Wednesday, April 14, 2010

Bab 26: Pujuk


Sebuah kereta BMW putih memasuki perkarangan Masjid Duta. Lantas enjinya dimatikan. Pintunya dibuka.

Ainal keluar dari perut kereta BMW putih milik ayahnya itu. Berbusana serba putih dari tudung hinggalah ke kasut putih.

Cepat-cepat dia meminta telefon bimbit dari Ibunya. Lantas, ditekan papan kekunci telefon bimbitnya. Didailnya nombor telefon Amir.

“Sayang, you kat mana. I dah sampai dah.”

“Kejap-kejap, I dah ada kat depan Hentian Duta.” Pantas sahaja dijawab Amir di hujung talian.

“Ok, cepat sikit. I tunggu.”

Talian diputuskan, Ainal memulakan langkah untuk masuk ke dalam Masjid. Berdebar-debar degupan jantungnya saat-saat menghadapi hari bersejarah dalam hidupnya. Tambahan pula dia bakal memiliki insan yang sangat dicintainya sekian lama.

Masih lagi teringat bagaimana dia memujuk Amir setelah peristiwa Amir merajuk di pusat membeli-belah The Mines. Terasa amat sukar sekali, sehingga dia hampir berputus asa.

*****

“Sayang, I’m sorry ok”

“Sudahlah, go to hell.”

Panggilan dari Ainal diputuskan, Amir yang dari tadi duduk di ruang tamu terus melayan siaran buletin utama.

(Sayang, I’m sorry ok. I tahu I tak sepatutnya macam tu. I promise I akan berubah.)

Ibunya menggelengkan kepala saat melihat Amir mencampakkan telefon bimbit ke sebelahnya. Terus sahaja Fatimah mengambil tempat duduk di sebelah Amir dan sama-sama menonton berita. Fatimah perasan, jasad anaknya memang berada di sebelah, tetapi fikirannya menerawang ke tempat lain. Firasat seorang ibu.

“Akim, Kenapa ni? Ibu tengok kamu muram saja. Dah seminggu Ibu tengok kamu balik awal dari kuliah. Selalunya kamu berkepit tak sudah dengan si Ainal. Tak keluar dengan Ainal ke?”

“Tak...”

Belum sempat Fatimah meneruskan perbualan, telefon di ruang tamu berdering. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya sebelum bangun menyambut panggilan itu. Perbualannya langsung tidak dapat didengari.

“Akim, ni Ainal telefon.” Fatimah menjerit memanggil Amir dari ruang tamu.

“Biarkan mak. Akim taknak cakap dengan dia.” Tidak sedikit pun pandangannya diarahkan kepada Fatimah.

Fatimah meletakkan gagang telefon. Dilihat anaknya mula bangun dan mengatur langkah.

Amir mengatur langkah ke bilik yang berhampiran dengan dapur. Dia terus masuk ke dalam bilik itu tanpa meminta kebenaran pun.

“Adik. Kenapa dalam hidup kita, kita sering membuat kesilapan dalam memilih?”

Amir berdiri disebelah adiknya yang sedang melukis. Diseluk poketnya. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dibiarkan adiknya terus melukis. Diperhatikan sekeliling bilik itu, semakin bertambah lukisan yang tertampal di dinding bilik itu.

“Tak ada cacatnya Ainal tu Abang. Dia cuma perlukan bimbingan.” Tiba-tiba adiknya bersuara.

“Akim! Oh, Akim!” Suara Encik Razak memanggil dari ruang tamu.

“Iya Ayah” Amir menyahut dari dalam.

“Kamu buat apa tu?”

“Borak-borak dengan adik kejap ayah.”

“Mari ke sini. Ayah nak cakap sikit dengan kamu.”

Amir keluar dari bilik adiknya. Berhati-hati dia menutup bilik adiknya itu. Kali ini, dia mengatur langkah pula ke meja makan. Ayahnya baru pulang dari masjid. Ibunya menemankan ayahnya makan malam.

“Mari sini makan sekali.”

Ibunya mempelawa Amir makan. Ayahnya sudah pun mula mengunyah makanan. Berselera sungguh ayahnya makan.

Ibunya mencedok nasi ke dalam pinggan Amir.

“Adik..”

“Biarkan dia. Pandailah dia nak makan nanti. Dia dah besar.”

“Kasihan...”

“Ayah nak tanya kamu. Kenapa kamu marah sangat dengan Ainal tu? Apa salah dia? Tak cukup cantikkah dia untuk kamu?”

Amir hanya diam. Perlahan-lahan dia mengambil gelas minuman di depannya, di hirup perlahan air sirap ais di dalam gelasnya. Soalan ayahnya tidak dihirau langsung.

“Ayah nak kamu nikah dengan Ainal minggu depan. Duit hantaran ayah dah sediakan. Mas kahwin pandai-pandailah kamu. Duit simpanan kamu pun ada lagi.”

“Ayah!”

“Lepas nikah, duduk kat rumah ni atau duduk kat rumah mertua kamu tu terpulang. Ayah tak halang. Master kamu tu, buat part-time. Bapa mertua kamu dah setuju nak bagi kerja pada kamu.”

“Ayah, Akim tak sedia lagi la Ayah.”

“Kamu setuju atau tidak, kamu kena nikah juga dengan Ainal minggu depan.”

Amir diam lagi. Keputusan ayahnya memang sangat sukar, tetapi tidak bisa dihalang keputusan ayahnya itu. Mahu tidak mahu dia terpaksa menurut sahaja.

Ayahnya bingkas mencuci tangan dan terus ke ruang tamu, meninggalkan Amir dan ibunya di dapur.

“Tak sedia apa-apa pun.” Amir menyandarkan badannya ke kerusi kayu meja makan. Bercelaru fikirannya memikirkan tiba-tiba dia bakal menjadi suami orang dalam masa seminggu. Walhal perancangan awal, tahun depan barulah mereka akan disatukan.

“Ibu tahu kamu anak yang sentiasa menurut kata. Baju tu, kita sewa saja. Guna duit Ibu sahaja. Nikah dulu, majlis kita bincang kemudian.” Ibunya memujuk.

Amir lantas membasuh tangan dan meninggalkan ibunya sendirian di meja makan.

No comments: