Wednesday, September 1, 2010

Loro: Jilbab Episod 7


Tajuk : Jilbab
Penulis : El-Zaffril
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8.08 malam. Chendana Episod 7 akan disiar pada 3 September 2010.

Jilbab (Episod 7)

Air dari bilik mandi tingkat atas kedengaran ditutup. Kemudian, kedengaran pula pintu bilik air dibuka dan telapak kaki mula melangkah di tingkat atas.

“Kau mahu makan?” Melaung suara lelaki dari dari dalam biliknya.

“Aku tidak lapar.” Dia melaung dari bawah.

Seluruh isi ruang tamu direnungnya satu persatu. Dari susunan cakera padat dan cakera padat video yang tersusun, televisyen plasma, pemain cakera padat, kemudian ke set sofa yang tersusun kemas di ruang tamu rumah bujang itu. Gambar-gambar yang tergantung di dinding kemudian dibeleknya satu persatu. Gambar konvokesyen, potret keluarga di hari raya dan juga sebuah potret di atas pentas peragaan.

‘Anak tunggal rupanya. Model pula, patutlah kacak. Boleh jadi calon suami ni.’ Bisiknya dalam hati sambil dia tertawa kecil.

“Iya, aku anak tunggal dan aku juga model.” Lelaki itu tersenyum saat menuruni tangga sambil mengeringkan rambutnya yang basah dengan tuala. Hanya mengenakan seluar pendek paras lutut dan t-shirt tanpa lengan.

“Lupa pula kau boleh mendengar kata hati.”

“Tapi kata-kata makhluk halimunan macam kau saja yang boleh aku dengar. Aku tak boleh mendengar kata-kata manusia biasa.” Lelaki itu duduk di atas sofa.

“Apa nama kau?”

“Uth.”

Uth menjawab ringkas untuk soalan itu. Biarlah itu saja yang diketahui oleh makhluk halimunan yang berdiri di hadapannya. Pasti sedikit demi sedikit gadis itu akan tahu mengenai dirinya.

“Dia?”

“Siapa dia?”

“Yang mengejar kita tadi?”

“Oh, itu Seri.”

“Kenapa dia kejar kamu?”

Uth tersenyum, tidak tahu bagaimana dia mahu menjawab persoalan yang bermain di fikiran gadis itu. Pandangannya dialihkan keluar melalui pintu sorong ke beranda rumahnya. Lampu-lampu luar yang menerangi pemandangan luar begitu mengasyikkan.

“Aku tanya ni, kenapa si Seri tu kejar kau?” Lamunan Uth dikejutkan oleh gertakan gadis yang menumpang dirumahnya.

“Terlalu panjang untuk aku ceritakan pada kau. Nanti satu hari kau akan tahu juga mengapa dia mengejar aku.”

Gadis itu sekadar mengangguk sambil mengerutkan dahinya. Entah faham entah tidak oleh apa yang disampaikan oleh Uth.

“Nama kau pula apa?”

Gadis itu menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Sukar dia mengingati namanya, ingatan hidupnya entah ke mana.

“Aku tak ingat nama aku.” Panjang muncung gadis tiada bernama.

“Manusia halimunan memang selalu hilang ingatan tentang hidupnya.” Uth tersenyum.

“Aku tak ingat siapa aku. Keluarga aku, siapa mereka? Bagaimana aku boleh berada di sini pun masih lagi memeningkan kepala aku.” Gadis itu bermonolong sambil mundar-mandir perlahan di hadapan Uth.

“Sudahlah. Nanti kita cari siapa diri kau yang sebenarnya ya. Duduklah sini sebelah aku.”

“Kau gila! Nanti kalau kita kena tangkap khalwat macam mana?” Gadis itu mencebik.

“Tiada siapa yang boleh menangkap kita berkhalwat. Tidak ramai manusia yang mempunyai kelebihan seperti aku. Mana mungkin manusia biasa tanpa kelebihan seperti aku bisa sewenang-wenang menangkap khalwat kau dan aku. Aku cuma mahu membantu kau. Terpulang pada diri kau sama ada memerlukan bantuan aku atau tidak.”

Uth bingkas bangun menuju ke arah dapur. Hatinya sedikit panas dengan perempuan bermasalah seperti itu, tetapi tidak mahu dibantu.

“Kau nak pergi mana?”

“Aku nak pergi dapurlah. Malas aku melayan perempuan macam kau. Perlukan bantuan, tapi tidak mahu ditolong. Baik aku melayan perut aku yang lapar ni.” Uth mencebik.

"Kau nak masak apa?”

“Masak maggi saja.”

Sesampai di dapur, Uth terus mengeluarkan periuk kecil lalu diisinya air. Sambil menunggu air itu separuh penuh, dia ke kabinet, mengeluarkan dua bungkus mee segera jenama Maggi. Kemudian pili ditutup dan periuk ditenggekkan di atas dapur gas yang baru saja dinyalakannya. Gadis itu hanya membontoti Uth dari belakang.

“Maggi apa yang mahu kau masak. Kenapa tidak letak telur dan sayuran? Letak ayam cincang ke, baru menarik.”

“Resepi ini dinamakan Maggi Pekak sebab ia sekadar Maggi, perencah kari dan juga air. Sekian resepi Chef Uth untuk hari ini.”

“Kenapa kau tak beli saja nasi bungkus? Kan lebih berkhasiat dari makan maggi macam ni.”

Uth memusingkan badannya ke arah gadis itu, mukanya berubah merah menahan rasa marahnya. Bibirnya diketap dengan penuh rasa geram.

“Kau dengar tak suara takdir aku kat luar sana tu. Kau gila nak aku keluar malam-malam begini. Mahu mati aku nanti dikerjakan Seri.”

Uth berjalan memintas gadis yang langsung tidak dikenalinya dan terus ke ruang tamu. Lantas dia duduk di sofa sambil memeluk bantal. Perlahan-lahan gadis itu berjalan ke arah Uth. Niatnya mahu memujuk.

“Uth, janganlah macam ni.”

Uth terus menarik mukanya. Rasa bengang terus menerjah hati dan perasaannya. Air di periuk yang ditenggeknya tadi dibiarkan sahaja sementara menunggu ia mendidih.

“Aku memang sungguh tak ingat apa- apa Uth. Apa yang aku ingat, pengebumian Zamri binti Siti Hajar. Kemudian aku memejamkan mata dan berada di persimpangan lampu isyarat. ”

“Bukit Bintang.” Uth menyampuk, bantal yang dipeluknya tadi masih erat dalam dakapannya.

“Lepas tu, aku di bawa ke sini. Ini malam pertama Aku.”

“Jadi nama kau?”

“Tak ingat la Uth. Sumpah aku tak ingat.”

Gadis itu mengambil tempat di sofa sebelah Uth. Memek mukanya berubah dengan penuh rasa sedih, memohon simpati Uth untuk membantunya.

“Aku bagi kau nama boleh?” Gadis itu mengangguk dengan cadangan Uth.

“Aku bagi kau nama Nur, maksudnya cahaya. Sementara kita cari siapa kau yang sebenarnya.” Uth tersengih kemudian bantal yang dipeluknya itu dicampak sahaja di atas lantai. Uth bangun dan berjalan ke arah dapur untuk melihat air di dalam periuk. Perutnya sudah berkeroncong. Nur mengekori Uth dari belakang.

“Uth, boleh Nur tanya?”

“Boleh.”

Tidak langsung Uth memandang wajah Nur. Matanya galak memandang tangannya yang sedang mengacau air yang sudah mendidih di dalam periuk. Kemudian perencah Maggi berperisa kari itu dituangnya ke dalam periuk.

“Apa maksud Uth yang Nur ni Halimunan?”

“Kau tahu maksud Halimunan.” Uth memalingkan wajahnya ke arah Nur untuk seketika, Nur mengangguk dan kemudian Uth menumpukan ke arah masakannya malam itu.

“Halimunan tu kan apa yang kita tidak boleh nampak.” Nur memberi maksud perkataan halimunan yang difahaminya.

“Itu betul Nur. Nur adalah manusia halimunan yang hanya orang istimewa sahaja boleh nampak.”

“Maksud Uth?” Nur kurang memahami apa yang cuba disampaikan Uth kepadanya, lantas Uth memusingkan badannya terus ke arah Nur.

“Macam ni Nur. Roh Nur sedang berjalan-jalan mencari jasad Nur yang sebenar yang Uth sendiri tidak tahu di mana jasad itu, dan pada perkiraan Uth, Nur sedang koma sekarang ini.”

“Nur kurang fahamlah Uth.”

Nur mengerutkan dahinya, dia masih belum dapat memahami apa yang didengarinya. Sesuatu yang tidak masuk dek akalnya.

“Macam ni lah Nur, esok kita masuk satu persatu hospital. Kita cari jasad Nur sampai jumpa, macam mana?”

“Maksud Uth, jasad Nur dah bercerai dari rohnya, macam tu?”

Uth mengangguk perlahan. Lalu dia memandang semula ke arah masakannya. Air yang sudah dibubuh perencah tadi sedang menggelegak, lalu dimasukkan pula mee maggi sebanyak dua keping dan dikacaunya perlahan. Api dimatikan, dibiarkan sebentar sementara menanti masakannya sejuk.

“Habis tu macam mana kita nak cari Uth, Seri ada di bawah. Habislah kita kalau kita keluar rumah.”

“Seri akan lenyap bila Azan Subuh berkumandang dan dia akan muncul saat menghampiri Maghrib. Kita ada dua belas jam untuk mencari. Kita gunakan sebaik mungkin.”

“Esok Uth tak kerja ke?”

“Esok hari Sabtu da. Uth cuti.”

“Maaf, Nur lupa hari.”

Nur tersengih diusik Uth sedemikian. Wajahnya bertukar merah, sesuatu perasaan yang aneh mula terbit dari hatinya. Terasa berdebar-debar menghadapi lelaki itu.

“Tak apa Nur. Nur boleh guna bilik yang di bawah tu. Bilik Uth di atas. Jangan risau, tiada siapa boleh tangkap kita berkhalwat. Mereka tak nampak Nur.”

Uth mengenyitkan matanya ke arah Nur.

“Lagi satu Nur, buatlah rumah ni macam rumah sendiri dan halimunan seperti Nur ada kelebihan tersendiri. Nur cari kelebihan Nur tu ya.”

“Baiklah Uth. Terima kasih kerana membantu Nur.”

Nur mengukir senyuman sambil memerhati Uth menuang magginya ke dalam mangkuk. Dirinya terasa selamat berdampingan dengan lelaki yang berada disisinya itu.


No comments: