Tuesday, July 13, 2010

Dentuman Rasa: Wajah

Sudah lama aku tidak masuk ke laman sosial itu. Masa yang seberapa minit ini, aku gunakan sebaik mungkin. Tiada capaian internet di rumah, jadi mengharapkan kampus sahaja tempat untuk aku luangkan masa sebentar di laman maya.

Aku sempat mengerling, ‘Eh, ada kiriman di kantung pesanan.’ Desis hatiku sendiri.

“Salam, Maaf mengganggu. Wajah anda mengingatkan saya pada seseorang.”

Aku hampir tergelak saat menerima pesanan pendek itu, lantas aku buka profilnya. Aku amati gambar lelaki yang berada di sebelah gadis itu, langsung tidak ada yang serupa. Entah di mana kesamaannya, sungguh aku tidak mengerti. Aku balas pesanan itu dengan nada jenaka.

“Salam, Ahaks. Dah ramai cakap muka saya sama dengan ramai orang. Hahaha. Terima kasih. Tetapi Cik kan ada dia, tak perlulah Cik nak samakan dia dengan saya. Saya lain, dia lain. Kalau teringat dia, Cik pergilah jumpa dia.”

Aku tertawa sendiri, bagaimana mungkin wajah ini bisa persis dengan lelaki dalam gambar itu. Aku menggelengkan kepala. Ada juga menggunakan cara ini untuk mengurat di lama sosial. Tidak sampai dua minit, aku menerima kembali balasan pesanannya.

“Salam, Saya bukan Cik. Tapi puan, dan dia telah pergi buat selama-lamanya. Terima kasih.”

Saat ini, sungguh terasa berdosa mentertawakannya. Sungguh, aku tidak tahu. Aku terdiam. Bagaimana mungkin dia melihat kenangan indahnya menerpa kembali saat melihatkan diri aku. Melihatkan umur di profil tadi, umurnya baru saja menginjak ke angka 24 tahun.

“Salam Puan. Maaf kerana tidak mengenali dan tidak mengerti. Al-Fatihah saya sedekahkan buat dirinya. Dan tataplah wajah ini, saya tidak pernah menghalang. Kerana ini adalah pinjaman Allah untuk saya, kamu, dan seisi alam sekeliannya.”

Selepas itu, aku tidak menerima balasan emailnya. Terasa sesak nafas saat diri disamakan orang yang sama sekali sudah tidak wujud dalam dunia ini, dirinya sudah abadi.

Kadang-kadang aku terfikir sendirian, rasanya sudah lebih dari tujuh manusia disamakan dengan aku. Aku geleng kepala. Sukar benar tanggungjawab yang terpempan dibahu berwajah sebegini.

‘Kalaulah aku bisa merubah setiap apa yang ada pada diri aku mengikut kehendak hati. Alangkah mudahnya hidup.’ Aku berbisik dengan diriku sendiri

Aku pantas menutup laman sosial itu, kemudian mendengus perlahan sebelum bingkas bangun dan meninggalkan komputer yang ku gunakan di makmal.

‘Ada hikmah di sebalik setiap kurniaan. Dengan kurniaan ini mungkin bisa buat dia bahagia seketika. Itu kan satu ibadah juga.’ Aku pantas mengukir senyuman, masih ada hikmah setiap kurniaanku terhadap kedukaan orang lain.

‘Dengan wajah yang sama inilah membuat orang benci pada aku. Tak kurang yang cemburu.’ Hati aku terpempan dek rasa kurang senang orang pada diri ini. Pantas terdengar lagu Namun Ku Punya Hati berputar-putardi ruang minda.

No comments: