang aku gunakan sepanjang aku berada di sini.

“Asal mana?”

“Kelantan.” Jawabku ringkas.

“Kamu datang ke Kuala Lumpur mencari kerja?”

Aku mengangguk.

“Dah dapat?”

Aku menggeleng. Dua minggu berada di sini, hampir semua kedai aku masuk. Semuanya memberi jawapan yang sama. Tiada kerja kosong yang menanti diisi. Dari sekecil-kecil kedai, sehinggalah pasaraya besar semuanya memberi jawapan yang sama. Ke sana dan ke mari aku hanya berjalan kaki, sehinggakan tapak kaki aku menjadi keras.

Aku merenung jauh, mataku realitinya seperti melihat apa yang berada di sekitar. Tapi yang nyata, ia melihat setiap kenangan dua minggu di sini.

“Saya datang dari Kelantan dua minggu lepas dengan harapan yang tinggi mahu mencari kerja. Sampai di Kuala Lumpur, dompet saya dicuri oleh penyeluk saku. Saya tak tahu mahu ke mana. Duit tiada. Pengenalan diri tiada. Esoknya saya terus berpusing-pusing disekitar sini mencari kerja. Sekurang-kurangnya kalau tidak bergaji pun, saya ada tempat berteduh untuk sementara waktu,” luahku.

“Jadi kamu menjadi gelandangan?” Helmi meneka.

Aku mengangguk. “Di situlah tempat saya tidur.” Aku menjuihkan ke arah lantai marmar terbuka di perkarangan Masjid Negara yang berbumbungkan langit. “Itu teman-teman saya tidur waktu malam. Nasib kami hampir serupa semuanya.” Aku menunjukkan ke arah beberapa wajah-wajah yang aku kenali. “Di bilik air masjid tempat saya membersihkan diri,” sambungku.

Helmi sekadar menjadi pendengar. “Syukur, sepanjang puasa ini, saya berbuka dan bersahur di sini sahaja. Mereka menyediakan makanan, jadi dapatlah saya menghilangkan lapar dan dahaga. Nanti habis bulan puasa...” Aku tidak dapat meneruskan kata-kata.

“Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih sebab dapatkan semula beg duit isteri saya.”

“Sama-sama. Tapi saya tak buat apa-apa pun. Pencuri tu yang terlanggar saya,” balasku dengan senyuman yang sinikal. “Manusia gelandangan macam kami ni, orang pandang hina. Tapi hidup kami, kami sahaja yang tahu bagaimana peritnya. Manusia hanya tahu menilai dan menjatuhkan hukuman.”

Aku kehilangan kata-kata. Helmi juga diam.

“Kalau awak nak cari kerja, saya boleh tolong. Saya mencari pekerja.” Helmi bersuara dari diam yang panjang.

“Betul ni?” Aku membeliakkan mata. Kesabaranku yang diuji nyatanya dibayar.

“Iya, saya memerlukan seorang pembantu untuk menguruskan pelanggan-pelanggan saya. Saya dan isteri adalah ejen insurans. Pelanggan saya bertambah hari demi hari. Jadi saya mahu kamu bantu saya menguruskan pelanggan-pelanggan saya. Saya tak mampu untuk menguruskannya berdua sahaja.” Helmi tersenyum.

“Bila saya boleh mula?” Aku tersenyum.

“Bila awak nak mula.”

“Sekarang boleh?”

“Syarikat tidak beroperasi malam.” Helmi menekup mulutnya dan tertawa kecil. “Kalau ia pun, berbuka puasa dulu. Nanti selepas solat terawikh kita jumpa di sini semula. Nanti awak ikut saya balik. Buat sementara waktu awak boleh tinggal di rumah saya.”

“Alhamdulillah.”

Aku bingkas bangun dan meninggalkan Helmi.

“Akram, nak ke mana tu?”

“Solat sunat dua rakaat dan sujud syukur.”

Aku melemparkan senyuman ke arah Helmi. Aku yakin, dia dan isterinya ikhlas.

1 comment:

AnakPakZohar said...

best... cerita yang lain dari yang lain... kadang2 yang jadi gelandangan, bukan kehendak mereka nak jadi begitu kan. masyarakat selalu pandang negatif.. hurmm..