Wednesday, December 15, 2010

Laila Namamu Teratas Episod 2




Laila baru sahaja selesai mandi. Keletihan sepanjang penerbangan pulang ke Malaysia. Zakiah hanya menghantarnya ke rumah dan menghirup secawan teh, kemudian dia bergegas pulang ke Kuala Lumpur, katanya ada temu janji.

Rambut yang basah, dibiarkan berbungkus dengan kain tuala mandinya. Dengan hanya mengenakan t-shirt putih dan kain batik. Ciri-ciri wanita melayu masih menebal dalam jati dirinya. Dia menapak ke dapur, ibunya sedang sibuk di sana.

Laila melabuhkan punggungnya di kerusi meja makan yang terletak di tengah dapur, memerhatikan ibunya yang sedang membasuh pinggan di sinki. Ibunya menjeling ke arah Laila.

“Kenapa kamu tak bagitahu yang kamu nak balik?” Tidak langsung di pandang wajah anaknya itu.

“Saja tak mahu susahkan mak. Lagipun Laila nak buat kejutan pada mak.” Jawab Laila selamba dengan matanya melilau memandang sekeliling dapur rumah kedua orang tuanya. Dia tersenyum kecil, tiada apa yang berubah langsung.

“Bukan susah sangat pun setakat ambil kamu di lapangan terbang. Melaka ke KLIA bukan jauh sangat pun Laila. Kasihan Zakiah terpaksa hantar kamu. Kalau kamu bagitahu, boleh mak suruh adik kamu bawa kami.” Ada nada kecewa berbaur terkilan dari suara Saodah.

Saodah, ibu Laila mencuci tangan lalu ke tungku memasak. Diceduknya lauk pauk ke dalam mangkuk yang dimasaknya baru tadi untuk makan malam.

“Cakap pasal Sabri. Mana dia? Tak nampak batang hidung pun dia.” Laila mengubah hala tuju perbualan. Tidak mahu dia memanjangkan kecil hati Saodah yang terkilan tidak dapat menyambutnya di lapangan terbang.

“Dia, hari ni overtime. Balik pukul enam petang tadi terus siap-siap keluar.”

Saodah berjalan membawa semangkuk ayam masak merah dan semangkuk sayur bayam masak air ke arah meja makan. Kedua-dua lauk itu adalah kegemaran anaknya yang baru pulang itu.

“Abah?” Laila menjengah-jengah ke arah ruang tamu melalui pintu dapur, mencari kelibat bapanya. Manalah tahu bapanya sedang duduk menonton televisyen.

“Bapa kamu tu ke masjid, kejap lagi dia baliklah tu. Selalunya lepas Maghrib dia duduk saja di surau..”

Laila senyum dengan jawapan ibunya, semua perkara masih sama. Cuma dia hairankan adiknya yang baru bekerja. Jarang benar adiknya melepak-lepak diluar sejak kecil. Pandai pula pulang lewat dan melepak diluar sejak mula bekerja ni.

“Kamu ni dah solat belum?”

Saodah mengambil nasi yang siap ditanak. Diangkut dengan periuknya sekali.

“Cuti.” Ringkas sahaja jawapan Laila.

“Eloklah kalau macam tu. Kamu masak telur dadar, mak nak Solat Isya dulu. Nanti abah kamu balik, berleter pula karang mak tak solat lagi. Lepas tu boleh makan sama-sama.”

Laila mengangguk. Dia bingkas bangun diperintahkan ibunya. Telur dadar juga salah satu kegemarannya. Dia melangkah ke peti sejuk dua pintu yang hampir benar dengan meja makan itu, mahu mengambil telur.

“Mak ada nombor Sabri?” tiba-tiba dia teringin mahu makan malam bersama sekeluarga. Lengkap tanpa tertinggal seorang pun ahli keluarganya.

“Ada dalam buku telefon mak tu. Pandailah kau cari.” Saodah menjuihkan bibirnya ke arah gagang telefon rumah.

Laila berjalan menuju ke penjuru dapur rumah ibunya, di situ letaknya telefon rumah dan buku nombor telefon yang dinyatakan oleh ibunya.

Setelah menemui nombor telefon Sabri, Laila terus mendail nombor itu. Selesai mendail, dia memeluk tubuhnya sambil menunggu panggilan itu berjawab.

“Hello Sabri.”

“Hello mak. Sabri tengah lepak dengan kawan-kawan ni. Ada apa mak?”

“Ni Kak Laila lah. Kau kat mana ni?”

“Hidup lagi kau rupanya Kak. Bila kau balik Kak?”

“Kurang ajar kau adik. Aku sampai petang tadi.”

“Ada apa kak?”

“Balik cepat, makan malam sama. Aku tunggu kau kat rumah.”

“Ala kak...”

Klik...

Gagang Laila letakkan. Malas dia mahu mendengar alasan adiknya yang selalu berdolak-dalih. Dia beralih dari gagang telefonnya. Dia segera mahu memasak telur dadar yang diperintahkan ibunya.

‘Karang mengamuk mak aku telur tak masak lagi.’ Desis hatinya.

No comments: