Wednesday, January 12, 2011

Laila Namamu Teratas Episod 15


Gadis yang di pandangnya semalam kini duduk di atas pangkin sedang khusyuk melukis. Sekejap memandang ke arah laut yang berwarna keemasan permukaannya dek simbahan cahaya matahari senja kemudian kembali melarik penselnya di atas kertas lukisan itu. Sekali-sekala dia memperbetulkan rambutnya yang mengurai ditiup angin yang bertiup lembut.

Sabri menghampiri gadis itu. Hatinya membuak-buak mahu berkenalan. Perlahan-lahan dia berjalan. Kemudian dia bersandar pada pokok yang tegap di sebelah pangkin, pada pokok itu jugalah gadis itu bersandar.

“Hai.”

Tiada reaksi balasan dari gadis itu. Tidak sedikitpun dia mengalihkan pandangan ke arah Sabri dek khusyuknya melukis.

“Awak lukis apa?”

Gadis itu memandang ke arah Sabri dengan wajah yang terpinga-pinga. Soalan Sabri tidak dijawabnya.

Sabri menyeluk poketnya dengan kedua-dua tangan, jantungnya berdegup kencang. Dia mengalihkan pandangan ke lain. Dirinya terpanah oleh pandangan itu. Tiada langsung suara yang kedengaran dari gadis itu.

Sabri kemudian terasa tapak tangannya di goyangkan. Sekeping nota dihulurkan oleh gadis itu. Perlahan-lahan Sabri membuka nota itu.

[Maaf, saya bisu dan pekak.] Tercatat di atas nota itu.

Sabri memandang ke arah lautan. Hatinya terasa sedikit kecewa. Dari kesempurnaaan luaran yang dilihatnya, gadis itu rupanya kurang upaya.

Sabri mengeluarkan telefon bimbitnya lalu dia menekan-nekan butang telefon bimbitnya, menaip sesuatu. Selesai menaip, dia menunjukkan skrin telefon bimbitnya kepada gadis itu.

[Nama saya Sabri, saya mahu berkenalan dengan awak. Nama awak siapa?] Sabri tersenyum.

Gadis itu menggelengkan kepalanya lalu menulis sesuatu dikertas lukisannya, lalu dikoyak bahagian yang ditulisnya dan diserahkan kepada Sabri.

[Saya tak mahu berkenalan dengan sesiapa. Jangan cuba mahu ambil kesempatan terhadap saya.] Tertulis di atas nota itu.

Gadis itu bingkas bangun lalu berlalu pergi meninggalkan Sabri yang masih terpinga-pinga. Sabri berdiri kaku tanpa mengerti apa-apa.

No comments: