Wednesday, November 10, 2010

Loro: Chendana Episod 22



Tajuk : Chendana
Penulis : Faizal Sulaiman
Cerita ini juga boleh dilayari di Seindah Dunia Kita (Klik Sini). Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8.08 malam. Jilbab Episod 23 akan disiar pada 12 November 2010.

Chendana (Episod 22)

Hajar membuka kotak kayu cendana yang memperlihatkan satu jasad kaku seperti patung yang sedang terbaring, mendiami khazanah itu beratus tahun lamanya.

Dia sudah mengetahui tentang sejarah Chendana Sari sejak usianya enam belas tahun lagi. Dia tidak mempunyai pilihan dengan terpaksa menyelongkar bilik lama keluarganya sebelum menjumpai satu tinggalan buruk yang sangat menakutkan.

Dan dari situ, dia menanam azam untuk memiliki Chendana Sari suatu hari nanti. Mendapatkannya dengan cara apa sekalipun walau terpaksa berbalah dengan kakaknya sendiri.

Tuanku masih mengingati perkara lama itu ?

Kedengaran satu suara halus, bergema dari dalam kotak yang diletakkan di atas ribaannya. Hajar memandang isi dalamnya dengan satu perasaan sayang dan teruja.

“Sekali sekala. Aku membayangkan saat bagaimana sukar untuk berdamping dengan engkau, Chendana!”

Hajar mengeluarkan patung kayu itu, kemudian diletakkan dalam keadaan duduk, di atas meja soleknya sebelum kelihatan patung Chendana Sari seolah-olah menguntum senyum. Rambutnya yang panjang mengurai menambah kecantikannya, ditambah dengan kebaya merah, berkain batik—menjadikan Chendana Sari sangat jelita, walaupun dia hanyalah sebuah patung yang kaku, tak bernyawa.

Segala hajatmu telah hamba penuhi

Gadis itu diam. Seperti mendengar arahan guru pada muridnya.

Akan ku pastikan kau gembira. Bahagia, walaupun Tuanku mungkin telah menyakiti hati kakak dan ibumu

Hajar tunduk lagi. Bibirnya kelihatan menggeletar.

“Emak hanya sayangkan Kak Mira. Tiap kali Kak Mira membawa keputusan cemerlang dalam peperiksaan, emak memuji kepandaian dia. Langsung mengendahkan saya yang akhirnya disuruh menjadi cikgu di sekolah agama!”

Bukankah tugas itu, suatu tugas murni wahai Tuanku, Hajar?

“Aku tak gembira, Chendana! Aku seolah dipaksa melakukan sesuatu yang bukan menjadi kesukaanku. Tetapi kerana emak, kerana kakak, aku terpaksa jua!”

Hajar merintih. Air mata yang dikumpul sejak kali pertama ayat-ayat tentang pengorbanan tak berbalasnya terhadap keluarga terhambur keluar. Jujur hatinya sakit. Kenapa Kak Mira boleh belajar tinggi-tinggi, sedangkan dia tidak?

Jurang apakah yang cuba emak pisahkan?
Adakah kerana emak mahu memastikan aku berada di bawah seliaannya?
Atau mahu mengongkong hidup aku?

Emak Tuanku mengharapkan Tuaku mengikuti jejak dia. Bukankah itu sudah memadai?

Hajar mendengus. Kemudian tersengih sinis.

“Sebaik mana yang aku lakukan padanya, dia tak pernah hargai sehinggalah peristiwa itu berlaku, emak sudah mula percayakan ku!”

Chendana Sari tersenyum menyeringai. Sesekali mata bundarnya berkelip sekali, menampakkan riak jahat di balik renungan baik hatinya itu.

Adakah Tuanku mahu katakan tentang malam kejadian di mana emak Tuanku…
“Shyyyy!!!!”

Hajar menunjukkan isyarat diam dengan jari telunjuk di bibirnya yang rapat. Matanya menjengil marah.
“Diam! Tak ada sesiapa patut tahu. Hanya aku, kau dan dia saja!”

Gertakan Hajar, langsung tidak menakutkan Chendana Sari.

Mungkin dia boleh digunakan dalam misi kita? Itu cadangan hamba saja, Tuanku Hajar

Hajar diam. Menimbang-nimbang kata-kata patung kaku dihadapannya itu. Ada benarnya kata-kata Chendana Sari. Selama ini pun, si dia sudah banyak membantu melaksanakan tugas-tugas berat. Seolah sudah menjadi orang kepercayaan dia dan Chendana Sari. Si dia pun sudah hampir separuh jalan melaksanakan misi nya itu.

“Mungkin…boleh dipertimbangkan!”

Patung Chendana itu mengukir senyuman yang menyeramkan. Matanya berkelip sekali lagi. Bibir mungilnya yang berwarna merah berkata-kata lagi.

Keluarga Tuanku Hajar akan dilanda bencana sekali lagi. Dari majikan kakakmu yang berhati binatang itu!

“Siapa? Katrina?”

Chendana Sari mengendahkan untuk menjawab, sebaliknya berkata-kata lagi.

Dia sudah dirasuk oleh satu semangat jahat. Tuanku Hajar bersedialah dengan sebarang kemungkinan.

Hajar kelihatan tertanya-tanya. Dia kemudiannya memandang patung yang kaku itu seperti mendesak untuk meminta jawapan.

“Kemungkinan?”

Ya, Tuanku. Kemungkinan!

“Kemungkinan tentang apa?”

Kemungkinan bahawa Tuanku perlu mengorbakan salah seorang dari darah daging Tuanku! Saudara terdekat Tuanku!

Mata Hajar membulat. Hatinya mulai bersarang debaran.

Seketika buat beberapa lama dia duduk berteleku mencari siapakah yang sesuai dijadikan mangsa, kedengaran suara Jamil melayah di udara, memmanggil-manggil namanya.

Dan seperti cahaya menerangi fikiran gelapnya, dia langsung memandang Chendana Sari yang sudah tersenyum cantik.

Jamil harus dikorbankan!

No comments: