Thursday, April 29, 2010

Cerpen: Warkah Buat Abah

Justify FullAssalamualaikum Abah,

Abah apa khabar? Abang harap Abah sihat. Abang rasa inilah kali pertama Abang tulis surat buat Abah dan mungkin surat Abang yang terakhir untuk Abah. Pertama sekali Abang nak ucapkan Selamat Hari Bapa buat Abah. Maaflah Abah, Abang tengah belajar. Nanti Abang dah kerja dan ada duit, Abang bagi hadiah untuk Abah.

Abah, terlalu banyak kenangan pahit dan manis dengan Abah. Abang nak ucapkan terima kasih atas semua kenangan yang Abah bagi untuk Abang. Terima kasih atas pengajaran kehidupan untuk Abang dari Abah.

Abah, Abang tak tahu sejak bila Abang pandai sebut nama ‘Abah’. Mungkin masa tu Abang baru mula pandai bercakap agaknya. Mungkin masa tu Abang masih pelat sebut nama ‘Abah’ dan ‘Emak’. Tapi yang pasti, kita keluarga bahagia masa tu kan. Betul tak Abah? Abah terharu tak masa mula-mula Abang tahu sebut nama Abah?

Abah, Abang sebenarnya tak berapa nak ingat kenangan masa Abang kecil. Mak selalu cerita. Abang menangis minta berkat (Nasi yang dibungkus sebagai cenderahati tetamu) masa kakak kahwin. Mesti Abah malu dengan kelakuan Abang masa tu. Iyalah, Mak cakap Abang menangis tergolek-golek di halaman rumah. Bila Abah bagi berkat tu barulah Abang diam. Lepas tu Abang bawa ke hulu ke hilir berkat tu. Abah, Abang baru je tiga tahun masa tu. Mana Abang tahu berfikir secara kanak-kanak yang boleh berfikir. Tapi kan Abah, kalau Abah nak tahu, disebabkan berkat itulah buat orang ingat tentang Abang. Bila mereka jumpa Abang, mesti meraka cakap, “Ini yang dulu kecil-kecil menangis minta berkat. Isk isk isk dah bujang dah sekarang, dah besar panjang”. Abang cuma mampu senyum saja Abah. Mesti Abah bangga anak Abah dah besar.

Abah, dulu masa sekolah Tadika, selalu Abah hantar Abang pergi sekolah. Abang bangga sebab ada Abah. Lepas tu, Abah tumpangkan anak-anak jiran sekali. Penuh motosikal kita kan Abah. Kadang-kadang Abang tumpang Ayah jiran. Seronoknya zaman kanak-kanak Abang masa tu Abah. Terasa Abahlah yang terbaik kat Dunia ni untuk Abang. Abang masih ingat belanja sekolah masa tu. 20 sen je Abah bagi. Walaupun sedikit, tapi cukup bagi Abang Abah. Nak tahu tak kenapa? Sebab 20 sen campur dengan kasih sayang Abah. Mestilah cukup. Sebab Abang tahu Abah sayangkan Abang.

Abah, ingat tak Abah rajin bawa rombongan ke utara dan pantai timur. Seronok kan Abah. Abang rasa gembira sangat. Kecik-kecik dah melancong ke Langkawi, Kelantan, Terengganu. Abang nak ucap terima kasih pada Abah. Terima kasih sebab bawa bas pelancong. Abang tak malu bagitahu kawan-kawan di sekolah Abang yang Abah pemandu bas.

Abah, pernah sekali masa tu. Abah hilang. Abang tanya mak mana Abah. Mak pun tak tahu. Abang risau sangat dengan Abah. Masa tu Abang menangis tau Abah. Mana Abah pergi. Abang doa yang Abah selamat. Abang kecil lagi. Abang tak nak kehilangan Abah. Tiga hari lepas tu barulah Abah balik. Abah tahu tak, Abang lah orang paling gembira bila nampak kelibat Abah. Umur Abah masih panjang. Allah makbulkan doa Abang.

Abah, masa kecil-kecil dulu, Abang tak suka makan. Sebab itulah Abang kurus melidi. Bila malam Abang selalu menangis, sebab perut Abang kembung masuk angin. Abah marah-marah sebab tak dapat nak tidur asyik dengar Abang merengek saja. Abah cakap nak campak Abang keluar rumah kalau Abang tak berhenti menangis. Sakit hati Abang bila dah besar-besar mak cerita balik kat Abang. Nasib baiklah mak pujuk Abang suruh diam. Lepas tu mak sapu minyak angin kat perut Abang. Bila Abang fikir semula, Abang tahu Abah penat kerja cari duit. Abah perlukan rehat. Abang minta maaf ya Abah, terima kasih untuk Abah atas penat lelah Abah.

Masuk darjah satu mak belikan Abang basikal. Abang suka sangat. Sejak tu Abang tak pernah minta Abah hantar Abang pergi sekolah. Abang pergi sekolah naik basikal dengan anak-anak jiran. Abah kecil hati ke dengan Abang masa tu? Maaf ya Abah. Abang terlalu seronok pergi sekolah sendiri. Abang nak belajar berdikari. Anak Abah semakin membesar. Maafkan Abang untuk yang ke berapa kali ya Abah.

Abah, Abah ingat tak. Masa Solat Maghrib, Abah jadi imam. Mak, Abang dengan adik jadi makmum. Abang rasa dah dewasa sangat masa tu. Abang rasa bangga dengan Abah. Rasa sempurna hidup Abang. Ada mak, ada adik, yang penting sekali ada Abah.

Abah, mesti Abah tak bangga dengan Abang kan? Abang tak pandai macam adik. Adik kat sekolah selalu dapat nombor satu. Abang tak pernah dapat pun. Hadiah terbaik mata pelajaran pun tak pernah. Satu hadiah pun Abang tak pernah dapat. Abang tahu, Abah tak bangga dengan Abang. Abah, Abang ingat lagi masa Abang darjah empat sekolah agama, Abang tak lulus. Nasib baik masa tu periksa pertengahan tahun, kalau tidak Abang mesti gagal naik darjah. Abang gagal subjek teras yang menyebabkan Abang gagal keseluruhannya. Abah tak nak tandatangan buku laporan peperiksaan Abang. Abang rasa nak menangis depan Abah. Lepas tu Abah marah-marah, Abah cakap kalau Abang tak lulus periksa akhir tahun, Abah tak nak bayarkan yuran tahun depan. Abah suruh Abang bayar sendiri. Mak pujuk Abang, buku laporan tu Mak tandatangan bagi pihak Abah. Abah, lepas tu Abang belajar rajin-rajin supaya Abang tak gagal. Tapi Abah tak pernah bangga dengan Abang pun. Tak pernah dapat ucapan tahniah dari Abah. Hadiah sudah tentu jauh sekali. Tapi Abang tak minta semua tu Abah. Abang cuma nak Abah jaga Abang dengan keluarga kita baik-baik. Bagi makan pakai cukup. Abang tahu kita bukan orang senang.

Abah, sekali lagi Abang kecewakan Abah. UPSR Abang cuma dapat satu A. Abang tahu Abah malu dengan Abang. Abah, cuma itu je yang Abang mampu capai. Sejak itu Abah tak bangga dengan Abang. Abah bangga dengan adik. Tapi Abang tak pernah cemburukan adik. Sebab Abang tahu setakat itu saja kemampuan Abang. Malah Abang sendiri bangga dengan adik dan pencapaian adik. Macam mana pun Abang kecewakan Abah, Abang tetap sayangkan Abah.

Abah, pernah satu hari raya tu, Abah dapat rezeki lebih, Abah bagi duit raya banyak sangat, RM50. Masa tu Abang baru tingkatan satu. Abang baru nak meningkat remaja. Zaman tu ekonomi masih kukuh. Bagi Abang nilai tu begitu besar buat Abang. Abah, terima kasih Abah sebab sayangkan Abang dan sempurnakan hidup Abang.

Kadang-kadang cuti sekolah, Abang ikut Abah bawa bas kilang Abah tu. Masa tu Abah kerja tetap bawa bas kilang. Teringin nak ikut Abah pergi kerja. Tak sangka Abah. Sebelum subuh dah kene keluar rumah. Susah rupanya cari duit untuk memberi kita sekeluarga makan kan Abah.

Abah, Abah tau tak yang Abah tak pernah langsung marahkan Abang. Yang Abang ingat sekali saja Abah marahkan Abang, Mak suruh solat tapi Abang bermalas-malasan untuk solat awal. Lepas dua tiga kali Mak cakap. Abah melenting sampai nak tampar pipi Abang, Abang takut sangat masa tu. Itulah pertama kali Abah marah Abang. Tapi Abah. Kenapa Abah tak pernah rotan Abang Abang? Abang pelik lah Abah. Marah Abang pun jarang. Sampai sekarang Abang fikirkan kenapa Abah tak pernah nak marah Abang. Padahal mak selalu marah Abang. Mungkin Abah sayangkan Abang, sebab itu Abah tak marahkan Abang.

Masa tingkatan satu Abang mula belajar rajin-rajin. Abah tahu kan Abang minat sains dan matematik. Abang selalu cemerlang dengan dua subjek tu. Tapi Abang tahu, Abang masih tak boleh lawan adik. Abang tak mampu buat Abah bangga. Kalau Abah nak tahu, masa tu Abang jadi antara pelajar kesayangan cikgu-cikgu di sekolah. Semua cikgu suka Abang. Abang antara pelajar terbaik waktu tu. Iyalah, Abang sekolah biasa saja. Pandai juga Anak bujang Abah ni sebenarnya, betul tak Abah? Cuma Abang ni pemalas, tapi Abang dah mula rajin waktu tu.

Abah mesti ingat lagi ada orang fitnah Abah. Dia kata Abah dah kahwin lain masa Abang tingkatan satu. Mak merajuk malam tu. Tak balik rumah. Abang, Abah dengan adik je kat rumah. Tak sangka Abah kuat semangat. Kita pergi cari mak yang merajuk. Sedih pun ada, kelakar pun ada kan Abah. Satu malam mak tak balik. Rupanya macam ni, orang dah kahwin kalau merajuk. Mak pun satu, kenapa dia tak tanya Abah dulu.

Satu hari Abah bersiap-siap nak pergi kelantan. Mak tanya Abah nak pergi mana. Abah cakap Abang nak hantar orang pergi menikah kat kelantan. Mak cakap, orang menikah ke Abah yang nak menikah. Abah nafikan. Tapi Abang tak sangka Abah sanggup buat kami macam ni. Masa Abang tingkatan dua Abah menikah lagi satu. Kenapa Abah? Kenapa mesti Abah menikah lagi satu? Salah Abang ke. Kalau salah Abang, Abang minta maaf banyak-banyak. Abah, Abang ni tanggungjawab Abah lagi.

Abah, sejak itu Abang mula kehilangan Abah. Abah dah jarang balik rumah. Abah tahu tak pelajaran Abang teruk. Abang gagal belajar dengan baik. Cikgu-cikgu di sekolah mula tak suka dengan Abang. Subjek pun ada yang gagal sewaktu Abang periksa. Abang tak dapat nak tumpukan perhatian Abang pada pelajaran. Abah mesti tak tahu kan masa tu. Sebab Abang dah tak penting lagi dalam hidup Abah. Abah dah gembira dengan keluarga baru Abah. Mak tertekan kerana Abah. Adik pun sama. Keputusan periksa dia pun teruk. Mak dah takut kami akan teruk dalam pelajaran. Semua ni berpunca dari Abah. Abah yang bersalah dalam hal ni. Sejak hari tu Abang mula benci dengan Abah. Abah tahu tak yang Abang sangat bencikan Abah. Kerana Abah, masa depan Abang dengan Adik hampir musnah. Abah suka kalau anak-anak Abah jadi sampah masyarakat?

Sejak Abah kahwin, Abah lupa tanggungjawab Abah. Abah tak hiraukan Abang, adik dengan mak. Abah, kami hilang tempat bergantung. Mujur mak ada kawan-kawan memberi semangat untuk dia. Sejak itu, Mak berniaga kuih secara kecil-kecilan. Alhamdulillah Abah, rezeki kami murah walaupun Abah dah lupa tanggungjawab Abah. Memang tidak mewah, cukup makan pakai, lepas duit yuran sekolah, dah syukur sangat-sangat. Mana Abah masa tu?

Abang semakin benci Abah bila Mak Long buat cerita mak tak pandai jaga suami. Dia kata kami adik-beradik , anak yang tak tahu mengenang budi Abah dan tak sedar diuntung. Abah tahu tak semua tu. Abah tahu tak kami sangat tertekan. Sejak hari itu kami tak baik dengan Mak Long. Kami benci Mak Long. Sampaikan sewaktu Hari Raya, kami tak pergi rumah Mak Long. Tapi kami tahu, sampai masa nanti kan terbukti siapa yang benar dan siapa yang salah.

Abah, masa Abang tingakatan tiga, Abang selalu balik sekolah lambat. Abah tahu tak kenapa? Sebab Abang dah bosan nak balik rumah. Di rumah dah tak ada keseronokan. Abah dah tak ada. Lebih baik Abang belajar di sekolah. Ada kawan untuk teman Abang belajar. Sekurang-kurangnya Abang tak rasa kehilangan Abah kat rumah.

Abah, pernah tak Abah ambil tahu pelajaran Abang masa tu. Abah, semakin lama semakin benci Abang pada Abah kalau Abah nak tau. Abang dapat empat A saja untuk PMR. Itu saja yang Abang mampu beri pada Abah. Abah mesti bangga kan adik dapat lima A masa tu untuk UPSR dia. Abah, Abang minta maaf Abang kecewakan Abah. Tapi Abang tetap benci Abah. Sampai bila-bila Abang akan benci Abah. Kekecewaan tu adalah hadiah dari kebencian Abang terhadap Abah. Kalau Abah kecewa dengan Abang, Abang akan tersenyum puas. Abah yang buat Abang jadi macam tu. Abang nak Abah rasa betapa kecewanya Abang dengan Abah. Tapi, Abah tak pernah nak hiraukan semua itu kan. Kenapa Abah buat Abang jadi orang asing dalam hidup Abah.

Abah, tahun itu juga Abang dapat tahu kilang tempat Abah kerja bankrupt. Abang senyum puas. Allah dah mula duga Abah. Allah balas semua perbuatan Abah yang tidak tahu menjadi bapa yang bertanggungjawab. Abang ingat sampai sekarang Abah. Sejak itu hidup Abah susah. Sikit pun Abang tak tolong Abah kan. Tapi Abah, Abah yang pilih jalan hidup Abah. Abang tak pernah halang Abah untuk pilih jalan hidup itu. Allah tu maha Adil. Hidup mak long pun berubah sama sekali. Allah dah tunjukkan siapa benar siapa yang salah.

Selepas itu mak paksa Abang pindah sekolah. Abang degil dan keras kepala tak nak pindah sekolah. Mak cakap, cuba jangan keras kepala macam Abah. Abah tahu tak yang Abang menyirap sangat masa itu bila mak samakan Abang dengan Abah. Abah lain, Abang lain. Tak sama. Abah jahat sebab tinggalkan Abang. Abang baik sebab jaga mak dengan baik. Mak, tolong jangan samakan Abang dengan orang yang paling Abang benci. Abang tak suka. Nak tak nak Abang terpaksa pindah sekolah baru walaupun Abang tak setuju nak pindah sekolah. Abang pindah sekolah sebab tak nak jadi keras kepala dan degil macam Abah. Semua tu sebab Abang benci Abah sangat-sangat.

Masa tingkatan empat, lapan bulan Abah tak balik rumah dan jenguk kami. Abah tahu tak yang Abang makin benci Abah sejak itu. Abah tahu tak yang Abang berdendam dengan Abah. Masa itu Abang dengan mak je yang kat rumah. Adik pergi asrama. Abah tak kesiankan Abang dengan mak ke? Dah lah Abang dengan mak je kat rumah. Memang Abah kejam dengan Abang. Abang tak sangka Abah sanggup seksa Abang macam tu. Abah, kadang-kadang Abang terlupa yang Abang ada Abah. Lepas itu Abah balik, Abah cuma gaduh dengan mak. Bosanlah Abah, macam tu baik Abah tak payah balik jenguk kami. Peluk bini Abah yang gemuk tu lama-lama. Jangan balik rumah semata-mata nak sakitkan hati Abang yang memang dah sakit.

Abah tahu tak, sejak tingkatan dua, Abang tak pernah buat kerja sekolah Abang. Apa Abah peduli. Abah bukan pernah tengok buku sekolah Abang pun. Abah bukan pernah nak tengok rekod belajar Abang pun. Abah tak pernah nak ambil tahu hal Abang dengan mak. Abang ni makan ke, Abang ni ada duit ke. Abang tak pernah nak hiraukan langsung kami kan? Argh, bencinya Abang pada Abah.

Abah, berpunca dari Abah lah Abang hampir musnahkan hidup Abang. Abah pernah sedar tak yang Abah lah yang buat Abang jadi macam ni. Abang tak fikirkan apa pun masa nak SPM. Yang Abang tau, Abang nak habiskan sekolah cepat-cepat. Lepas tu Abang nak kerja. Abang nak tolong mak. Abang kesiankan mak sebab dah tak ada siapa yang kesiankan mak. Mana Abah masa tu? Abah sibuk dengan dunia khayalan Abah sampai Abah terlupa, beban yang akan kami tuntut di akhirat nanti.

Tapi Allah tu maha adil. Dia tunjukkan Abang jalan untuk Abang merintis kejayaan. Walaupun tak cemerlang, tapi Abang dapat pangkat satu. Abah tak pernah nak ambil tahu pun. Tahniah pun tak ada kan Abah. Kejam Abah pada Abang. Sampai sekarang Abang tak akan maafkan Abah. Abah, bukan senang untuk Abang dapat keputusan sebegitu dalam keadaan Abah yang tak pernah ambil peduli tentang Abang.

Lepas tu Abang dapat tawaran universiti. Abah langsung tak tanya apa-apa. Jenuh Abang kerja lepas SPM kumpul duit nak biayai yuran masuk dan semua persediaan Abang. Abah memang dah tak ada dalam kamus hidup Abang lagi. Semua Abang buat sendiri. Abang pergi Jabatan Pendaftaran Negara uruskan surat beranak Abah yang hilang. Semua urusan Abang buat. Abah buat apa untuk Abang? Sampai satu tahap Abang kena pergi rumah Abah. Semata-mata nak dapatkan tandatangan Abah yang hodoh tu dan buat pertama kalinya juga Abang jumpa perempuan yang paling Abang benci dalam hidup Abang. Abah, buat pertama kalinya Abang buang Abah dari hidup Abang. Abang dah mula tak kenal Abah lagi. Kalau lah Abang mampu lupakan Abah, Abang dah lupakan Abah dah. Dalam hati Abang, Abah dah mati rohnya dalam hati Abang, walaupun jasadnya masih terbayang di mata.

Pagi-pagi nak daftar, Abah balik rumah. Pelik Abang, kenapa Abah buat semua tu? Abah nak hancurkan kegembiraan Abang yang sedikit ni ke? Abang tak nak tengok muka Abah? Abang benci Abah. Sampai bila-bila pun Abang tak akan terima Abah dalam hidup Abang. Mood Abang nak masuk universiti terus hilang. Semua gara-gara Abah. Abang tak suka tengok muka Abah. Abang benci Abah. Bersungguh-sungguh Abang bencikan Abah. Pandang muka Abah pun Abang tak mahu, jangan harap Abang nak dengar kata-kata maaf dari mulut Abah.

Abah, pernah sekali mak dah tak ada duit sangat. Abang nak minta duit dengan mak untuk belanja bulanan. Lepas tu mak cakap mak tak ada duit. Mak cuba tanyakan Abah. Abah cakap Abah tak ada duit. Abah, semenjak Abang belajar jauh. Inilah pertama kali Abang minta duit dengan Abah. Abang kecil hati dengan Abah. Sanggup Abah bagi makan anak orang dari anak Abah sendiri. Sejak Abah lupa tanggungjawab Abah, inilah pertama kali Abang minta duit dari Abah. Abang kecewa dengan Abah, sungguh Abah.

Abah, pernah masa belajar, Abang sesak duit. Dalam dompet tak ada duit. Duit Abang tinggal 20 sen je. Abang tak makan sehari tu. Nasib baik Abang ada stok maggi. Abang susah sangat masa belajar. Mak bagi duit cukup-cukup. Abang kena pandai berjimat. Mak pesan, sesak macam mana pun kita, kalau boleh jangan pinjam duit dengan orang. Itu pesan mak yang Abang pegang sampai sekarang. Disebabkan itu juga Abang tak kisah tak makan sehari sebab Abang tak suka menyusahkan orang.

Abah, tahun kedua Abang di universiti, Abang minta mak komputer. Sebab susah nak berulang-alik ke kampus untuk buat assignment. Asyik pinjam dengan pinjam komputer rakan serumah saja. Abang naik segan dengan mereka. Kadang-kadang mereka ada tugasan yang perlu mereka selesaikan. Abang minta Mak duit. Mak suruh minta dengan Abah. Abang ingat lagi Abah pinjam duit dari boss Abah. Abah tahu tak. Buat pertama kalinya Abang puas sebab dapat susahkan Abah. Sebab itu juga lah Abah kena ikat perut. Abang senyum puas sebab perempuan itu pun kene ikat perut. Abah, Abang senyum jahat sangat masa tu. Masa Abah bagi duit tu. Abang cakap terima kasih. Itu saja yang Abang cakap. Kurang ajar kan anak Abah ni. Semua ni Abang buat sebab Abang menyampah tengok muka Abah. Abang bencikan Abah. Abang nak bini Abah, anak-anak tiri Abah dan anak-anak Abah rasa macam mana susahnya hidup Abang dengan Mak dan Adik waktu kami tak cukup duit dulu. Abang bangga sebab Abang berjaya buat Abah merana.

Tahun akhir, Abang beli motosikal Abang sendiri. Dari jenis yang Abang idamkan. Abang kumpul duit pinjaman belajar Abang. Abah, Abang ikat perut masa tu. Sehari Abang belanja RM5 atau kurang untuk makan. Abang bawa bekal air pergi kampus. Berat abang susut sangat. Nampak kurus cekung. Kadang-kadang Abang puasa Abah. Memang seksa. Abang beli motosikal tu sebelum raya. Abah cakap, kenapa beli yang tayar dua, kenapa tak beli yang tayar empat terus. Abang perli Abah, kalau beli yang tayar empat, Abah nak bayarkan bulan-bulan untuk Abang ke. Untuk Abah sendiri pun tak cukup. Dalam hati Abang cakap, kalau tak ada duit jangan nak berlagak dengan aku.

Abah, selama Abang blaja kat universiti. Abah tak pernah jenguk Abang sekali pun. Kesian Abang. Abang tengok kawan-kawan semua ayah mereka ambillah, jenguklah, ada tu yang bapa mereka datang bercuti dan bawa mereka jalan-jalan. Kesian Abang kan Abah. Abah tak pernah nak jenguk Abang. Abang dah hilang kasih sayang Abah. Sepanjang Abang kehilangan Abah, Abang tak pernah borak dengan Abah lama-lama. Abah, Abang teringin nak bagitau Abah yang Abang lulus cemerlang, apa yang Abang buat selama sehari tu. Abang teringin nak dengar suara Abah. Tapi Abang dah tak ada dalam hidup Abah.

Masa Abang konvokesyen, Abang tak nak Abah datang masa Abang konvokesyen. Abah tahu tak semua tu. Abang tak nak orang yang hampir musnahkan masa depan Abang ada depan mata Abang. Abang benci Abah. Mak yang besarkan Abang, bukan Abah. Masa on the way ke konvokesyen. Abah bisik dengan mak, Abang teror jalan KL. Tengok Abang lah Abah. Abah ingat Abang ni kecil lagi ke. Abang dah besar la Abah. Owh lupa lepas Abah kahwin lagi, Abang Cuma membesar beberapa hari di depan mata Abah. Betul tak Abah? Sebab tu Abah tak tahu yang umur Abang masa tu dah 24 tahun dah. Dalam dewan konvokesyen mak cakap, Abah berdiri sambil melambai-lambai Abang dari tempat duduk. Jerit-jerit nama Abang masa Abang amek skroll. Isk Abah ni. Tak malu ke? Tak suka la Abah buat macam tu.

Tahun lepas Abang beli kereta, Abah kata besarnya kereta Abang. Abang diamkan saja. Abang tahu yang Abah bangga anak Abah dah berjaya dalam hidup. Abah tahu tak sebenarnya Abang beli kereta tu sebab nak tunjukkan Abah yang Abahlah yang buat Abang jadi macam ni. Abang nak tunjukkan Abah yang Abah dah sengkek dan Abah dah kehilangan Abang. Jangan harap Abah nak tumpang kejayaan Abah. Abah dah mati dalam kamus hidup Abang.

Abah, kenapa Allah duga Abang dengan Abah sebegini hebat? Orang lain dia tak duga sehebat ni pun Abah. Abang tengok kawan-kawan Abang mesra dengan ayah mereka. Abang segan nak cerita pada kawan-kawan tentang Abah. Bila dia orang tanya tentang Abah, Abang diamkan saja. Paling tidak pun Abang buat-buat tak dengar. Lama-lama mereka pun dah tak nak tahu pasal Abah.

Abah, sejak Abang kehilangan Abah. Abang doa tiap-tiap hari selepas solat yang Abah kembali pada keluarga kita. Tapi doa Abang tak dimakbulkan. Tapi Abang tak pernah putus-putus doa untuk Abah. Abang doa Abah tetap sayangkan Abang.

Abah, malam tadi Abang teringatkan Abah. Abang sms kawan Abang cakap Abang teringatkan Abah. Tadi masa solat jumaat airmata Abang asyik bergenang saja. Hari ini seharian Abang teringatkan Abah. Abah tahu tak, anak Abah dah besar. Dah tak bencikan Abah. Bila tengok kawan yang tak ada ayah, Abang bersyukur sebab masih ada Abah. Tapi Abang ada Abah serupa macam tak ada Abah. Abah tak kesiankan Abang ke?

Abah, dah lama Abang tak beraya dengan Abah. Abang teringin sangat nak peluk Abah. Cium tangan Abah. Minta maaf banyak-banyak dengan Abah. Sebelum ni setiap kali hari raya. Abang Cuma salam dan cium tangan Abah saja. Lepas tu Abang menyampah tengok muka Abah. Abang keluar rumah lepak dengan member. Abang balik lambat, bangun lambat. Abang tak hormat Abah. Abah, bagi Abang peluang. Abang nak jumpa Abah, salam tangan Abah, cium Abah. Abah, Abang teringin nak dengar yang Abah cakap Abang sayangkan Abang. Paling tidak pun, Abah sebut Abang ni anak Abah. Cukup lah Abah. Abang tak nak minta banyak-banyak. Abang nak peluk Abah lama-lama. Abah, dah 12 tahun Abang kehilangan Abah. Abang nak manfaatkan hari-hari kita bersama.

Abah tahu tak kita banyak persamaan. Abah degil Abang pun degil. Abah keras kepala Abang pun keras kepala. Muka kita saling tak tumpah kan Abah. Abang tinggi dan agak berisi sikit nak dibandingkan dengan Abah. Kulit Abang cerah sedikit dari Abah. Itu saja yang membezakan kita kan Abah. Abah nak tahu tak yang Abang mewarisi satu bakat Abah. Abang pandai menyanyi. Tapi suara Abang tak sedap macam Abah. Suara Abah hebat.

Abah, anak Abah ni dah tak marahkan Abah, dah tak bencikan Abah. Abah tahu tak, Abang pernah terfikir nak belikan rumah untuk Abah lepas Abang habis belajar. Abang tak nak Abah duduk kat pondok buruk tu lagi. kesian Abang tengok Abah. Tapi kan Abah, bila Abang tengok muka makcik dengan adik tiri Abang tu, Abang jadi benci pula. Boleh tak kalau Abah duduk dengan Abang?

Abah, Abang baru putus dengan girlfriend Abang. Kami siap merancang nak kahwin dah. Tapi Abang tak sanggup nak kecewakan dia. Abang tak nak ulang kesilapan Abah. Dia kata dia sangat gembira dengan Abang. Tapi Abang tidak. Abang tak gembira, Abang takut untuk teruskan hubungan ni. Tapi Abang tak salahkan Abah dah. Abang yang buat keputusan sendiri. Untuk sekarang ni Abang nak tumpukan pada pelajaran Abang. Girlfriend nanti dululah Abah. Sampai Abang yakin yang Abang tak akan jadi macam Abah baru lah Abang akan kahwin.

Abah, tak lama lagi Abang akan habis belajar. Nanti Abang nak bawa Abah naik kereta Abang tu ya. Abang nak gembirakan Abah saja lepas ni. Abang tak nak benci Abah lagi. Abang nak manfaatkan masa yang ada ini dengan Abah. Abah, Abang nak minta ampun banyak-banyak dari Abah. 12 tahun dah Abang tak pernah minta maaf dengan Abah. Abang nak jumpa Abah, lepas tu peluk Abah, cium pipi Abah. Abang nak jadi harta Abah paling bermanfaat yang Abah tinggalkan kat dunia.

Abah, sejak umur 14 tahun Abang kehilangan Abah. Kalau Abang boleh undur masa kan Abah, Abang teringin nak main layang-layang dengan Abah, nak mandi sungai dengan Abah, nak pancing ikan dengan Abah, main bola dengan Abah. Tapi kita dah terlepas peluang tu semua kan Abah. Jadi Abang harap sangat yang Abang tak akan lepaskan peluang yang mendatang ni.

Abah, selamat hari bapa. Abang sayangkan Abah. Jumpa nanti ya Abah.

Dari Anak Abah,
Abang

11 comments:

Anonymous said...

abang pun saya abah jugak

FaizalSulaiman said...

sedihnya along..huhuhu..tetiba teringat ayah fs;(

FaizalSulaiman said...

sedihnya along..huhuhu..tetiba teringat ayah fs;(

mamaju said...

Salam anakanda
Best sangat kisah ni. Terasa dekat sangat dengan mama.

Tahniah! jangan henti menulis...

akira sendoh said...

yang ni best!!!..sgt menyentuh hati...:)

Cap Api said...

tahniah! cerita ni best..

Amy Syaquena said...

salam ziarah,just follow u follow meback ye

DatinDiaries said...

sedih.....best baca entry nih

NsuchAi said...

terlalu sempurna.. awak dan warkah ini.. teruskan dgn hati yg suci.. :)

hanisah hassan said...

warkah yang menarik. Kisah benar mungkin ya. Semoga Allah melindungi hatimu.

Novel Plus said...

Hi Lisa

Kami Team dari aplikasi Novelplus berbesar hati ingin memaklumkan

bahawa kami berminat untuk menyiarkan novel di blogspot/website

anda untuk dipaparkan dalam aplikasi Novelplus yang kami

bangunkan untuk mobile (android/IOS/mobile web).

Kami dapati novel karya anda garapkan sungguh menarik dan pasti

menjadi pilihan peminat novel untuk membaca. Tugas kami hanya

ingin membantu mempromosikan novel anda agar dikenali ramai

secara meluas melalui dunia dihujung jari. Aplikasi Novelplus ini

boleh dimuat turun melalui App Store (Apple/IOS) dan Play Store

(Android).

Oleh itu, kami ingin meminta kebenaran daripada pihak anda terlebih

dahulu, sekiranya kami boleh menyiar novel anda di dalam aplikasi

Novelplus ini atau tidak.

Jika YA! kami mengharap agar dapat maklum balas dengan segera

daripada pihak anda. Jika TIDAK bersetuju, kami akan hormati

keputusan anda untuk mengeluarkan karya dari aplikasi Novelplus

kami.

Sekian.

Hubungi Kami!
Emel: novelplus.team@gmail.com
Mobile Web: www.novelplus.com.my
Facebook: Novelplus
Twitter: @AppNovelplus
Instagram: Novelplus