Tuesday, December 21, 2010

Laila Namamu Teratas Episod 7




Laila mencampakkan sahaja beg tangannya di atas meja seraya terus kembali ke tempat duduknya. Dia mendapatkan semula tetikus komputer pejabatnya. Lalu laman blog yang menjadi tatapannya sebelum keluar makan tengahhari tadi disambung baca semula.

Bab 6: Tebak
Isnin, 22 Januari 2001

Sahabat baik di rumah perasankan perubahan aku. Dari seorang yang ceria tiba-tiba menjadi seorang pendiam. Katanya aku lebih banyak termenung dan suka bersendirian. Entah, aku sendiri tidak tahu sejak kebelakangan ini aku bisa bersikap sebegitu.

Kata sahabat baik aku lagi, aku akan jadi sangat pendiam dan wajahku merona merah padam saat berhadapan dengan rakan-rakan sekelas wanita aku yang lain. Dia bertanyakan aku, adakah benar aku keluar makan bersama dengan dia minggu lepas.

Aku hanya diam tertunduk membisu, aku tidak tahu bagaimana harus menjawab setiap persoalan yang keluar dari bibir sahabat baikku itu. Perlahan-lahan aku mengangkat wajahku memandangnya.

“Aku sukakan dia. Sungguh, aku tidak sepatutnya berperasaan begini. Aku datang ke sini untuk belajar. Tapi aku sendiri tidak dapat menolak perasaan aku. Entah kenapa aku jadi begini.” Aku menggeleng-gelengkan kepala.

“Tidak salah untuk kau bercinta. Itukan gerak hati manusia yang normal, ingin menyayangi dan disayangi. Ingin dicintai dan mencintai. Ingin didampingi dan mendampingi. Tapi semua itu ada batasnya. Tak salah kalau kau mahu memilikinya.” Sahabat baikku tersenyum.

“Tapi aku malu.”

Tiada sepatah kata dijawabnya selepas itu. Aku hanya diam terduduk di meja belajarku. Memandang ke monitor komputer peribadi aku. Kosong, pandanganku kosong

Yang Benar
Itu Aku.

“Kosong? Tak faham aku.” Laila meneruskan pembacaan ke bab yang seterusnya.

Bab 7: Teman Baiknya.
Rabu, 24 Januari 2010

Kalau kelmarin, aku ditebak pelbagai soalan dari sahabat baikku sendiri. Hari ini giliran teman baiknya pula datang kepadaku. Katanya dia perasankan perubahanku.

Lirikan mata aku sewaktu di kelas, gerak-geri tubuhku, semua diperhatikan sejak kebelakangan ini. Dia selalu nampak aku mencuri pandang kepada dia.

“Kau suka pada dia?”

Soalan teman baiknya membuatkan aku terdiam. Aku tunduk sambil mengetap bibirku, tidak ada jawapan yang bisa aku berikan untuk soalan itu.

“Kalau kau sukakan dia, aku boleh tolong bagitahu dia. Tapi satu saja, dia hanya akan bercinta bila dia habis belajar nanti. Itu janji dia pada keluarga dan aku.”

Aku senyum lalu mengangguk. Terasa tenang hati ini sewaktu diberikan jawapan sedemikian kerana aku juga mahu begitu, bercinta sesudah habis belajar nanti.

Yang benar
Itu aku

“Kasihan.” Laila menggelengkan kepalanya.

Bab 8: Bicara dengan hati
Rabu, 14 Mac 2001

Hampir dua bulan aku tidak menjenguk, tiada banyak perkara manis yang berlaku. Selain memandangnya dari jauh. Memerhatikannya.

Dia tiada telefon bimbit, jadi agak sukar untuk aku berhubungan dengannya. Tetapi tidak mengapalah. Dapat melihat da berbicara dengan hati sendiri juga menarik.

Ah, kenapalah lambat benar rasanya masa berlalu pergi. Aku mahu cepat habis belajar. Aku mahu meminangnya. Aku mahu hidup bersamanya. Ya Allah, kuatkan semangat aku ini.

Peperiksaan bakal menjelma, jadi untuk sahabat-sahabat. Buatlah yang terbaik. Semoga berjaya.

Yang Benar
Itu aku

Laila senyum sahaja membaca. Terasa dekat benar cerita itu dengan dirinya. Bagaimana hatinya keras tidak mahu bercinta sewaktu zamannya sebagai seorang siswazah.

Bab 9: Gagal
Rabu, 4 April 2010

Hari ini, keputusan peperiksaan diumumkan. Aku terus ke pekan berhampiran rumah untuk menyemak keputusan peperiksaan semester ini. Nyatanya, aku amat gemuruh.

Untuk petama kalinya, aku gagal dalam peperiksaan asas. Aku gagal menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran. Ini bermakna aku terpaksa menangguhkan pengajian aku untuk tempoh setahun yang akan datang. Mata pelajaran yang aku ambil hanya akan ditawarkan semester akhir sesi pengajian tahun depan.

Ya Allah, ampunkan dosaku kerana memungkiri janji pada ibu.

Aku membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman. Mencari kekuatan dan menenangkan fikiran. Semoga ketemu lagi tahun hadapan ya kawan-kawan.

Yang Benar
Itu Aku.

“Poor Guy.” Laila berkata pada dirinya sendiri.

Bab 10: Senang benar hati terluka
Isnin, 14 Januari 2010

Aku memulakan kelas yang aku gagal tahun lepas tahun ini pula. Bermakna, dia sudah setahun lebih awal mendahuluiku. Aku masih bertatih-tatih mencari ruang untuk meneruskan pengajian di tahun satu ijazah.

Melalui sahabat baikku, aku mendapat khabar yang dia sudahpun dimiliki. Untuk pertama kalinya, hati aku kecewa. Senang benar hati terluka ya.

Untuk kali kedua, aku berjanji untuk tidak akan bercinta. Itu janji aku.

Yang benar
Itu Aku

‘Kalau kau sayangkan dia, lepaskan saja dia. Siapa-siapa pun engkau, aku tidak kisahlah. Kau mesti seorang yang sangat menarik.’

[Trut Trut] Telefon biliknya yang berdering mengejutkan Laila yang sedang khusyuk membaca laman blog itu.

“Hello Nyah. Jom balik?” Suara Zakiah dari hujung talian.

“Aku bukan nyahlah. Aku perempuan.” Laila menggetap bibirnya geram.

“Perempuan, jom balik?”

“Kau baliklah dulu. Sampai kat pangsapuri kau nanti, aku roger kau ok.”

“Ok, deal. Anyway kau nak makan apa malam ni.”

“Anything will do.”

“Kalau macam tu kita makan kat rumah. Dinner will be at 8.00pm. Don’t be late.”

“Ok, da.”

“Da.”

Talian diputuskan. Laila memandang ke arah jam komputernya, sudah menunjukkan jam 5.00 petang. Dia mengemaskan fail-fail yang letak di atas mejanya.

‘See you tomorrow Mr. Itu Aku.’ Bisiknya dalam hati.

2 comments:

qasehraihan said...

jenguk org yang saya follow di malam hari...


jom jenguk blog saya..best ni..CARA BARU PARA BLOGGER TINGGKATKAN TRAFIK KE BLOG'

qasehraihan said...

jenguk org yg sy follow di mlm hari

jom jenguk blog saya..best ni..CARA BARU PARA BLOGGER TINGGKATKAN TRAFIK KE BLOG'